Bicara Rasulullah Wanita Terima Azab Di Neraka! Dosa Kerana Di Hatinya Tiada Belas Ihsan Kepada Kucing

Share

Kita dituntut bersikap ihsan kepada semua termasuk termasuk manusia dan binatang. Jika menganiaya manusia itu berdosa, melakukan penganiayaan kepada binatang juga perbuatan zalim dan berdosa besar.

Bersikap ihsan ini sangat dituntut biarpun ada sebahagian binatang menjadi makanan kita. Malah saat ingin menyembelihnya disarankan bersikap menggunakan pisau tajam, makruh mengasah pisau di depan binatang dan binatang lain di depannya.

Ini dinyatakan dalam satu hadis,

Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ ‏"

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah. Sahih Muslim (1955)

Hal yang sama turut dinyatakan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda, seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.” (Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)

Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat. (Sunan an-Nasa’ie (4446) (sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).
Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.”
(Hadits riwayat Ahmad)

Hal menganiayai binatang ini turut pernah diulas oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan bahawa berdosa menganiaya haiwan sama ada binatang haram atau yang halal dimakan atau disentuh bagi orang Islam di dalam akhbar Sinar Harian.

Menurutnya, semua haiwan perlu dikasihani melainkan yang membahayakan nyawa maka dibolehkan untuk membunuhnya.

“Tidak kira haiwan itu halal atau haram bagi umat Islam, asalkan ia tidak mengancam kita maka tidak boleh diseksa atau dicederakan.

“Hukum jika melakukan perkara tidak perikemanusiaan itu adalah berdosa kerana menganiaya binatang. Jika binatang berbahaya yang mengganas sehingga mengancam nyawa, lebih baik terus dibunuh tanpa mencederakan sehingga boleh menyiksanya,”

Published by
almaswa Haji Che Ros