Memasak untuk suami dan keluarga memang sebahagian rutin buat seorang isteri. Meskipun bekerja namun tugas memasak ini tetap dilakukan oleh sebahagian besar isteri demi keluarga tersayang meskipun penat.
Bukan saja untuk berjimat, ia juga salah satu cara isteri untuk membahagiakan suami dan anak-anak.
Dalam pada itu ada juga isteri yang gigih memasak kerana percaya ada riwayat hadis yang menyebut ia sebagai salah satu cara untuk menghalang diri daripada api neraka.
Perkara inilah yang diutarakan oleh seorang netizen kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang kesahihan hadis tersebut.
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan kesahihan hadis Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah seperti di bawah:
Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi (Abu Hurairah RA).
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan riwayat ini merupakan riwayat yang palsu. Ia tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar bahkan karya himpunan hadis-hadis daif.
Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam Bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan untuk menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.
Tidak salah untuk memberikan galakan kepada para isteri untuk berkhidmat pada suaminya namun janganlah sehingga menyebarkan hadis-hadis yang palsu kerana ia satu perbuatan yang berdosa. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”1 (Riwayat al-Bukhari)
Hadis sahih tentang ganjaran mentaati dan melayani suami
Sebenarnya terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”2. (Riwayat Ibn Hibban)
Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku mengkhabarkan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”3 (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, seorang isteri yang memasak untuk ahli keluarganya akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT kerana ia suatu perbuatan yang mulia.
Dalam situasi banjir dan ditempatkan di kawasan penempatan sementara atau terperangkap di jalan raya berikutan air naik, bolehkah kita menghimpunkan solat iaitu solat jamak di kawasan terperangkap? Mungkin ramai yang berasa risau dengan situasi air naik tapi solat adalah perkara wajib kita lakukan.
Merujuk kepada perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenai soalan ini, bolehkah mangsa banjir untuk solat jamak berdasarkan dalil Nabi solat jamak ketika hujan? Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk mereka melakukan solat jamak semasa banjir. Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjamaah pada setiap solat fardhu. Adapun solat jamak ketika hujan, ianya memang benar warid dari Nabi SAW dan dibolehkan disisi mazhab Syafie (Al-Umm, 1/95 ; Al-Majmu', 4/378). Akan tetapi ianya hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha' iaitu:
Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan tidak jamak ta'khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama. (Al-Mu'tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/484 – 485)
Solat yang kedua (Asar atau Isya') mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid. (Mughni al-Muhtaj, 1/274; Al-Hawi, 4/494; Al-Majmu' 4/258)
Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak. (Al-Umm, 1/95)
Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan. (Al-Majmu', 4/378)
Wallahu a'lam. Foto : MEDKOM /BERNAMA
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Setiap satu jam, seorang anak luar nikah lahir.’ Jaga ikhtilat, nampak kecil tapi impaknya besar kepada masyarakat.
Ikhtilat secara umumnya membawa maksud percampuran antara dua jantina di satu-satu tempat. Ia adalah satu perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita.
Ikhtilat boleh berlaku di pasar, jalan raya, ketika solat berjemaaah di masjid, di sekolah, di pejabat waima di tempat kerja sekalipun.
Pada awalnya, ikhtilat dibolehkan oleh syarak, tetapi dengan beberapa syarat tertentu. Jika tidak, maka sulitlah kehidupan manusia seharian.
Walau bagaimanapun, kita perlulah membezakan antara ikhtilat yang dibenarkan dan khulwah yang diharamkan.
Ikhtilat, sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi, hukum asalnya adalah mubah (harus) bagi memudahkan kehidupan manusia. Tiada halangan padanya kecuali jika ia membawa kepada perkara yang haram.
Sementara khulwah pula, ia bermaksud percampuran antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini) di sesuatu tempat tanpa ditemani oleh mahram perempuan tersebut.
Seorang Anak Luar Nikah Lahir
Hukum asal bagi khulwah ini adalah haram, kecuali pada perkara yang dharurat. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada berlakunya fitnah.
Isu ikhtilat ini turut mendapat perhatian Ustaz Adnin, ini penjelasannya mengenai persoalan lelaki dan perempuan boleh berkawan rapat atau tidak.
