Bolehkah Kita Beli Barang Ditemui Tertinggal Dalam Masjid Selepas Setahun Harta Disimpan?

Share

Tanpa sedar ramai tertinggal barangan berharga ketika berhenti menunaikan solat di surau mahupun masjid ketika sedang bermusafir di sesuatu lokasi. Hendak berpatah balik mungkin agar sukar selain kita terlupa tentang barang tersebut di mana letaknya.

Bagaimana hak barangan berharga yang tertinggal di masjid selepas setahun tidak dituntut tuan empunya? Adakah kita dibolehkan membelinya? Dalam satu perkongsian ilmu oleh Ustaz Dr Syed Shahridzan Ben Agil di mana seorang bertanyakan adakah dibolehkan membeli barangan tertinggal di masjid, ia yang wajib kita tahu.

Berikut adalah perkongsian di fbnya.

Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya Ustaz. Suami saya bendahari surau. Dia ada simpan barang-barang berharga yang dijumpai di surau seperti jam dan wang tunai. Jika barang-barang itu tidak dituntut selepas diwar-warkan, bolehkah saya menebus sebab saya suka satu jam yang disimpan itu. Bagaimana caranya Ustaz. Terima kasih.

Jawapan:
1) Ada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Zaid bin Khalid al-Juhani Radiyallahu 'anhu, bahawa seorang lelaki datang kepada Rasululullah ﷺ tentang barang yang dijumpai, lalu baginda bersabda:

اعرف وكاءها وعفاصها، ثم عرِّفها سنة، فإن لم تعرف فاستنفقها، ولتكن وديعة عندك، فإن جاء طالبها يوماً من الدهر فأدِّها إليه.

Maksudnya: “Kenali lah ikatannya dan bungkusannya, kemudian umumkan pada orang ramai selama setahun, jika kamu tidak mengetahui (pemiliknya) maka kamu boleh memilikinya dan ia menjadi simpanan kamu. Jika suatu hari pemiliknya datang hendaklah kamu serahkan ia padanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

2) Berdasarkan hadis di atas, jika seseorang itu menemui barang yang berharga (seperti emas, perak, pakaian, jam) maka dia boleh mengambilnya jika berniat untuk mencari si pemilik barang itu. Seterusnya dia perlu mengenali tanda-tanda barangan itu supaya dapat membezakan antara barang-barang yang lain, agar nanti mudah mengesan pemilik barang itu melalui tanda-tanda barang tersebut.

3) Permasalahan ini dibincangkan di dalam kitab² fiqh dalam bab "Luqatah". Menurut ahli² fiqh, penemu barang itu mesti lah mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun, melalui wacana yang ada pada ketika itu. Wacana yang tercatat di dalam kitab-kitab fiqh klasik seperti memaklumkan di pintu masuk masjid dan pasar mengikut adat atau 'uruf setempat ketika itu. Namun dalam konteks zaman sekarang ia boleh diumumkan di media sosial, suratkhabar atau wacana komunikasi yang lain seperti aplikasi Whatsapp 'Group' dan Telegram.

4) Disunatkan disebut hanya sebahagian sifat² barang yang ditemui ketika ia dihebahkan. Namun tidak wajib menyebut keseluruhan sifat-sifat barang yang ditemui itu, bahkan ditegah menerangkan kesemua sifat barang itu kerana dikuatiri akan diambil kesempatan oleh individu² yang cuba menipu.

5) Setelah berlalu dalam tempoh setahun maka barang itu boleh dimiliki si penemu barang itu dan dia berhak untuk menggunakkannya malah boleh menjual barang itu. Namun hak milik barang yang dijumpai itu bukan menjadi hak mutlak si penemu, jika pemilik barang itu datang menuntut barangnya maka penemu wajib memulangkan kepada tuannya. Jika barang itu sudah tiada lagi samaada setelah tempoh setahun atau tidak, maka si penemu wajib menggantikan barang itu semula samaada dengan bayaran atau ganti barang yang sama sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi.

6) Jika barang luqatah yang sedikit yang mana ia biasanya lenyap dari dari hati tuannya, iaitu jika hilang dan ia tidak diambil berat atau dicari oleh tuannya seperti dinyatakan dalam kitab² fiqh, sebiji tamar, sebiji buah dan seumpamanya, maka si penemu tidak wajib mengiklankannya malah si penemu boleh memilikinya. Permasalahan ini boleh dibandingkan seperti wang syiling 1 sen atau sepuluh sen, namun lebih baik disedekahkan di tabung masjid atau kebajikan menurut sebahagian guru-guru kami.

7) Jika barang luqatah termasuk dalam kategori yang mudah dan cepat rosak seperti nasi lemak, roti dan seumpamanya maka diharuskan melakukan dengan salah satu dari dua cara. Pertama: Barang itu dijual dengan izin hakim (konsep ini tiada lagi pada zaman kini) dan dimiliki hasil jualan itu. Kedua: Makan makanan itu kerana risaukan pembaziran.

8)) Berbalik soalan di atas, jika pihak surau menemui barang yang berharga maka pihak surau mesti mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun pada orang ramai.
Setelah tempoh setahun dan pemilik barang itu tidak juga ditemui maka barang itu semua menjadi hak milik surau dan surau boleh menjual pada sesiapa yang dikehendaki.

9) Namun jika datang pemilik barang dan menuntut barang itu maka pihak surau wajib memulangkan kembali, jika barang itu sudah tiada maka wajib digantikan dengan wang yang mana tidak wajib digantikan dalam bentuk barang asal.
Wallahu A’lam
Sumber : Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Published by
almaswa Haji Che Ros