Kerohanian

“Bila Terasa Nak Try Fesyen Terkini Yang Tak Sesuai Untuk Wanita Berhijab, Saya Beli & Pakai Di Rumah”- Catriona

Share

“Bila terasa nak try fesyen terkini yang tak sesuai untuk wanita berhijab, saya beli dan pakai di Rumah” itu yang akan dilakukan oleh Catriona Ross. Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross berkongsi cerita tentang tindakan yang dilakukannya bila tiba-tiba dia teringin untuk menggayakan fesyen pakaian terkini tetapi kurang sesuai untuk wanita berhijab.

“Bohonglah kalau kata saya tak ada keinginan nak cuba fesyen yang sedang menjadi trend. Bagaimanapun selepas mencuba dan rasa tidak sesuai untuk digayakan di luar, saya beli pakaian itu dan pakai di rumah. Bagi saya ia sangat membantu. Dengan cara ini kita tidak akan pernah terfikir untuk memakai pakaian tersebut di luar.

“Bila Terasa Nak Try Fesyen Terkini Yang Tak Sesuai Untuk Wanita Berhijab, Saya Beli & Pakai Di Rumah”- Catriona

“Macam sekarang ini saya masih lagi pakai seluar denim yang mengikut trend terkini namun saya bataskannya supaya sesuai dengan gaya berhijab,” jelas Catriona yang berdarah kacukan Melayu Kelantan di sebelah ibunya dan Scotland di sebelah bapanya.

Ujar Catriona atau lebih mesra denga panggilan Cat, dia masih mengikuti perkembangan fesyen kerana tidak mahu ‘berperang’ dengan perasaan. Cat seboleh mungkin menjaga aurat dan sentiasa berusaha untuk istiqamah berhijab.

“Perasaan ingin mencuba fesyen pakaian trend terbaru antara dugaan yang agak mencabar buat diri saya. Ye lah kan, kita ni jenis suka berfesyen-fesyen, keinginan tu memanglah ada untuk mencuba. Benar tidak mudah untuk istiqamah untuk berhijab. Kadang-kadang ada hari-hari saya lebih selesa pakai tudung selepang dan lilit-lilit sahaja di bahu.

“Selalunya bila dalam keadaan begini, saya akan teringat pada arwah ibu. Ibu merupakan sumber inspirasi buat diri saya dan selalu memberi pendapat yang terbaik. Ibu memang tidak pernah marah dan selalunya ibu akan bagi sebab mengapa saya perlu mengelak melakukan perkara tersebut, siap dengan hujah-hujah yang bernas,”jelas Catriona panjang lebar.

ISTIQAMAH ITU BUKAN SESUATU YANG MUDAH

Untuk kekal istiqamah berhijab juga kita perlu berada di kalangan kelompok mereka yang baik-baik, yang saling mengingatkan tentang perkara baik-baik antara satu sama lain,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Cat juga mengakui bahawa dia dan rakan-rakannya saling menegur antara satu sama lain. Teguran pula dibuat secara berhemah tanpa mengaibkan dan menjatuhkan air muka masing-masing. Elakkan sebarang tuduhan yang tidak berasas.

“Istiqamah itu bukan sesautu yang mudah. Nasihat saya jika kita ingin kembali kepada fitrah, teruskan hajat itu. Jangan fikir-fikir lagi, bimbang ada gangguan syaitan dan hasutan-hasutan. Sebagai contoh, jika hendak berhijab, segera lakukan. Perkara baik usah ditangguh-tangguh. Tak dapat dinafikan apa-apa perkara baik yang kita akan lakukan pasti ada dugaan. Jadi kuatkan hati dan segera perbetulkan diri selain cuba sedaaya upaya untuk menjadi yang lebih baik,” jelas Cat, suri hati Shaharuddin Mokhtaruddin.

DETIK MULA BERHIJAB

Catriona mula berhijab sekitar tahun 2010. Tatkala ditanya bagaimana dia boleh terbuka hati untuk berhijab, ini jawapannya.

“Ketika itu saya menemani seorang rakan membeli tudung di sebuah butik. Ketika saya cuba menyarungkan tudung di atas kepala, tiba-tiba bulu roma saya berdiri, air mata mengalir. Perasaan saya ketika itu membuak-buak untuk memakai hijab. Balik ke rumah, saya selongkar almari mencari helaian tudung. Menyedari yang saya bersungguh-sungguh untuk memakai hijab, rakan saya menemani saya keluar untuk membeli hijab,” begitulah rentetan bermulanya detik Catriona mula memakai hijab.

Sebelum menutup perbualan, Catriona ditanya tentang pendapatnya tentang adanya rakan-rakan selebriti membuka hijab.

“Saya akui saya berasa sedih. Bagi saya perasaan untuk memakai hijab itu sebenarnya adalah satu hidayah daripada Allah. Sepatutnya kita hargai sebaik mungkin. Tidak sayangkah bila kita sudah mula menutup aurat dengan sempurna kemudian tiba-tiba kita mendedahkan aurat semula. Bila kita membuka hijab ia satu yang menyedihkan. Jangan menyalahkan pada ujian dan dugaan. Kita patut malu pada Allah.

“Alasan buka tudung kerana belum bersedia untuk berhijab agar sukar diterima sebenarnya. Pada saya jika kita ingin berbuat baik, teruskan istiqamah. Ada pahalanya di atas perubahan yang kita buat ini. Kalau buka tudung sebab alasan kerja, ingatlah rezeki itu datangnya daripada Allah. Dulu masa mula-mula berhijab, lebih setahun saya tiada tawaran untuk berlakon.

“Rezeki Allah yang beri jadi kenapa kita tidak yakin padaNYA. Persoalannya kalau kita buka tudung, adakah rezeki akan datang pada kita. Semua orang ada fasa-fasa ujian daripada Allah. Moga Allah menguatkan iman kita,” ujar Catriona mengakhiri perbualan.

MUNCUL DALAM PROGRAM TAHU KE TIDOK

Terbaharu, Catriona muncul dalam program Islamik yang berkonsepkan game show santai. Tahu Ke Tidok merupakan sebuah Game Show Santai yang menguji pengetahuan ilmu fardu ain selebriti. Rancangan ini disiarkan sempena bulan Ramadan di saluran Astro Oasis.

Bersiaran bermula Isnin 11 Mac 2024 jam 7.30 malam, program ini menampilkan ramai selebriti yang akan diuji dengan soalan-soalan ilmu agama asas. Program ini juga diharap dapat mengukuhkan semula atau memberi ilmu agama baru buat penonton. Musim ketiga program Tahu Ke Tidok: Celik Agama menyiarkan 10 episod yang ditayangkan setiap minggu. PU Amin bertindak sebagai pengacara.

Menurut PU Amin rancangan ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Ia mengetengah ilmu asas fardu ain dalam dengan konsep yang santai dan ceria.

“Soalan-soalan yang diutarakan dan dijawab oleh selebriti ini adalah perkara asas dan mungkin ramai sudah terlupa. Jadi program ini ‘recap’ semula ilmu fardu ain yang sememangnya wajib dipelajari umat Islam,” jelas PU Amin.

Antaranya selebriti yang akan diuji pengetahuan mereka dalam program Tahu Ke Tidok ini ialah Izzue Islam, Ropie, Adam Shaz untuk episod pertama selain Sarah Suhairi, Aiman Tino, Catriona Ross, Roy Azman, Yusuf Bahrin dan ramai lagi bagi episod seterusnya.

Published by
Norhasliza