Bertuahnya anak. Doa seorang bapa mengiringinya ketika dia menuntut ilmu. Sememangnya doa ibu bapa buat si anak itu paling mustajab.
Rutin seorang ayah kepada salah seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mencuri perhatian netizen di laman sosial. Ia dikongsikan oleh seorang guru yang dikenali sebagai Siti Zulikha di laman sosial Facebook miliknya.
Siti Zulikha menyatakan sepanjang bertugas menjaga pintu sekolah pada waktu pagi, itulah pertama kali dia melihat seorang ayah berdoa di luar sekolah setelah menghantar anaknya.
Sepanjang bertugas menjaga pintu sekolah pagi2, ini fenomena yang pertama kali cikgu lihat.
“Air mata cikgu menitis terus. Selepas mencium pipi dan dahi anak, Dan selepas si anak tidak melihat si ayah lagi. Si ayah menadah tangan sambil berdoa dan sambil melihat anak.
Sudah tentu mendoakan kejayaan si anak dalam menuntut ilmu.
Cikgu juga ada anak. Terus cikgu berdoa. Apa yang didoakan oleh si ayah ini. Ya Allah, kau sampaikan sedikit buat anak-anakku, tulis Siti Zulikha dalam laman akaun Facebooknya.
Nurul Aisyah, anak bongsu kepada Bakri Md Noor, 53, lelaki yang videonya tular di media sosial itu tidak menduga ‘amalan’ bapanya itu akan mendapat perhatian ramai. Pelajar tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, dia sudah terbiasa dengan amalan tersebut yang turut menjadi ikutan mereka lima beradik sejak kecil lagi.
Aisyah bersama adik beradiknya.
“Abah memang buat macam tu dengan kami adik-beradik dari arwah mak ada lagi… satu keluarga kami memang macam tu.
Ads
“Masa mak ada lagi, masa abah nak pergi kerja kami akan lambai abah dari rumah. Mak akan baca doa semoga perjalanan abah selamat. Jadi ia sudah jadi rutin sebab mak selalu tunjuk, jadi kami pun ikut sekali,” katanya.
TERHARU
Ketika pertama kali melihat video tular tersebut, Nurul Aisyah atau lebih mesra disapa Aisyah berkata dia amat terharu dengan tindakan bapanya itu.
“Macam biasa saya akan salam abah kemudian cium pipi abah sebelum masuk sekolah. Saya tahu abah doakan saya tapi bila tengok video itu, saya rasa terharu.
“Dalam hati kecil saya kata alhamdulillah bertuahnya dapat bapa macam abah sebab jarang kita tengok bapa orang lain buat macam tu,” katanya.
Aisyah tidak menolak selain pentingnya usaha, doa ibu dan bapanya menjadikan mereka lima beradik cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
“Walaupun saya tak tahu apa yang ibu dan abah doakan untuk kami tapi saya tahu mereka mahukan semua anak mereka berjaya,” katanya.
Ads
Menurut Aisyah, bapanya pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ibunya, Sabariah Ariffin yang menghidap kanser paru-paru pada 2014.
“Mak dikesan kanser tahap 4 hujung tahun 2014. Jadi abah jaga mak sampailah mak meninggal pada 29 November 2016,” katanya.
Selepas pemergian ibunya, Aisyah berkata bapanya membuat keputusan untuk tidak lagi bekerja dan berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan demi memberi tumpuan kepada dirinya yang masih bersekolah.
Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu juga, kakak sulungnya bekerja sebagai jurutera manakala kakak ketiganya juga menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam.
“Insya-ALLAH saya juga akan mengikut jejak langkah kakak-kakak saya tapi saya lebih berminat dengan komputer dan teknologi,” kata pelajar aliran sains itu.
Ads
BERAZAM DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG
Katanya, sebagai anak bongsu dia rapat dengan ibu. Jadi sebelum ibunya meninggal, ibunya berpesan kepada ayahnya agar menjaganya sampai habis sekolah.
“Abah tunaikan janji mak. Abahlah yang hantar dan ambil saya balik sekolah naik motor. Dia juga akan masak untuk Aisyah.
“Sekarang abah jual nasi lemak. Kalau ada orang order dia akan buatkan. Abah belajar dari arwah mak sebab dulu mak pun berniaga nasi lemak,” katanya yang tinggal bersama bapa dan abangnya di Juru, Pulau Pinang.
Memandangkan Aisyah akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) November ini, dia berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang bagi membalas jasa bapanya.
