Bersalawat Lah Selalu, Rasulullah Rindu Sangat-sangat Dengan Kita Berbanding Sahabatnya!

Share

Kami juga merinduimu wahai Rasulullah junjungan besar kami. Betapa kami ingin sekali bertemu dengan mu.

Semoga sahaja impian ini menjadi kenyataan nanti. Kami dambakan syafaat mu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu akan rasa rindu itu.
Sedikit perkongsian dari sahabat kita Zafrullah Zafrullah di facebooknya ternyata sangat menyentuh hati. Kita ikuti coretannya agar kita juga tahu betapa rindunya Baginda dengan kita

Gambar sekadar hiasan

Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi SAW dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain.

“Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan saudara-saudaraku(ikhwanku ),” berkata Nabi SAW

“Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar.
“Bukan,” jawab Nabi SAW. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”.
Seulas senyuman yang sedia terukir di bibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna.

“Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan),” suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara :

“Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.”

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: “Siapakah yang paling ajaib imannya?” tanya Rasulullah. “Malaikat,” jawab sahabat.

“Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah,” jelas Rasulullah.

Artikel berkaitan: Hukum Warnakan Janggut Dengan Inai, Mengikut Sunnah Rasulullah

Artikel berkaitan: Cara-cara Padu Rasulullah Urus Perniagaan Sukses Dunia Akhirat

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, ” Para nabi.”
“Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.”

“Mungkin kami,” celah seorang sahabat.
“Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu,” pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

“Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui,” jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

“Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya.”

Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku,” jelas Rasulullah.

“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,” ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Perbanyakkan Selawat & Salam ke atas Junjungan Kekasih Agung Rasulullah S.A.W.
اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد

Perkongsian dari facebook: Zafrullah Zafrullah

Kashoorga: Sungguh admin menangis membaca coretan saudaraku ini.

Published by
Emma Masri