Al-Quran, kalamullah yang mukjizat. Bahkan sejak diturunkan, Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah S.W.T:-
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya:“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya”. (Surah Al-Hijr : 9).
Sesuai dengan mukjizatnya, program World#Quran Hour yang memasuki tahun ke tujuh pengajurannya sekali lagi menemui orang ramai pada 24 Ramadan ini bersamaan 26 April 2022 tepat jam 12.00 tengahari sehingga jam 1 petang.
Mengangkat surah Al Sajdah surah ke 32 yang mengandungi 30 ayat dan juzuk ke 21, dengan tema “BERINTERAKSI DENGAN AL-QURAN : DUNIA BERBUDI DAN PENYAYANG”.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, sejak program Quran Hour dilancarkan pada 2015 hingga 2021, seramai 2.63 bilion peserta telah menyertai program ini.
“Tahun 2019, kita mencatatkan jumlah paling tinggi penyertaan iaitu seramai 1.46 bilion sementara tahun lalu hanya mencatatkan jumlah 152,00 peserta. Jumlahnya jauh berkurangan akibat pandemik dan pengiraan peserta tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Namun jumlah keseluruhan sejak dilancarkan mencecah 2.63 bilion orang,”katanya semasa Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia Secara Online Sempena World #QURANHOUR 1443H/2022 : “Dunia Bersujud”.
Bagi World#Quran Hour ia memasuki tahun ke tujuh sementara bagi Malaysia #QuranHour ia memasuki tahun ke lapan.
Program bersiaran secara langsung dari studio Tv Al Hijrah pada 26 April ini akan mengangkat surah Al Sajdah.
Surah ini dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022 dengan matlamat menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.
“Dua aspek utama dalam solusi ekonomi ummah iaitu aspek pendidikan dan ekonomi akan dibincangkan agar Surah Al-Sajdah ini menjadi panduan untuk perubahan kerangka fikir ummah.
“ Fokus Surah Al-Sajdah adalah sebagai solusi kepada rasa sombong dan kurang bersyukur dalam diri sehingga mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat dan negara. Melalui pendidikan tentang sujud seorang hamba seperti diperintahkan dalam Surah Al-Sajdah, formula dari Ilahi ini akan meningkatkan rasa kehambaan kepada ALLAH SWT, membuang ego pada sesama dan membuahkan hasil Dunia Berbudi dan Penyayang.
Selain World#QuranHour, melalui surah sama juga, Malaysia#QuranHour akan diadakan pada 30 Ogos 2022 bersamaan 2 Safar 1444H, sempena sambutan Hari Merdeka, dalam usaha menghayati al-Quran dalam konteks pembangunan Negara yang Berbudi dan Penyayang.
Sementara World Quran Convention (WQC) menjadi platform perkongsian ilmiah dan medan perbincangan berteraskan al-Quran dengan surah dan tema yang dipilih. Program tersebut diadakan pada 17 dan 18 Disember 2022 akan datang.
Misi #QuranHour 2022 yang akan diadakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dengan kerjasama JAKIM, TV Al-Hijrah, Islamic Tourism Center (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara, bersama sinergi media cetak dan elektronik melalui pendekatan Baca, Faham dan Amal al-Quran.
Panduan Tadabbur Surah Al-Sajdah World #QuranHour
Sama-sama kita gemakan Surah Al-Sajdah pada 24 Ramadan ini dari seluruh dunia, di tempat masing-masing sama ada di rumah, di masjid, di pejabat atau di mana-mana sahaja anda berada.
Klik link dan dengar panduan daripada Ustaz Safri Muhammad Zein:
https://drive.google.com/drive/folders/1VY42fgjjtGZ0UgPImG-df5tkoKeeqIkv
Daftar hotspot anda di: https://bit.ly/REGWQH2022
Kempen ini merupakan inspirasi dan cetusan agar potensi setiap individu dapat dilonjakkan dan diterjemahkan berlandaskan sistem operasi al-Quran serta penyelarasan kerangka fikir yang dipandu Sunnah Rasullulah SAW.
Semoga kita semua dapat bersama-sama pada 26 April akan datang demi memartabatkan Al-Quran.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang benar-benar percaya kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan lagi pula mereka tidaklah sombong.” (Surah Al-Sajdah, 32:15)