“Walau pun tak solat tapi dia baiknya orang. Selalu buat amal, sedekah…” kata kata sebegini mungkin ada kita dengar. Namun sebagai muslim seharusnya kita tahu sebaik mana seseorang itu, perkara pertama yang dihisab di akhirat kelak adalah solatnya.
Berkenaan dengan amal baik yang dilakukan, ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa orang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh yang lain tidak diterima oleh Allah.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A menceritakan bahawa jika baik dan sempurna solat maka baiklah amalan lainnya, sebaliknya jika buruk solatnya maka buruklah amalan lainnya. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya. Riwayat al-Thabrani (1859)
Dalam riwayat yang lain, terdapat hadis menceritakan tentang perkara ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain. Riwayat al-Tirmizi (413)
Imam Munawi dalam menjelaskan hadis di atas menyatakan bahawa (صلح له سائر عمله) memberi maksud bahawa jika amalan solatnya sempurna dan diterima oleh Allah, maka Allah akan mempermudahkan proses perhitungan dan pemeriksaan amalan-amalan yang lain.
Begitu juga maksud (فسد سائر عمله) iaitu amalan-amalan yang selain solat akan rosak jika solat tidak sempurna dan tidak diterima yang mana membawa maksud Allah akan menyempitkan proses penilaian amalan-amalan yang lain selain solat lima waktu.
Ads
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi sesiapa yang meninggalkan keseluruhan solat fardu maka segala amalannya tidak diterima hal ini kerana solat itu adalah tiang agama.
Tak solat dosanya sangat besar
Meninggalkan solat sama ada dengan sengaja atau tidak merupakan satu dosa yang sangat besar dan diberi amaran dengan ancaman yang berat di sisi syarak bahkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja dan mengingkari kewajipannya, para ulama bersepakat bahawa mereka itu terkeluar daripada agama Islam dan dihukum sebagai kafir.
Berdasar kepada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa meninggalkan solat merupakan perkara yang sangat berat dalam Islam. Ini kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim.
Begitu juga solat sebagai tanda keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Dengan meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah SWT. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.
Ads
Namun dari segi ganjaran amalan baik yang lain, Allah SWT akan mengambil kira amalan tersebut walaupun sebesar mana sekali pun, sama ada baik atau buruk. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (8)(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Walaubagaimana pun, sememangnya ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa orang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh yang lain tidak diterima oleh Allah.
Ketika ini manusia diduga dengan banyak perkara yang melekakan. Lihat saja selesai kerja atau tugas kita ralit melayan ‘handphone’. Malah ada yang usai solat terus mencapai gajet ini untuk melihat kandungan yang melekakan.
Kita duduk bersahaja tanpa membuat apa-apa sedangkan masa yang ada di dunia sangat berharga dan Allah memerintahkan kita agar mengisi masa kosong kita dengan amal soleh.
Perkara ini dijelaskan oleh Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu perkongsian beliau.
Saidina Umar benci melihat lelaki yang duduk bersahaja
Ketika menghuraikan dua ayat terakhir dari Surah al-Sharh, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita agar mengisi masa kosong kita dengan amal soleh.
Firman Allah:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ . وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) [7] Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). [8] – Surah al-Sharh
Secara umumnya ayat ini membimbing kita agar melakukan amalan ketaatan setelah kita selesai melakukan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh, setelah kita selesai menggandakan ibadah, maka jangan pula dibiarkan masa lapang kita menjadi kosong dari sebarang amalan. Malah kita digalakkan untuk meneruskannya dengan melakukan amal kebaikan yang lain pula.
Sheikh al-Tantawi menukilkan kata-kata Saidina Umar yang membenci melihat lelaki yang duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa amalan tidak kira amal untuk dunianya atau akhiratnya. Kata Umar: إنّى لَأَكْرَهُ لأَحَدِكُمْ أَنْ يَكُونَ خَالِياً، لاَ فِيْ عَمَلِ دُنْيَا وَلاَ دِيْن Aku membenci salah seorang dari kamu yang duduk bersahaja (dalam masa kosongnya). Tidak melakukan amalan samada amal untuk dunianya atau agamanya. (Tafsir al-Wasit)
Perbuatan menangguhkan amalan juga tidak disukai
Bahkan, perbuatan menangguh-nangguh amalan juga adalah sesuatu yang tidak disukai oleh salafussoleh terdahulu. Al-Khatib al-Baghdadi pernah menulis satu bab mengenai Zamm al-Taswif (Celaan Terhadap istilah : “Nanti Aku Buat”).
Beliau menukilkan kata-kata al-Hasan yang menyatakan:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، إِيَّاكُمْ وَالتَّسْوِيفَ.. سَوْفَ أَفْعَلُ، سَوْفَ أَفْعَلُ
“Wahai anak muda, hendaklah kamu menjauhkan dirimu dari taswif. (Apakah itu taswif? Iaitu perkataan kamu yang menyatakan:) “Nanti aku buatlah” “Nanti aku buatlah”.
Oleh yang demikian, isi masa lapang dengan perkara yang berfaedah dan jauhi sikap suka bertangguh-tangguh.
Adakah membiarkan pakaian bersidai pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan? Kerana kami (suami dan saya) dua-dua kerja, kadang bila sampai rumah dah senja jadi harap ada pencerahan daripada pihak Mufti. Terima kasih.
Kalau dah petang, pakaian masih belum diangkat di ampaian orang tua cukup marah. Kata mereka nanti diludah syaitan. Kita pun sampai sekarang masih mengikut kata-kata ini.
Tapi betul ke ada hadis yang mengatakan perkara ini. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini memberikan penjelasan tentang kepercayaan ini.
Tiada nas syarak
Masyarakat Islam Nusantara terkenal dengan pantang larang orang tua-tua. Hal ini bertujuan mendidik generasi muda agar dapat mempraktik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Meskipun kadang-kadang akibat daripada melanggar pantang larang itu tidak tercapai dek akal dan tidak berpijak pada bumi nyata, namun ia mempunyai nilai-nilai murni yang mampu mendidik generasi muda secara langsung mahupun tidak langsung. Unsur nilai yang diperolehi daripada pantang larang tersebut adalah pelbagai seperti sikap hormat, bersopan santun, sentiasa berwaspada, berbudi pekerti dan seumpamanya.[2]
Berkenaan dengan isu membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan, setelah diteliti tidak dijumpai nas syarak yang menyebutkan sedemikian.
Perkara ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu. Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan satu hadis iaitu Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah SWT kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”[3] Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam memahami hadis ini, Imam Ibn ʻAbd al-Barr menyebut bahawa hadis ini menunjukkan perintah supaya menutup pintu-pintu pada malam hari terutama apabila tibanya senja itu adalah sunnah. Ia juga sebagai perlindungan kepada manusia daripada terkena kecelakaan atau keburukan syaitan dalam kalangan manusia dan jin.[4]
Selain itu, larangan berada di kawasan luar rumah ketika waktu senja kerana ketika itu syaitan aktif berkeliaran maka ditakuti kanak-kanak juga akan terkena gangguan daripada syaitan.[5] Bahkan pada waktu tersebut merupakan waktu kesukaan syaitan untuk menikmati kotoran dan kotoran itu kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak.[6]
Kesimpulan
Tidak dijumpai mana-mana nas syarak yang menyebutkan membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan.
Meskipun begitu, hal ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu yang bertujuan untuk mendidik generasi muda agar tidak keluar rumah di waktu senja.
Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang melarang keluar rumah ketika senja dan menyuruh supaya kesemua pintu rumah ditutup.
Setiap hari jangan lupa selit doa ini, agar hati kita reda dengan ujian Allah. Hidup kita tidak lari daripada ujian, tapi percayalah setiap ujian yang mendatang pasti ada sebabnya.
Sama ada Allah ingin menghapuskan dosa-dosa atau Dia mahu mengangkat darjat kita. Tidak semestinya ujian yang datang adalah musibah, kerana kadang-kadang Allah datangkan pelangi selepas ujian.
Ikuti perkongsian Puan Nurlia Mohd Nor tentang doa ringkas yang mampu kita tenang dan reda dengan setiap Ketentuan Allah SWT. Jangan lupa amalkan.
Ada satu doa yang Abah pernah ajar agar kita reda dan terima apa juga yang Allah sudah atur untuk kita. Simple saja doanya,
“Jika itu yang terbaik untuk ku Engkau permudahkanlah, jika tidak Engkau tunjukkanlah jalan lain yang terbaik…”
Bila kita berpegang pada doa ini kita akan faham dan reda bahawa tak semua yang kita nak itu terbaik pada pandangan Allah. Baik untuk orang lain, tak semestinya baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya.
Selit Doa Ini
Ada satu peristiwa yang saya yakin dalam hidup saya ada hikmahnya yang tersendiri. Saya pernah minta untuk menjadi guru melalui program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).
Bayangkan 3 kali minta tak lepas. Semasa mengandungkan si kembar saya usung perut bawa mereka untuk ujian bertulis, selepas mereka sudah dilahirkan pun saya usaha lagi tapi ternyata peluang menjadi guru bukan rezeki saya.
Tapi…
Di sebalik itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi. Tak dapat jadi guru saya memilih untuk menjadi surirumah dan menjadi guru kepada anak- anak. Saya sentiasa ada bersama mereka di waktu mereka memerlukan.
Agar Hati Kita Reda
Hidup dengan gaji suami seorang banyak mengajar saya untuk berjimat cermat. Taklah mewah tapi cukup. Ada tempat tinggal, ada makan minum dan pakaian itu sudah buat saya bersyukur.
Dan perkara paling mengembirakan saya adalah apabila saya dapat menjaga kedua orang tua sampailah sekarang walaupun yang tinggal hanyalah Abah seorang setelah Mak meninggal pada tahun 2019.
Dengan Ujian Allah
Kena yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang kita tak nampak. Tak semesti yang kita nak itu terbaik untuk diri kita dan begitu juga sebaliknya. Sebab itu jangan lupa selitkan setiap hari dengan doa ini.
“ Jika itu yang terbaik untuk ku Engkau permudahkanlah, jika tidak Engkau tunjukkanlah jalan lain yang terbaik…”
Terdapat beberapa amalan yang mudah, tetapi dijamin syurga oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Berikut adalah di antaranya yang mana terdapat dalam hadis sahih.Perkara...