“Bertambah Seronok Solat Di Rumah Jika Ada Ruang Beribadah Ibarat ‘Masjid’ Indah”-Imam Muda Asyraf

Share

Rumah besar, bilik banyak, perabot dan aksesori pun ikut trend semasa. Tapi sayang tak ada ruang khas untuk solat.

Ramai daripada kita tak ambil pusing pun hal ini; janji ruang bersih. Ubah tanggapan ini, nak menghadap Allah kalua boleh biarlah dalam keadaan terbaik.

Cuba bersihkan dan wujudkan sebuah ‘masjid’ indah di dalam rumah. Anak-anak pun bertambah bersemangat dan kehidupan semakin dirahmati Allah SWT.

Ikuti penjelasan Imam Muda Asyraf bagaimana kita boleh wujudkan sebuah ‘masjid’ di dalam rumah.

Musolla atau mihrab dalam rumah, lebih kurang sama saja keduanya.

Ada yang mengatakan mihrab itu adalah tempat solat imam, tempat arah tuju kiblat, ruang kerabat di Raja dan lain-lain.

Namun antara pandangan yang baik ialah memaksudkan mihrab itu sebagai sebuah tempat khusus terceruk di dalam rumah.

Yang mana, ruang tersebut dijadikan ruang khusus untuk beribadah tanpa dicampuri dengan urusan dunia.

Namun, jika kita melihat kalimah mihrab dalam al-Quran menggambarkan beberapa peristiwa antaranya kisah mihrab Nabi Zakaria AS, isteri, serta Maryam AS.

Digambarkan mihrab itu tempat proses pentarbiyahan Maryam AS serta lokasi berita perkhabaran makbulnya doa Nabi Zakaria dan isteri untuk dikurniakan anak ketika mereka beribadat dalam mihrab.

Pelbagai pandangan ulama dalam menafsirkan maksud mihrab Nabi Zakaria yang terdapat di Baitulmaqdis.

Tanpa menyamakannya secara jazam dengan mihrab yang kita bincang ketika ini. Namun roh menetapkan lokasi ibadat khusus dalam rumah itu dilihat baik.

Terdapat juga kisah sahabat Nabi ‘Itban Bin Malik pernah meminta Nabi SAW solat di satu ruang di rumahnya. Lalu ‘Itban mengisytiharkan ruang tersebut sebagai ruang khas beliau untuk solat.

Dalam bulan Ramadhan, ada ibadah khusus bahkan amat dititikberatkan oleh Nabi SAW iaitu iktikaf. Menurut Jumhur Ulama termasuk Mazhab Syafie, tidak sah untuk iktikaf melainkan di dalam masjid.

Melainkan terdapat qaul Mazhab Hanafi dan Qaul Qadim Mazhab Syafie yang mengharuskan wanita yang sukar ke masjid untuk beriktikaf di musolla dalam rumah.

Dalam musim PKP lalu, kita semua terhalang ke masjid. Lelaki mahupun wanita. Ketika ini talfiq dalam penambahan ibadat kepada Mazhab Hanafi dilihat baik dan bukanlah talfiq yang tercela.

Atau pun bagi sesiapa yang memilih pandangan jumhur, maka dia juga boleh terus beribadat di mihrab atau musolla dalam rumah tanpa niat iktikaf.

Terpulang.

Segala pandangan daripada para ulama dan asatizah di luar sana amat dialukan.

Apa yang penting kita mahukan suasana ibadah dapat dilakukan dengan baik sepertimana Nabi SAW yang terdapat ruang untuk beliau solat malam serta solat sunat rawatib. Wallahua’lam.

Sumber: Instagram Imam Muda Asyraf

Published by
webadmin