
Seperti yang kita ketahui, bulan Ramadan adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam.
Bukan sahaja melakukan ibadah puasa, tetapi sangat digalakkan untuk melakukan amalan lain seperti sedekah, solat sunat dan juga sentiasa muhasabah diri kepada Allah SWT.

Malah ganjaran yang sangat berganda diberikan oleh mereka yang melakukan pelbagai amalan kebaikan sepanjang bulan mulia ini.
Dan paling kita nantikan adalah detik 10 malam terakhir yang kita panggil malam Lailatul Qadar.
Menurut Pendakwah Selebriti,PU Riz malam Lailatul Qadar adalah malam yang dikurniakan kepada manusia pada bulan Ramadan yang lebih lebih dari seribu bulan.

“Jadi jika kita mahu mencari malam Lailatul Qadar ini perlu bersungguh-sungguh buat amalan soleh sepanjang ramadan.

“Dan semoga kita akan bertemu nanti dengan malam Lailatul Qadar, pada 10 malam terakhir Ramadan. Insya-Allah,” katanya dalam Eksklusif Tazkirah Ramadan di Kashoorga.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Belanja Makan Bukanlah Sebab Nak Tunjuk Kaya Tapi Sebab Nak Kongsi Rezeki

Kita belanja makan bukan sebab kita banyak duit tapi kita akan rasa puas bila tengok orang happy makan dan kekenyangan. Kepuasan itu susah nak gambarkan macam mana sebenarnya. Hanya mereka yang berada dalam situasi tu je yang dapat rasa dan faham.
Orang yang suka belanja makan ni biasanya murah rezeki dia. Makin banyak bersedekah makin banyak dan berganda rezeki dan pahala yang dia akan dapat. In Shaa Allah….
Sikap pemurah untuk memberi kawan makan minum dan seumpamanya adalah sikap yang mulia dan dituntut Islam. Sikap pemurah lawannya kedekut. Pemurah menjadikan seseorang itu dikasihi dan dimuliakan.
Bukan semua orang mempunyai sahsiah sebagai seorang pemurah. Pemurah dalam Islam bukan sahaja dari aspek wang ringgit tetapi juga dari aspek ilmu pengetahuan, senyuman dan bantuan kudrat seseorang kepada orang lain yang berada di sekitarnya
“Mudahnya nak dapatkan pengampunan Allah. Mulakan dengan sekecil pemberian. Tak perlu tunggu buat kenduri. Bayarkan makan tengahari orang keliling kita. Hari ni seorang. Esok lusa ada rezeki belanja dua orang. Hujung bulan belanja sarapan satu office. Roti canai pun dah ok. Toksah mahal-mahal. Rezeki bertambah, dosa pun Allah ampun. Allah akan murahkan rezeki orang yang murah hati. Percayalah, Allah dah janji”.- Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
INILAH PAHALA DAN KEUTAMAAN MEMBERI MAKAN ORANG LAIN
1) Nabi bersabda, “Sesungguhnya orang terbaik di antara kalian adalah orang yang memberi makan”. (HR. Ibnu Sa’ad, Al-Hakim, Ath-Thobroni)
2) Diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Raslulullah, “Perbuatan apa yang terbaik di dalam agama Islam? Maka Rasulullah menjawab, iaitu kamu memberi makan kepada orang lain, dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (HR. Bukhari: 12 dan Muslim: 39)
3) Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya di syurga terdapat kamar-kamar yang mana bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari baghaian luarnya.” Lantas seorang arab Baduwi berdiri sambil berkata, “Bagi siapakah kamar-kamar itu diperuntukkan wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Untuk orang yang berkata benar, yang memberi makan, dan yang sentiasa berpuasa dan solat pada malam hari di waktu manusia pada tidur.” (HR. Tirmidzi: 1984)
4) Nabi bersabda, “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” (HR. Tirmidzi, ad-Darimi, Ibnu Majah, al-Hakim, Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah).

5) Nabi bersabda, “Barangsiapa yang memberi makan kepada seorang mukmin sehingga dapat mengenyangkannya dari kelaparan maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain kecuali oleh orang-orang sepertinya.” (HR. Thabrani)
6) Nabi bersabda, “Ada seorang wanita penzina melihat seekor anjing di hari yang panasnya begitu terik. Anjing itu mengelilingi sebuah perigi sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu melepas sepatunya (lalu menimba air dengannya). Ia pun diampuni kerana amalannya tersebut.” (HR. Muslim: 2245)
Imam Ibnu Hajar mengatakan, “Jika dengan memberikan minum pada anjing boleh mendapatkan pengampunan dosa maka memberi minum pada manusia tentu pula akan mendapatkan pahala yang besar.” (Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari 5: 42)
Sumber: dakwah.net
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
World #QuranHour 1444H Pilih Surah Al-Insan, Astro Oasis Jadi Penyiar Utama

Isi Kandungan
ToggleYayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah Al-Insan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Katanya, karakter itu mencakupi tanggungjawab seorang insan kepada ALLAH SWT dan peranan sesama manusia seperti memenuhi nazar, ikhlas, menunaikan solat fardu serta sabar.
World #QuranHour 1444H
“Pada World #QuranHour 1444H 2023, orang ramai akan disajikan dengan bacaan surah Al-Insan sekali gus dapat menghayati mesej surah tersebut dengan harapan dapat melahirkan insan Al-Abrar yang ikhlas dan sabar.
“Selain itu, program ini juga diharapkan dapat menukar pemikiran manusia daripada rasa kufur kepada syukur. Kalau dilihat kadang-kadang kita banyak tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan,” katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi WUIF, Datuk Muhammad Nasir Hamzah ; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail ; Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim; Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abdul Hamid.
Pilih Surah Al-Insan
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Tambah Marhaini, rasa syukur itu semakin terhakis kalangan masyarat, keluarga dan tempat kerja.
“Kalau kita tengok cara berfikir sekarang bukan lah seperti orang bersyukur. Apa yang diharapkan adalah manusia kembali menjadi insan sebagaimana yang ALLAH inginkan.
“Justeru, kita perlu berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi diri agar termasuk dalam golongan orang yang bersyukur bukan kufur,” jelasnya.
Ditanya mengenai sasaran peserta, beliau menjelaskan sebanyak lebih 1.6 billion disasarkan di seluruh dunia iaitu melebihi pada tahun 2019.
“Dengan penglibatan daripada pelbagai negara seperti Indonesia dan India, diharapkan program ini akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Astro Oasis Jadi Penyiar Utama
Saluran Astro Oasis akan menjadi penyiar utama bagi program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, pihaknya berbesar hati dan teruja kerana berpeluang menyiarkan bacaan al-Quran iaitu Surah Al-Insan kepada semua masyarakat di negara ini.
“Kami sangat menyokong inisiatif dan usaha untuk menerapkan ilmu al-Quran dalam diri semua umat Islam. Saya anggap itu adalah peluang untuk kami mengumpul sebanyak mungkin pahala.
“Diharapkan orang ramai dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama membaca dan memahami maksud surah tersebut sekali gus diamalkan dalam kehidupan harian,” katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Sumber/ Foto : Sinar Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
5 Tanda Berlakunya Malam Lailatulqadar, #1 Malam Tiada Bintang Hingga Ke Pagi

Hari ini merupakan hari ke 23 umat Islam berpuasa. Bermakna kurang dari beberapa hari lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan penuh kemuliaan dan bulan penuh keampunan.
Mungkin bagi yang tidak merasai “manisnya” Ramadhan akan mula memburu baju raya, kuih raya dan sebagainya dan tidak merasakan pentingnya memburu lailatulqadar (malam 1000 bulan) yang Allah hanya beri kepada umat akhir zaman ini kerana usia kita pendek, sekitar 60-70 tahun sahaja, tidak seperti umat terdahulu yang usia mereka lama.
Kenapa malam lailatulqadar sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan apa kelebihannya jika dapat bertemunya? Dipetik dari pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan yang pernah ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, diceritakan kelebihan malam lailatulqadar ini.
Lailatulqadar…Carilah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, kita telah melalui fasa puasa hampir 2/3. Justeru yang berbakinya sudah hampir kepada akhir Ramadan yang disangkakan terdapat padanya malam al-Qadar. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan tajuk “Lailatulqadar…Carilah”.
Semoga kita dapat mengisi 10 malam terakhir dengan acara ibadat dan InsyaAllah dengannya kita memperolehi malam Lailatulqadar.
Tafsir Surah Al-Qadr
Firman Allah SWT:
(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.
Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
- Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
- Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
- Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
- Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
- Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”
Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.
Firman Allah SWT:
تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 4-5)
Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi.
Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:
- Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.
- Malaikat Hafazah. Inilah pendapat Abi Nujaih.
- Malaikat-malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT. Inilah pendapat Muqatil.
- Mereka adalah tentera Allah bukan daripada kalangan malaikat. Inilah yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas.
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.
Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
- Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
- Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
- Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
- Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:
Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
- Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
- Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
- Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
- Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”
Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
Ketiga:
Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”
Keempat:
Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”
Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi
Kelima:
Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.” Riwayat Ibn Nasr
Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar
Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Alamat Malam Qadar
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
- Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.
- Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
- Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.
Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?
Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.
Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:
قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”(Surah Yusuf: 5)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.
Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:
- Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” Riwayat Muslim: 2015
- Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”
Riwayat Ahmad
- Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).
Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.
- Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:
يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها
Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).
Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI