Foto hiasan: jcomp - www.freepik.com

Di antara usaha untuk mencari keberkatan dalam mencari rezeki ialah menunaikan dan membayar zakat. Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat.

Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarannya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ

Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”

Selain melakukan ibadah zakat ini dengan baik, kita juga perlu tahu siapakah golongan yang selayaknya menerima zakat.

KASHOORGA tertarik dengan perkongsian yang dilakukan oleh Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil yang menjawab satu soalan menarik yang pernah diajukan kepadanya.

Ikuti perkongsian yang boleh memberikan manfaat kepada kita semua di bawah.

Salam ustaz, saya ada seorang kakak yang hidupnya susah sebab dia kematian suami dan kakak saya tu ada lima orang anak yang masih belajar. Saya ingat nak bayar zakat pada kakak saya, tapi ada yang cakap kakak tak layak terima zakat sebab adik beradik lelaki yang mampu wajib tanggung adik beradik perempuan yang susah. Mohon pencerahan dari ustaz betul ke macam ni?

JAWAPAN:

IKLAN

1) Ulama bersepakat bahawa zakat wajib diagihkan hanya kepada 8 golongan asnaf yang disebut di dalam surah al-Taubah, ayat 60. Asnaf-asnaf yang dimaksudkan ialah fakir, miskin, amil zakat, riqab, muallaf, orang yang berhutang, fi sabilillah dan Ibnu Sabil.

2) Begitu juga para ulama menyatakan bahawa zakat tidak boleh diberi kepada ahli keluarga di bawah tanggungan sebagai contoh, Ali tidak boleh memberi zakat kepada isteri dan anaknya yang masih kecil kerana mereka di bawah tanggungan ali.

3) Manakala adik beradik perempuan yang susah atau miskin tidak termasuk di bawah tanggungan seseorang. Hal ini telah dijelaskan oleh Sheikhul Islam al-Imam Zakaria al-Ansari(ulama mazhab Syafi’ie) di dalam karangannya “Asna al-Matalib Fi Syarh Raudhit Tolib”:

وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له، وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan(قرابة بعضية) iaitu FURU'(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL(bapa, ibu, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.

IKLAN

4) Berbalik soalan di atas, adik beradik perempuan yang susah atau tiada penanggung seperti suami dan ayah tidak termasuk dalam golongan yang wajib diberikan nafkah oleh adik beradik yang lain. Maka boleh malah disunatkan beri zakat kepada adik beradik yang susah samaada lelaki mahupun perempuan selagimana mereka tergolongan daripada asnaf-asnaf yang berhak mendapat zakat.

5) Sesungguhnya memberi zakat kepada kaum keluarga dan kerabat yang bukan tanggungan nafkah lebih afdal dari memberi zakat kepada asnaf yang bukan dari kalangan keluarga. Kelebihan ini dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ di dalam sepotong hadis:

الصدقة على المسكين صدقة، وعلى ذى الرحم ثنتان، صدقة وصلة

Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah, manakala sedekah kepada ahli keluarga merupakan dua kebaikan, iaitu sedekah dan silaturrahim”. (Hadith riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa’ie dan Ibn Majah)

6) Hadis di atas menunjukkan bahawa memberi zakat kepada ahli keluarga dan sanak saudara mempunyai dua kebaikan, manakala pada orang miskin hanya satu kebaikan. Dalam sepotong hadis baginda menyebut kelebihan menyambung tali silaturrahim sepertimana sabda Baginda ﷺ:

IKLAN

من سره أن يبسط له في رزقه أو ينسأ له في أثره فليصل رحمه

Maksudnya: “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki untuknya atau dipanjangkan umurnya, maka hendak lah dia menyambung tali silaturrahim. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

الدكتور سيد شهريزان بن عقيل

Kredit:

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI