Berlakon berpelukan dalam drama atau filem memang menjadi antara aksi wajib dalam mana-mana penerbitan. Dari dahulu sehingga hari ini, drama seperti ini mempunyai pengikutnya tersendiri.
Lakonan mantap penuh penghayatan menjadikan aksi mereka sangat real; bertengkar, bergaduh, lafaz cerai malah berpelukan antara pelakon lelaki dan perempuan bukan mahram.
Ramai suka tonton aksi ini, namun, adakah lakonan ini dibenarkan dalam Islam tambahan pula pelakon pun mencari rezeki atas lakonan itu?
Apa yang jelas, Islam tidak membenarkan kita menghalalkan perkara yang diharamkan. Kita dapatkan penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Artikel berkaitan: No Way, Cuci Duit Haram Untuk Jadikannya Halal, Lelaki Ini Beri Penjelasan Padu
Artikel berkaitan: Jangan Over Pandang Transjantina, Hukum Harus Bertukar Haram
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu sebab saya ada kemusykilan berkenaan sebuah drama (stesyen televisyen swasta) yang di dalamnya terdapat adegan pelakon wanita peluk pelakon lelaki padahal pelakon wanita itu sudah berkahwin dan ada anak. Saya ada berbual dengan kawan.
Saya cakap teruklah perempuan ini, dah kahwin oun boleh peluk lelaki lain. Kawan saya cakap tak salah pun, itu karier dia…dia kena professional.
Saya tetap pertahankan benda itu salah dan dia juga tetap dengan pendapat dia bahawa perbuatan itu tak salah sebab cari rezeki. Lagipun suami dia izinkan.
Soalan saya, apakah hukum menghalalkan yang haram akan jatuh kufur?
Jawapan:
Perbuatan wanita peluk lelaki yang bukan suami dan bukan mahram jelas hukumnya haram dan berdosa besar. Ini kerana perbuatan ini dikategorikan sebagai perbuatan yang menghampiri zina.
Perbuatan lebih teruk kecamannya menurut syarak kerana ia dipamerkan di hadapan umum dan dibanggakan. Perkara ini jelas disabdakan oleh Rasulullah ﷺ dalam sepotong hadis:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا ثم يصبح وقد ستره الله عليه فيقول يا فلان عملت البارحة كذا وكذا وقد بات يستره ربه ويصبح يكشف ستر الله عنه. متفق عليه
Maksudnya: “Setiap umatku akan mendapat pengampunan kecuali mujahirin (orang terang-terangan berbuat dosa) Dan termasuklah mereka yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang melakukannya (dosa) pada malam, kemudian pada pagi dia menceritakannya, padahal Allah SWT menutupi perbuatan itu.
Dia berkata: “Hai fulan, malam tadi aku melakukan begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam hari Tuhannya melindungi (aib) perbuatannya itu tetapi pada paginya dia sendiri menyingkap perbuatan (dosanya sendiri) yang ditutupi oleh Allah SWT.” (HR Bukhari & Muslim)
Sebagai seorang muslim wajib taat segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan. Sebagai seorang muslim juga dia wajib mengharamkan apa yang Allah haramkan dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala.
Seseorang yang meyakini bahawa sesuatu perkara yang haram itu halal sedangkan perkara itu tiada khilaf dalam kalangan ulama maka boleh jatuh kepada kekufuran.
Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi di dalam karyanya “al-Mughni”:
ومن اعتقد حل شيء أجمع على تحريمه، وظهر حكمه بين المسلمين، وزالت الشبهة فيه للنصوص الواردة فيه كلحم الخنزير، والزنا، وأشباه ذلك مما لا خلاف فيه، كفر.
Maksudnya: “Sesiapa yang beriktiqad(menyakini) halal sesuatu diharamkan secara ijmak ulama dan jelas hukumnya di antara umat Islam serta hilang syubhah(keraguan) padanya mengenai nas-nas yang wujud mengenainya seperti daging babi, zina dan seumpamanya yang mana ia tiada khilaf (di antara ulama) maka di jatuh kafir.”
Berdasarkan kenyataan Imam Ibn Qudamah di atas, seseorang itu boleh jatuh kufur bila menghalalkan perkara yang diharamkan dan sebaliknya jika menepati syarat-syarat di bawah ini:
i- Mesti diyakini tanpa berbelah bahagi perkara haram itu halal di sisinya
ii- Haram itu mesti sepakati oleh para ulama iaitu tiada khilaf
iii- Perkara itu diketahui haram oleh umat Islam pada pelbagai peringkat (المعلوم من الدين بالضرورة). Contohnya bila sebut sahaja arak memang semua tahu ianya haram.
iv- Hukum haram perkara itu berdasarkan nas atau dalil yang secara jelas menunjuk perkara itu haram tanpa boleh ditakwil, seperti dalil haramnya arak, zina, babi, meninggalkan solat fardu dan lain-lain lagi.
Namun menjatuh hukum kafir bukan perkara yang mudah dan amat berat hukum dan pernilaiannnya.
Malah menjatuhkan hukum kafir kepada seseorang tidak layak dilakukan secara individu malah tugasan ini dijalankan oleh pihak berautoriti untuk menyiasat secara terperinci seperti Jabatan Agama Islam Negeri.
Jika siasatan telah dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh syariat barulah pihak berautoriti membuat keputusan samaada seseorang itu murtad atau tidak.
Berbalik kepada soalan di atas, rakan si penanya tidak boleh dihukum kafir kerana masih tidak jelas dia menghalalkan perkara yang diharamkan.
Ini kerana kata-katanya masih bole ditakwil yang mana mungkin ‘tidak salah’ baginya disebabkan darurat menurut kejahilannya atau mungkin dia menganggap ia hanya dosa kecil.
Tambahan pula kita tidak dapat menilai isi hatinya adakah dia benar-benar meyakini di dalam hatinya bahawa perkara haram itu halal?
Walaubagaimana pun kata-kata rakan si penanya itu dikira sebagai dosa kerana memandang baik dan elok pada perbuatan maksiat.
Namun perbuatan dosa besar sekali pun tidak semestinya menjadikan seseorang itu kafir atau murtad.
Seperti yang sedia maklum, matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara. Tidak sepatutnya seseorang sanggup melakukan perbuatan mungkar demi kerjayanya.
Meskipun niatnya baik untuk mencari rezeki namun Islam tidak menghalalkan perbuatan haram dengan alasan apa sekalipun.
Maksudnya perbuatan berpelukan antara lelaki dan perempuan tidak sepatutnya berlaku, banyak cara lain untuk menghidupkan sesuatu scene yang menarik tanpa memerlukan perbuatan maksiat.
Pendek kata “Tak mati lah” kalau buat drama tanpa adegan yang menghairahkan.
Suami bertanggungjawab mendidik isteri ke jalan yang benar. Tidak sepatutnya seorang suami membiarkan (mengizinkan) isteri berpelukan dengan lelaki lain.
Ini amat memalukan bagi seorang lelaki pembimbing isteri tetapi hakikatnya dia berperanan mencabul maruah diri dan isterinya.
Ingat! Suami seperti ini dilabel sebagai “DAYUS” dan hukuman bagi ketua keluarga seperti ini amat-amat berat hukumannya di akhirat kelak, seperti yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ:
ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan yang telah Allah haramkan syurga untuknya: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan ‘Dayus’ yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya” (HR Imam Ahmad & Nasa’ie)
Wallahu A’lam
Kashoorga: Semoga penjelasan ini dapat difahami. Jangan sewenang-wenangnya membuat tafsiran sendiri untuk menghalalkan yang haram atas kapasiti mencari rezeki. Dan jangan sewenang-wenangnya juga menjatuhkan hukum kafir kepada orang lain.