“Saya pernah janji dengan arwah mak nak berjaya… nak bawa mak jalan-jalan tapi tak sempat. Kalau nak patah balik masa memang tak dapat, jadi inilah peluang saya nak balas jasa abah.
“Bila tengok video viral ramai komen baik-baik… Alhamdulillah mereka doakan saya tapi pada masa sama saya rasa tertekan sebab takut kalau tak dapat keputusan elok.
“Sampai saya terfikir… kalau tak dapat keputusan elok macam mana nak balas jasa abah. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik demi abah,” katanya yang menyasarkan untuk mendapat 6A, 3B dalam SPM nanti.
Sementara itu, Aisyah turut menasihati rakan seusianya supaya menghormati dan menghargai ibu bapa masing-masing.
Sumber: Sinar Harian
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Musim haji yang lalu, Datin Hajah Fouziah Gous dan suaminya, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof telah berpeluang menunaikan Rukun Islam yang ke lima. Namun cabaran buat Fouziah dan suaminya ialah ketika di saat-saat berangkat ke Tanah Suci Makkah, pasangan suami isteri ini terpaksa meninggalkan anak mereka, Zaheen Yusuf ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Dalam keadaan anak mereka yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Fouziah dan suaminya yakin bahawa ‘jemputan sebagai tetamu Allah’ lebih utama. Mereka hanya mampu berdoa dan berserah kepada yang Maha Kuasa agar keadaan menjadi terpelihara dan baik-baik sahaja.
Kuasa Allah, Fouziah dan suaminya kembali sekali lagi ke Tanah Suci Makkah bersama anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk menunaikan ibadah Umrah. Lebih manis lagi, dapat sambut hari jadi anak yang ditinggalkan di ICU ketika menunaikan haji beberapa bulan lalu di depan Kaabah. Subhanallah.
Ikuti catatan Fouziah di laman Instagramnya.
I’m officially turns 1 H A P P Y B I R T H D A Y bambam #zaheenyusuf Mommy and Daddy..
Segala puji pujian bagiMu Ya Allah.. terima kasih atas rezeki yg terindah buat anak ku ini.. terima kasih atas hadiah harijadi ini Ya Allah..
Usually mommy ni akan over excited nak celebrate birthday anak2. Apalagi bila 1st birthday kan.. tapi kali ini Allah pula menjemput mu untuk celebrate birthday Zaheen pada hari Jumaat yg mulia ini di depan Kaabah .. hari ini juga kami sekeluarga akan berangkat ke Madinah. Indahnya susunan Allah buatmu anak solehku…subahanaAllah maha suci Allah segala puji pujian bagimu yaAllah..
Mommy dan Daddy ke Haji tinggalkan Zaheen dalam ICU, belum sedarkan diri tapi tengok lah sekarang ni, rupanya Allah nak jemput anak solehku untuk sambut harijadi tanpa di rancang. Rezeki Allah buat mu luar biasa sayang.
Ya Allah berikanlah kesihatan yg baik buat anakku, rezeki yg luas seluas luas lautan, rezeki yg tidak putus, anak yg taat kepada segala perintahmu Ya Allah, anak kebanggaan dunia dan akhirat dan limpahkanlah segala Rahmatmu padanya Ya Allah.. amin ya rabbil alamin
Walaupun aku ini terlalu hina dan tidak layak tetapi Allah tetap memberi nikmat yg terlalu indah dalam hidupku.. semoga Allah SWT terus merahmati dan ampunkan segala dosa kami sekeluarga.. . Happy birthday anak syurga anak solehku.
Dalam rumah tangga, sikap tolak ansur antara suami dan juga isteri amat penting. Ia bagi memastikan kehidupan berumah tangga berjalan dengan lancar. Sebagai ketua rumah tangga adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memastikan segala keperluan keluarga dipenuhi.
Jika isteri bekerja, pastikan suami ringan tulang untuk membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Walau bagaimanapun ini bukan bermakna isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa tidak perlu dibantu oleh sang si suami. Menjadi kewajipan suami untuk membantu isteri.
Baca perkongsian berikut.
Cerita penceramah dan pakar kaunseling rumah tangga Tuan Haji Hussim, sahabat baik Dato Fadzilah Kamsah. Dia mengaku sangat bahagia bersama isterinya…
Katanya,” Saya bangga nak bagi tahu semua, dulu waktu anak-anak kecik, sayalah tukang cuci punggung anak-anak, salin lampin, sampai anak pancut kat muka, sayalah tukang basuh baju lampin semua…tu kerja saya…Isteri saya kata, “abg, malam2 abg ambik alih buat kerja tu semua ok”…kita sama2 kerja.
