Seperti yang kita ketahui, antara suami dan isteri, memang tiada langsung batas aurat antara satu sama lain. Sama ada suami atau isteri, masing-masing bebas menyentuh dan menerokai tubuh masing-masing. Walau bagaimanapun apabila suami isteri atau salah seorang ada wuduk bersentuhan antara satu sama lain, adakah batal air wuduk?
Tapi ada juga yang berpendapat wuduk tak batal. Sebenarnya batal atau tidak?
Dalam permasaalahan ini para ulama berbeza pendapat:
Mazhab Hanafi berpendapat sentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wuduk selagi ia tidak menyebabkan nafsu seseorang itu terangsang sama ada dari pihak lelaki ataupun perempuan.
Jika nafsu syahwat telah terangsang akibat daripada sentuhan berkenaan, maka wuduk mereka akan terbatal.
Ads
Lain pula yang dilihat oleh Mazhab Maliki yang berpendapat, wuduk hanya akan terbatal jika menepati syarat berikut:
Lelaki atau perempuan yang telah bersentuhan atau tersentuh itu telah mencapai umur baligh. Ini bermaksud menyentuh anak kecil yang belum baligh tidak akan membatalkan wuduk.
* Sentuhan yang berlaku antara mereka sama ada secara sengaja atau sebaliknya menyebabkan nafsu terangsang. Oleh yang demikian, sentuhan yang tidak membangkitkan nafsu tidak akan membatalkan wuduk.
* Bersentuhan mestilah bertemu kulit dengan kulit tanpa sebarang kain atau lapik.
Ads
Pandangan Mazhab Syafie agak tegas berbanding mazhab lain yang berpendapat sentuhan yang berlaku antara lelaki dan wanita (bukan mahram) akan menyebabkan wuduk terbatal. Hukum itu bersifat umum untuk semua keadaan dan lapisan masyarakat sama ada tua atau muda, hidup atau mati, sengaja atau kebetulan, bernafsu atau sebalik.
Mazhab Hambalihanya mengkhususkan hukum kepada sentuhan yang bersyahwat. Jika sentuhan yang berlaku itu tidak menyebabkan nafsu terangsang, maka wuduk mereka tidak batal. Jika rangsangan syahwat berlaku akibat daripada sentuhan itu, maka wuduk mereka akan terbatal walaupun ia berlaku antara mahram.
Semua penjelasan di atas membuktikan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam isu ini.
Ads
Bagaimanapun, pendekatan yang dibuat oleh Mazhab Syafie adalah terpilih untuk diamalkan memandangkan ia adalah mazhab rasmi di Malaysia. Pegangan kita di Malaysia adalah Mazhab Syafie.
Berpegang dengan Mazhab Syafie lebih diutamakan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam jika tidak kena dengan gayanya.
Wallahua’lam.
https://www.youtube.com/watch?v=2GUkdRmPYJE
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Masuk sahaja ke surau atau bilik solat wanita pada hari ini, akan terlihatlah pelbagai jenis kain dan rekaan telekung yang digayakan oleh jemaah wanita. Ada yang berenda, kain jenis lycra, berwarna-warni dan bermacam lagi. Namun persoalan yang sering ditimbulkan ialah hukum solat orang yang memakai telekung yang kita anggap ‘berfesyen’ ini. Untuk itu, kita perlu melihat beberapa perkara.
Perkara pertama tentang pakaian solat adalah ia perlu menutup aurat secara sempurna. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ketika solat adalah pakaian yang tidak memperlihatkan atau menggambarkan apa di sebalik kain yang menutupi tubuh. Bahkan seharusnya tidak memperlihatkan rupa bentuk atas sebab ketatnya pakaian itu atau jarang serta nipisnya pakaian tersebut sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Maka pakaian yang menutup aurat seseorang itu haruslah menutupi keseluruhan tubuh (kecuali muka dan kedua tangan) dan tidak menampakkan anggota tubuh atau warna kulit atas sebab longgar mahupun nipisnya kain. Tidaklah longgar itu dimaksudkan dengan selonggar-longgarnya namun apa yang penting adalah tidak menjelaskan rupa bentuk tubuh terutama pada bahagian tertentu seperti dada dan lain-lain. Di samping, tidak dibolehkan juga memakai pakaian compang-camping (tidak sempurna) yang boleh menampakkan aurat.
