Syukur kepada Allah kerana umur kita disampaikan kepada bulan Syawal. Setelah satu bulan penuh mendekatkan diri kepada Allah SWT, semoga semangat ibadah kita di bulan Syawal ini tidak menurun. Yang fardu dan yang sunah tetap dikerjakan.
Umum mengetahui sunnahnya puasa enam hari di bulan syawal. Walau bagaimanapun ada yang berpendapat bahawa berkahwin di bulan Syawal juga merupakan amalan sunnah.
Pada dasarnya perkahwinan tidak terikat dengan waktu tertentu. Bila-bila sahaja boleh berkahwin, hari apapun dan bulan apapun seseorang boleh berkahwin.
Ini kerana dalam aqidah Islam tidak ada yang namanya hari dan bulan buruk, hari dan bulan sial untuk sebuah perkahwinan. Semua waktu adalah baik.
Adakah Berkahwin Pada Bulan Itu Sunnah Yang Dianjurkan?
1. Ramai yang beranggapan bahawa bernikah pada bulan Syawal merupakan tuntutan sunnah dan ajuran syarak berdasarkan hadis berikut:
قالت عائشة: «تزوَّجني رسول الله صلى الله عليه وسلم في شوال، وبنى بي في شوال، فأيُّ نساءِ رسولِ الله صلى الله عليه وسلم كان أحظى عندهُ منِّي؟»، قال: «وكانت عائشةُ رضي الله عنها تستحبُّ أن تُدخلَ نساءَها في شوالٍ».
Kata ‘Aisyah RA: “Rasulullah SAW menikahiku di bulan Syawal, dan mengadakan malam pertama denganku di bulan Syawal. Isteri manakah yang lebih mendapat perhatian baginda selain dariku?”.
Salah seorang perawi mengatakan: “Aisyah menyukai jika suami melakukan malam pertama di bulan Syawal” [riwayat Muslim].
2. Hakikatnya jika kita melihat teks hadis, tiada tuntutan khas dari Rasulullah SAW sendiri untuk membina rumah tangga pada bulan Syawal mahupun mana-mana bulan lain. Dalam hadis tersebut, ‘Aisyah RA hanya menceritakan tentang waktu pernikahannya dengan baginda sahaja dan menyukai wanita lain berkahwin pada bulan yang sama beliau dikahwini baginda kerana karakternya yang begitu berbangga akan hubungan eratnya dengan suami tercinta.
Ada isteri baginda yang dikahwini pada bulan Muharram, Sya’ban dan Dzul Qe’dah.
4. Jika kita melihat konteks hadis pula, masyarakat arab pasca Jahiliyyah dahulu sememangnya dipenuhi unsur khurafat dalam kepercayaan mereka, sehingga mereka tidak menggemari perkahwinan pada bulan Syawal kerana dianggap membawa sial. Justeru Rasulullah SAW mahu memecahkan tradisi karut ini dengan berkahwin pada bulan Syawal.
5. Maka yang sunnah itu ialah berkahwin di kala sudah memiliki kemampuan, sedangkan berkahwin pada bulan Syawal itu menjadi sunnah jika masih ada di kalangan masyarakat setempat yang memiliki kepercayaan seperti masyarakat Jahiliyyah dahulu. Dalam erti kata lain, berkahwin pada mana-mana bulan yang dianggap memiliki kepercayaan mengarut oleh masyarakat setempat merupakan anjuran sunnah demi meluruskan tauhid masyarakat.
Jika tiada, maka tiadalah signifikannya.
Sumber Kredit: Dr. Kamilin Jamilin