“Saya nak bagi tahu, dalam rumahtangga, suami kena rajin. Tak boleh malas…Lani dah senang, baru saya cari pembantu kat isteri saya. Tapi saya bangga nak bagi tahu itu yang saya buat dalam rumah tangga selama ini. Jemur baju kat luar, jiran sebelah tegur. Semua tu kerja saya dan saya tak malu mengaku..”
Berforum pula saya dengan Ustaz Nizam Kadir, katanya.. ?suami kena rajin, sampai siapkan makan untuk isteri sampai isteri boleh makan, ?siapkan pakai sampai suami tolong iron baju isteri, ?siapkan rumah sampai suami yang jaga kebersihan rumah, mengemas semua suami,
HABIS ISTERI? Isteri sediakan diri untuk suami, bercantik2, picit2 suami, bermuka manis. Kalau isteri buat kerja rumah, isteri dapat pahala.
Sebab tu kalau sama2 kerja, sama2 buat, tapi suami kena lebih sebab tu memang tanggungjawab suami.
Isteri kalau buat lebih, suami jangan lepas tangan pula, kena ada belas kasihan sebab ni bukan tugas isteri. Tapi hari ini perempuan buat kerja sampai tak ada masa rehat langsung, Mana tak tarik muka, mana muka tak nampak penat. Mana tak komplen suami. Macam mana nak bahagia rumah tangga?
Kita hari ni orang Melayu nampak suami buat lebih sikit, kita kata isteri dia queen control, Padahal itu yang Islam suruh. Orang perempuan buatlah kerja macam2, dalam hati dok menyumpah seranah, dalam hati dok kata nak reda tapi tak ikhlas-ikhlas juga, sia-sia saja. Last2 penat dapat, dosa pun dapat”
USTAZ ZAHAZAN MOHAMAD: “Menurut pendapat masyhur kalangan EMPAT MAZHAB, seorang isteri tidak diwajibkan melayani suaminya iaitu menyediakan makan, mencuci pakaian dan seumpamanya.
Seandainya isteri melakukannya, ia hanyalah sebagai kesopanan atau akhlak mulia terhadap suami. Bukan kerana kewajipannya.
Oleh itu, jika suami menuntut isterinya atas masalah ini ke pengadilan syariah, maka tetap isteri tidak boleh dipaksa (tidak diwajibkan) melayani suaminya. Maka, sangatlah adil kalau suami bekerja, memeras keringat untuk menanggung kehidupan keluarganya. Sedangkan isteri bekerja di rumah melayani kepentingan keluarga.
Jika isteri bekerja di luar rumah (sama2 mencari nafkah) maka sudah seharusnya suaminya turut membantu menyelesaikan pekerjaan di rumah. Apalagi jika mereka mempunyai anak yang masih kecil.
Jika kita tiada ilmu, jangan kita memandai-mandai menjatuhkan hukum semua urusan rumahtangga adalah kewajipan isteri.
Ikutlah acuan yang Nabi ajarkan. Saidatina Aisyah melaporkan Nabi ketika di rumahnya, bagindalah yang paling banyk senyum pada isterinya, yg paling bnyk khidmat dan buat kerja rumah untuk isterinya….
Menjadi wanita tidak penat. Jika suami faham tanggungjawab. Menjadi suami tidak penat, bila mana semua beban kerja hilang dengan melihat senyuman, kecantikan dan kasih sayang seorang isteri.
Adilnya Islam bila kita sama2 membantu…sama2 memuliakan antara satu sama lain.
SEMOGA ALLAH AMPUNKAN KITA SEMUA
Sumber kredit: Fb: Via Nor Syazrah
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Mesin claw adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain. Perbuatan ini akan menjurus kepada pelanggaran hak kedua-dua orang tua, isteri dan anak-anak. Pada akhirnya, mereka akan menjadi bahan cemuhan dan kebencian. Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya.
Gambar sekadar hiasan.
Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta kerana orang yang kalah buat kali pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang pada kesempatan-kesempatan yang lain. Kadang-kadang, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin, kemudian menjadi musuh ketat kepada mereka yang mengalahkannya.
JIKA ADA UNSUR PERTARUHAN, HUKUMNYA HARAM
Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (ynag mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146)
Menjawab kepada isu ini, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin claw ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan).
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
1.Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih. 2.Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. 3.Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa hukum permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain di mana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam.
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam. Amin.
Sumber kredit: Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?