Hukum Balu Lunas Hutang Kereta Guna KWSP Suami Kemudian Jadi Miliknya

Share

Hutang dan harta peninggalan adalah dua perkara besar yang sepatutnya kita uruskan sebaik mungkin semasa masih hidup lagi, apatah lagi pasangan suami isteri.

Sebagai contoh, semasa arwah suami masih hidup, hubungan isteri dengan ahli keluarga kekal baik, namun ia berubah sekelip mata apabila tiba masa urusan pembahagian harta dan hutang arwah.

Salah satu isu yang sering timbul ialah apabila isteri ingin gunakan wang KWSP untuk membayar segala hutang yang ditinggalkan arwah dan menganggap harta yang telah dilunaskan hutangnya itu, akan menjadi miliknya.

Pihak pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi permasalahan yang diajukan oleh seorang balu tentang isu ini.

Gambar sekadar hiasan

Soalan
Suami saya baru meninggal. Kami ada dua buah kereta. Sebuah daripadanya sudah selesai hutang manakala sebuah lagi masih berhutang.

Bolehkah saya membayar semua hutang arwah dengan duit KWSP arwah yang akan saya terima, beranggapan dengan pembayaran tersebut kereta arwah boleh menjadi milik saya? Mohon penjelasan.

Jawapan
Situasi di atas berkait dengan permasalahan isu faraid kerana melibatkan harta yang ditinggalkan si mati. Harta faraid atau harta peninggalan seperti yang ditetapkan oleh pihak Baitulmal MAIWP[1] ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya.

Harta-harta itu termasuklah:
  • Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

Berdasarkan harta-harta yang disenaraikan di atas, kedua-dua kereta arwah termasuk dalam kategori harta peninggalan yang perlu dibahagikan kepada ahli-ahli waris yang berhak.

Seterusnya, jika arwah mempunyai hutang, maka hutang itu perlu diselesaikan terlebih dahulu menggunakan harta arwah yang sedia ada.

Artikel berkaitan: Duit Berjuta Dalam KWSP Tak Guna Kalau Tiada Penama. Sijil Nikah Atau Mati Pun Tak Cukup Nak Buat Pengeluaran

Artikel berkaitan: Harta Faraid, Ujian Jaga Amanah  Tak Lupa Tanggungjawab  Peguam Kongsi Pengalaman Urus Pembahagian Harta

Ini kerana apabila seseorang meninggal dunia, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan berhubung harta peninggalan arwah sebelum ia difaraidkan kepada ahli-ahli waris yang ada.

Harta tersebut digunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat dan akhir sekali difaraidkan kepada ahli waris.

Berdasarkan situasi di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu bahawa duit KWSP yang diterima oleh isteri arwah sebenarnya masih di bawah hak milik arwah suaminya. Kedudukan duit KWSP yang diterima oleh isteri hanyalah sebagai penama sahaja.

Penama bermaksud mereka bertindak selaku pentadbir bagi menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang – Undang Islam. Oleh yang demikian, penama bukanlah pemilik harta, lebih tepat disebut sebagai pengurus harta.

Selain itu, hutang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Memandangkan duit KWSP dianggap sebagai harta arwah, maka tidak menjadi masalah kepada ahli waris khususnya penama untuk menggunakan duit tersebut bagi menyelesaikan segala hutang-piutang arwah termasuklah hutang kereta.

Namun begitu, sekiranya isteri arwah beranggapan kereta akan menjadi miliknya kerana menyelesaikan hutang kereta suami melalui duit KWSP tersebut, maka kami berpandangan kefahaman ini kurang tepat dan perlu diperbetulkan.

Alasannya, penerimaan duit KWSP tersebut hanya sebagai penama bukan bertukar hak pemilikan.

Lantaran itu, jika arwah masih mempunyai ibu bapa dan anak-anak, maka mereka semua mempunyai bahagian dan hak terhadap harta arwah termasuk dua biji kereta yang ditinggalkan.

Kereta itu tidak terhad kepada isteri arwah semata-mata melainkan kereta tersebut sudah dihadiahkan dan ditukar geran kepada nama isteri semasa suaminya masih hidup.

Sebagai ilustrasi bahagian faraid bagi ahli waris sekiranya si mati masih mempunyai seorang anak lelaki, ibu dan bapanya.

Contoh Pembahagian Faraid:

Harga semasa kereta: RM 24,000
Ibu: 1/6 (RM 4,000)
Bapa: 1/6 (RM 4,000)
Isteri: 1/8 (RM 3,000)
Anak Lelaki: Baki harta (RM 13,000)

Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa kereta tersebut tidak menjadi milik penuh isterinya walaupun dia sendiri menawarkan diri untuk melangsaikan hutang arwah, sebaliknya kereta tersebut tetap perlu dibahagikan mengikut pecahan faraid seperti contoh di atas.

Pemilikan penuh hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahli waris yang lain menggugurkan hak masing-masing sama ada diberikan secara percuma ataupun mereka menuntut bayaran bahagian masing-masing sebelum dilepaskan.

Wallahua’lam.

Sumber : muftiwp

Published by
Emma Masri