Imam Nawawi turut menyatakan bahawa wajib untuk menutupi tubuh daripada penglihatan yang boleh melihat pada warna kulit. Tidak mencukupi hanya dengan kain yang menutup tubuh tetapi dapat pula dilihat warna kulit sama ada putih (cerah) atau hitam (gelap).
Begitu juga dengan pandangan dari Ibnu Qudamah, yang mengatakan wajib untuk menutup aurat dan jika disebabkan kain yang nipis itu menampakkan warna kulit di sebaliknya sama ada putih atau merah maka tidak harus untuk bersolat dengannya. Ini kerana ia tidak mencapai maksud asal tujuan menutup aurat itu.
Selain itu, Imam Saffarini al-Hanbali juga menyatakan di dalam Syarah Manzumah al-Adab bahawa makruh bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian yang menjelaskan warna kulit dan juga yang menampakkan saiz atau bentuk tubuh . Manakala, Imam Dusuqi al-Maliki di dalam hashiyahnya berpendapat bahawa pakaian seperti itu jelas makruh melainkan terdapat pakaian luar maka ia menjadi tidak makruh.
Maka melihatkan perkara-perkara ini, adalah sah solat orang yang memakai telekung berfesyen, selagi ia menutup aurat seseorang itu dengan sempurna.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rebutlah peluang untuk mencari Lailatul Qadar dengan melipatgandakan lagi amalan pada 10 malam akhir Ramadan. Mendapatkan malam Lailatul Qadar menjadi impian bagi setiap mukmin. Mana tidaknya, malam yang lebih mulia dari seribu bulan ini hanya ada sekali dalam setahun.
Rasulullah shallallalhu ‘alaihi wasallam menyebutkan, “Barang siapa yang terjaga untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, kemudian benar-benar mendapatkannya, maka dia telah diampuni dosa sebelum dan sesudahnya,” (HR. Ahmad)
Maka sebab itulah kita perlu membuat persiapan bagi ‘menyambut’ kedatangan malam Lailatul Qadar.
Berikut perkongsian Ummu Naufal. Moga ia bermanfaat untuk kita semua.
Malam Laylatul Qadr bakal tiba.
Hadiah hebat yang perlu dicari yang dianugerahkanNya.
Dikongsikan bersama sedikit bagaimana kita sekeluarga boleh atur dan persiapkan diri dan keluarga dalam mencari malam yang lebih mulia dari seribu bulan yang dijanjikanNya;
1.BEREHAT DI SIANG HARI
Usah lagi disibukkan diri dengan urusan dapur, kuih muih eid mahupun keluar membeli belah di tempoh ini (10 malam terakhir). Hentikan!
Menu iftar dan sahur keluarga dipermudahkan.
Aktiviti siang diringankan.
Tidurlah seketika walau tidak biasa tidur di waktu siang. 10 hari terakhir ini sahaja.
2. BERJAGA WAKTU MALAM
Apabila siang sudah cukup rehat, di waktu malam akan terasa segar inshaAllah. Mandilah air suam jika ia boleh menyegarkan tubuh badan. Ringankan makanan berbuka agar badan tidak berasa lemah dan berat kemudian. Jika penggemar minuman panas, siapkanlah minuman panas di dalam termos agar sentiasa ada untuk diminum. Pasangkanlah bauan bakhour atau diffuser minyak pati lemon, inshaAllah ia sangat membantu menaikkan mood, membantu menyegarkan diri dan menaikkan semangat kita.
3.SIAPKAN RUANG SOLAT
Solatlah di ruang khusus, atau di mussola kecil keluarga, jika ada. Biarlah ruang ini selesa, bersih, suhu yang sesuai dan baik pengudaraannya.
Elakkan solat di bilik tidur kita, kecuali jika ada penghadang.
Solat, membaca Al Quran dan berzikir diselang-selikan sepanjang malam di ruang khas ini. Hiaslah jika mahu mencantikkan suasana. Ringkaskan ruang dengan apa yang perlu sahaja.
