Kita amat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai ibadah solat sunat. Kelebihan solat sunat membolehkan kita mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekal ke akhirat. