Bertuah seorang juru teknik di sebuah kilang di Ayer Keroh Melaka ini. Meskipun sebelah tangannya kudung namun tunangnya masih mahu meneruskan perkahwinan walau pun dia sudah ‘tidak sempurna’ lagi. Malah lelaki bernama Azahari Senin, 30 ini rasa cukup bersyukur kerana tunangnya dapat menerima kekurangan pada dirinya itu.
Ujian dan kekurangan pada diri Azahari itu dapat diterima tunang yang kini isterinya, Mastura Zainon,30. Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek di Melaka.
Azahari berkata dia mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu namun terpaksa berdepan dengan dugaan berat dua bulan kemudiannya. Dia telah ditimpa kemalangan di tempat kerja sehingga tangan kirinya hancur dan terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin percetakan.
TETAP SETIA
“Saya pernah beritahu isteri yang ketika itu masih tunangan saya supaya dia tinggalkan saya selepas saya kemalangan yang hampir meragut dua belah tangan. Saya beritahu dia, aku tak boleh teruskan dengan kau lagi dengan keadaan aku macam ini.
“Tapi sangkaan dia akan tinggalkan saya itu meleset apabila dia terus cekal menunggu saya di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, menunggu saya di wad walaupun saya hampir putus harapan,”kata Azahari.
Azahari berkata, sejak itu dia menanam semangat positif menganggap kedua-dua tangannya masih normal seperti insan lain dan tidak mahu ada pihak yang memandang rendah apa lagi menganggapnya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kurang berkemampuan.
“Tangan kiri saya hancur teruk manakala tangan kanan pula sempat doktor selamatkan namun fungsinya kurang sempurna dan ketika majlis pernikahan berlangsung, saya masih berada dalam tempoh cuti sakit. Bagi saya meskipun majlis pernikahan kami serba ringkas namun meriah dengan usikan ahli keluarga dan kawan-kawan,”katanya.
PILIHAN TEPAT
Sementara itu Mastura yang juga seorang jurujual berkata, lelaki yang dikenalinya ketika bekerja di hotel kira-kira tiga tahun yang lalu itu diyakini mampu menyempurnakan kehidupannya.
“Saya kenal dia (Azahari) ketika dalam fizikal yang sempurna dan cinta saya masih sama walaupun dia kini kudung tangan kiri. Tak kan waktu sempurna saya nak bersama dia apabila tak sempurna saya tinggalkan.
“Semua ini ada hikmah dan saya berkeras mahu bersamanya ketika dia dan keluarganya minta pertunangan kami diputuskan. Ibu bapa dan adik beradik saya pula sentiasa menyokong saya,”kata Mastura.
Menurut Mastura lagi, dia tetap meneruskan majlis pernikahan tersebut meskipun disarankan ahli keluarga mertuanya untuk menangguhkan pernikahan mereka. Jodoh mereka kuat. Cinta mereka suci. Sesungguhnya Allah sudah takdirkan mereka hidup bersama sebagai suami isteri.
Di doakan agar rumah tangga yang dibina oleh pasangan ini kekal hingga ke syurga. Aamiin.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Facebook Azahari Senin dan Mastura Zainon