Jika ada bayi, bawa bersama di ruang ini bila si kecil terjaga. Biarkan dia tidur di ruang mussola yang sama sambil kita meneruskan ibadah malam kita.
Subhanallah.
Besar kesan dalam jiwanya inshaAllah.
4.TULISKAN DOA
“Umi, should they write it in points?” Nadiyah bertanya apabila dia ditugaskan membantu adik-adiknya mencatatkan doa yang mahu dipohon sepanjang 10 malam terakhir.
Nadiyah dan Naufal telah diajarkan yang sama ketika seusia adik-adik mereka. Bermula dengan poin sahaja, ditingkatkan kepasa adab menyusun kata dalam memohon doa padaNya.
Doa ditulis agar dirancang rapi apa yang mahu dipohon padaNya. Bila ditulis, menjadi lebih fokus bila berdoa padaNya.
Bersama anak-anak, hafalkanlah doa yang diajarkan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a apabila Baginda ditanya apakah doa terbaik untuk diucapkan pada malam Laylatul Qadr;
“ALLAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN TUHIBBUL ‘AFWA FA’FU ‘ANNII”
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku)
5.TINGKATKAN SEDEKAH
Tingkatkan sedekah kita setiap hari dalam 10 malam terakhir ini. Jika sebelum ini kita memberi makanan iftar kepada jiran tetangga, 10 malam terakhir ini kita memberi kepada yang tidak kita kenali pula.
Pejalan kaki, penjaja di gerai, pencuci sampah…sesiapa sahaja yang dilewati kita.
Edarkan “Ramadan Iftar Bag”. Minta anak-anak isikan di dalamnya; kurma, air, roti, juga sedikit wang, misalnya. Edarkan setiap hari selama 10 hari terakhir ini. Rancanglah berapa beg yang boleh diberikan bersama seisi keluarga.
6.TUTUP TELEVISYEN DAN DISIMPAN SEMUA GAJET YANG ADA
Amankan suasana rumah tanpa hiburan di kaca tv dan radio. Off telefon bimbit dan disimpan jauh-jauh…..termasuk telefon ibubapa juga ya. Tiada ‘cheat hour’ mahupun ‘reward slot’. Ini dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan tanpa salingan.
Usah risau, 10 hari tanpa bermesej dan media sosial tidak akan merbahayakan sesiapa, inshaAllah.
Subhanallah.
Hebatnya malam Laylatul Qadr ini sepertimana Allah swt sebutkan di dalam Surah Al Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
Lalu duhai diri dan sahabat yang dikasihi sekalian, bersungguh dan berikhtiarlah mencari malam kemuliaan ini bersama keluarga tersayang.
Ingatlah, Ramadan tahun hadapan belum tentu kita ada. Maka usahakanlah sekarang kerana tiada usaha bersungguh kita sia-sia di sisiNya.
Semoga kita semua dipertemukan dengan Malam Penuh Kemuliaan ini dalam keampunan dan redhaNya.
Ketika solat Jumaat tidak dapat dinafikan adakalanya terasa mengantuk. Mendengar khutbah jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.
Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha.
Perbuatan Yang Membantu Fokus Untuk Mendengar Khutbah
Namun terdapat pengecualian ke atas perbuatan-perbuatan yang membantu menambahkan fokus untuk mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk bagi seseorang itu semasa khutbahnya. Sandaran bagi hal ini adalah sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.
Riwayat Abu Daud (1119)
Hadis ini menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang semasa khutbah. Akan tetapi perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain itu dibolehkan bahkan disunatkan, dengan tujuan untuk mengelakkan mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.
Berikut adalah hikmah kepada perbuatan beralih kedudukan ini:
*Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk. *Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.
Dua hikmah di atas ini disebutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).
Maka perbuatan dan pergerakan seperti ini tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.
Seseorang yang berasa mengantuk semasa khutbah, disunatkan kepadanya untuk beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat yang lain di dalam masjid. Walaupun begitu, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini yang mana saf telahpun penuh semasa khutbah maka tidaklah perlu untuk seseorang yang mengantuk itu beralih ke tempat lain sehingga menyebabkan gangguan kepada jemaah lain. Akan tetapi boleh untuknya melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk seperti memicit lehernya atau badannya dan selainnya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?