Saya ulang balik, hukum asal ikhtilat adalah apa dia? Haram, ia hanya harus kalau ada hajat dan darurat sahaja, ada keperluan sahaja, itupun kena berurusan dalam keadaan profesional.
Jaga Ikhtilat
Oleh itu, sekiranya kita tidak ada apa-apa hajat untuk kita sembang, untuk kita chatting dengan orang yang berlainan jantina. Tak kisah kawan ke apa, maka perlu atau tak perlu.
Sebaiknya tak perlu langsung bercakap, sebab benda ini nampak macam kecil tapi impaknya dia besar. Sebab itulah kes anak luar nikah dekat Malaysia, setiap tahun 50,000 kes.
Nampak Kecil Tapi Impaknya Besar
Maknanya setiap 1 jam, 1 orang anak luar nikah lahir. Hari ini program kita 2 jam, 2 anak luar nikah lahir tanpa kita sedar. Jangan anggap perkara ini macam bahan jenaka, ini benda serius. Berpunca daripada benda-benda kecil beginilah.
Sebab itulah jangan sudah terjebak dengan zina, baru hendak rasa bersalah, orang beriman dia usaha untuk jauhi maksiat walaupun sekecil-kecil perkara.
Adat dalam perkahwinan adalah harus selagi mana kepercayaan dan ritual tersebut tidak membawa kepada khurafat. Sebenarnya adat perkahwinan dalam sesebuah masyarakat itu tidak salah.
Namun janganlah pula berlebihan hingga bercanggah dengan hukum agama. Tidak dinafikan, masing-masing ingin melakukan yang terbaik dalam mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan, tapi perlulah berhati-hati dalam mengikut trend.
Ikuti perkongsian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ini berkaitan adat dalam perkahwinan Melayu adakah ianya haram jika diikuti.
Soalan:
Apakah hukum bagi adat-adat seperti berikut.
1) Adat menyarung cincin ketika bertunang.
2) Adat menyarung cincin setelah akad nikah (adat batal air sembahyang).
3) Bersanding di khakayak ramai ketika walimah contohnya di hadapan dewan (tanpa melakukan sebarang upacara khurafat, sekadar duduk dengan menjaga batas aurat).
Pertunangan Dalam Islam
Pertunangan atau khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya.
Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya,maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, halaman 3]
Maksudnya: “Dan tidak ada dosa bagi kamu semua meminang wanita-wanita itu dengan kiasan/ sindiran”.
Imam Khatib al-Syarbini menyatakan dalam kitabnya mengenai definisi khitbah:
الخطبة التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة
Maksudnya:
Khitbah itu ialah pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan yang dilakukan oleh pihak pelamar (lelaki) kepada pihak yang dilamar (perempuan). [Lihat Mughni al-Muhtaj, jilid 3, halaman 183]
Dalam mazhab Syafie, hukum khitbah ini adalah disunatkan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melamar Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar.
Adalah Harus Selagi Mana
Perkahwinan Dalam Islam
Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga salah satu sunnah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
وَمِن كُلِّ شَيۡءٍ خَلَقۡنَا زَوۡجَيۡنِ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”
[Surah al-Dzariyat: 49]
Sebuah perkahwinan akan dianggap sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan syarak.
Dr. Muhammad Zuhaili telah menyebut dalam kitabnya bahawa tidak akan sempurna akad nikah itu melainkan dengan memenuhi rukun-rukunnya dan melengkapi syarat-syarat bagi setiap rukun tersebut.
Beliau juga memperincikan rukun-rukun nikah kepada enam perkara iaitu sighah (ijab dan qabul), al-‘aqidan (pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.
Adat Menyarung Cincin Ketika Pertunangan dan Perkahwinan
Pada asalnya, perbuatan menyarung cincin bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat turun temurun bagi masyarakat Melayu semata-mata.
Lazimnya, mengikut adat masyarakat Melayu ketika pertunangan, cincin bertunang akan disarungkan oleh wakil keluarga lelaki yang kebiasaannya bakal ibu mertua kepada bakal pengantin perempuan sebagai tanda atau simbolik untuk ke arah perhubungan yang serius iaitu menjadikan wanita tersebut sebagai isteri.
