Beruntungnya Kamu Wahai Anak, Doa Bapamu Mengiringi Kamu Kala Pergi Menuntut Ilmu

Share

Bertuahnya anak. Doa seorang bapa mengiringinya ketika dia menuntut ilmu. Sememangnya doa ibu bapa buat si anak itu paling mustajab.

Rutin seorang ayah kepada salah seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mencuri perhatian netizen di laman sosial. Ia dikongsikan oleh seorang guru yang dikenali sebagai Siti Zulikha di laman sosial Facebook miliknya.

Siti Zulikha menyatakan sepanjang bertugas menjaga pintu sekolah pada waktu pagi, itulah pertama kali dia melihat seorang ayah berdoa di luar sekolah setelah menghantar anaknya.


Sepanjang bertugas menjaga pintu sekolah pagi2, ini fenomena yang pertama kali cikgu lihat.

“Air mata cikgu menitis terus. Selepas mencium pipi dan dahi anak, Dan selepas si anak tidak melihat si ayah lagi.  Si ayah menadah tangan sambil berdoa dan sambil melihat anak. 

Sudah tentu mendoakan kejayaan si anak dalam menuntut ilmu. 

Cikgu juga ada anak. Terus cikgu berdoa. Apa yang  didoakan oleh si ayah ini. Ya Allah, kau sampaikan sedikit buat anak-anakku, tulis Siti Zulikha dalam laman akaun Facebooknya.


Nurul Aisyah, anak bongsu kepada Bakri Md Noor, 53, lelaki yang videonya tular di media sosial itu tidak menduga ‘amalan’ bapanya itu akan mendapat perhatian ramai. Pelajar tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, dia sudah terbiasa dengan amalan tersebut yang turut menjadi ikutan mereka lima beradik sejak kecil lagi.

Aisyah bersama adik beradiknya.

“Abah memang buat macam tu dengan kami adik-beradik dari arwah mak ada lagi… satu keluarga kami memang macam tu.

“Masa mak ada lagi, masa abah nak pergi kerja kami akan lambai abah dari rumah. Mak akan baca doa semoga perjalanan abah selamat. Jadi ia sudah jadi rutin sebab mak selalu tunjuk, jadi kami pun ikut sekali,” katanya.

TERHARU

Ketika pertama kali melihat video tular tersebut, Nurul Aisyah atau lebih mesra disapa Aisyah berkata dia amat terharu dengan tindakan bapanya itu.

“Macam biasa saya akan salam abah kemudian cium pipi abah sebelum masuk sekolah. Saya tahu abah doakan saya tapi bila tengok video itu, saya rasa terharu.

“Dalam hati kecil saya kata alhamdulillah bertuahnya dapat bapa macam abah sebab jarang kita tengok bapa orang lain buat macam tu,” katanya.

Aisyah tidak menolak selain pentingnya usaha, doa ibu dan bapanya menjadikan mereka lima beradik cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

“Walaupun saya tak tahu apa yang ibu dan abah doakan untuk kami tapi saya tahu mereka mahukan semua anak mereka berjaya,” katanya.

Menurut Aisyah, bapanya pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ibunya, Sabariah Ariffin yang menghidap kanser paru-paru pada 2014.

“Mak dikesan kanser tahap 4 hujung tahun 2014. Jadi abah jaga mak sampailah mak meninggal pada 29 November 2016,” katanya.

Selepas pemergian ibunya, Aisyah berkata bapanya membuat keputusan untuk tidak lagi bekerja dan berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan demi memberi tumpuan kepada dirinya yang masih bersekolah.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu juga, kakak sulungnya bekerja sebagai jurutera manakala kakak ketiganya juga menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam.

“Insya-ALLAH saya juga akan mengikut jejak langkah kakak-kakak saya tapi saya lebih berminat dengan komputer dan teknologi,” kata pelajar aliran sains itu.

BERAZAM DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG

Katanya, sebagai anak bongsu dia rapat dengan ibu. Jadi sebelum ibunya meninggal, ibunya berpesan kepada ayahnya agar menjaganya sampai habis sekolah.

“Abah tunaikan janji mak. Abahlah yang hantar dan ambil saya balik sekolah naik motor. Dia juga akan masak untuk Aisyah.

“Sekarang abah jual nasi lemak. Kalau ada orang order dia akan buatkan. Abah belajar dari arwah mak sebab dulu mak pun berniaga nasi lemak,” katanya yang tinggal bersama bapa dan abangnya di Juru, Pulau Pinang.

Memandangkan Aisyah akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) November ini, dia berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang bagi membalas jasa bapanya.

“Saya pernah janji dengan arwah mak nak berjaya… nak bawa mak jalan-jalan tapi tak sempat. Kalau nak patah balik masa memang tak dapat, jadi inilah peluang saya nak balas jasa abah.

“Bila tengok video viral ramai komen baik-baik… Alhamdulillah mereka doakan saya tapi pada masa sama saya rasa tertekan sebab takut kalau tak dapat keputusan elok.

“Sampai saya terfikir… kalau tak dapat keputusan elok macam mana nak balas jasa abah. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik demi abah,” katanya yang menyasarkan untuk mendapat 6A, 3B dalam SPM nanti.

Sementara itu, Aisyah turut menasihati rakan seusianya supaya menghormati dan menghargai ibu bapa masing-masing.

Sumber: Sinar Harian

Published by
wan erni