Memasak untuk suami dan keluarga memang sebahagian rutin buat seorang isteri. Meskipun bekerja namun tugas memasak ini tetap dilakukan oleh sebahagian besar isteri demi keluarga tersayang meskipun penat.
Bukan saja untuk berjimat, ia juga salah satu cara isteri untuk membahagiakan suami dan anak-anak.
Dalam pada itu ada juga isteri yang gigih memasak kerana percaya ada riwayat hadis yang menyebut ia sebagai salah satu cara untuk menghalang diri daripada api neraka.
Perkara inilah yang diutarakan oleh seorang netizen kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang kesahihan hadis tersebut.
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan kesahihan hadis Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah seperti di bawah: Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi (Abu Hurairah RA).
Riwayat palsu
Menurut
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan riwayat ini merupakan riwayat yang palsu. Ia tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar bahkan karya himpunan hadis-hadis daif.
Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam Bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan untuk menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.
Tidak salah untuk memberikan galakan kepada para isteri untuk berkhidmat pada suaminya namun janganlah sehingga menyebarkan hadis-hadis yang palsu kerana ia satu perbuatan yang berdosa. Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”1 (Riwayat al-Bukhari)
Hadis sahih tentang ganjaran mentaati dan melayani suami
Sebenarnya terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”2. (Riwayat Ibn Hibban)
Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku mengkhabarkan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”3 (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, seorang isteri yang memasak untuk ahli keluarganya akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT kerana ia suatu perbuatan yang mulia.