Begitu juga adat menyarung cincin setelah akad nikah. Ia bukanlah satu rukun atau syarat dalam menentukan bahawa akad itu sah atau tidak kerana ia tidak termasuk dalam rukun nikah bahkan merupakan satu adat yang juga dipanggil sebagai acara batal air sembahyang.
Menurut sebuah kaedah fiqh:
الأصل في العادات الإباحة إلا ما ورد عن الشارع تحريمه
Maksudnya: “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”
Kepercayaan & Ritual Tersebut
Justeru, adat kebiasaan yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat itu adalah harus selagi mana tidak terdapatnya perkara atau dalil yang mengharamkan adat kebiasaan tersebut.
Misalnya terdapat sebarang kepercayaan atau ritual berkenaan adat tersebut yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpendapat adat menyarung cincin ketika bertunang merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah selagi mana tiada perkara yang melanggar syarak dilakukan.
Sebagai contoh, si lelaki sendiri menyarungkan cincin tunang kepada bakal isterinya atau terdapat kepercayaan bahawa dengan pemakaian cincin itu, ia akan membina ikatan yang kuat antara bakal pasangan pengantin.
Keyakinan yang sebegini adalah bertentangan dengan syarak, maka hendaklah ditinggalkan.
Begitu juga dengan adat batal air sembahyang iaitu dengan menyarungkan cincin antara pasangan pengantin harus dilakukan dengan syarat tiada perbuatan lain dilakukan antara suami isteri yang melampaui batas syarak yang tidak sepatutnya dipertontonkan di hadapan khalayak ramai.
Namun, kami juga berpendapat adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara bertutup tanpa menjadi tatapan umum.
Bersanding Ketika Walimah
Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.
Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabiah walaupun bukan dengan tujuan syahwat sekiranya tiada sebab yang mengharuskan baginya melihat wanita tersebut.
Namun, sekiranya terdapat sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, dalam majlis pengajian, berubat dan ketika berjual beli maka tiada masalah untuk lelaki ajnabi melihat wanita ajnabiah.
Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin.
Maka kami katakan, tiada masalah jika ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat, adab-adab dan batasan-batasan diraikan dan dijaga dengan baik.
Tidak Membawa Kepada Khurafat
Di antara adab-adab dan batasan-batasan yang perlu dititik-beratkan ketika bersanding adalah:
Sekiranya mengadakan pelamin, perlu diingatkan bahawa ia tidak dilakukan secara berlebihan yang menjurus kepada pembaziran serta tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan.
Adat bertepung tawar dan menabur beras kunyit tambahan yang disertai dengan jampi dan mantera adalah haram dilakukan. Sebaliknya, adalah lebih baik sekiranya dilaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan pasangan pengantin.
Pasangan pengantin perlulah menjaga etika berpakaian iaitu pakaian yang menutup keseluruhan aurat bagi lelaki dan wanita, pakaian yang tebal dan tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit dan pakaian yang longgar sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh.
Berhias termasuk make-up sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah SWT, tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak menghiraukan batasan syarak dalam perhiasan diri seperti bertabarruj dan membazir.
Harus Selagi Tidak Keterlaluan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan huraian di atas kami berpandangan bahawa hukum asal untuk bersanding ini adalah harus.
Namun, terdapat perkara-perkara yang berlaku di sebaliknya yang menyebabkan perbuatan tersebut menjadi haram, seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas lelaki dan wanita, mendedahkan aurat atau mempertontonkan pengantin perempuan kepada lelaki ajnabi secara terbuka dengan perhiasan yang berlebihan dan juga melakukan pembaziran.
Sekiranya kesemua perkara ini dapat dielakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut. Sebaliknya, jika perkara yang disebutkan seperti di atas tidak dapat diraikan atau dilaksanakan, maka hukumnya tetap menjadi haram.
Menjadi rutin atau satu kemestian buat kebanyakan kita pergi ke pasar mahu pun pasar raya bagi membeli keperluan rumah dan diri.Namun satu perkara yang...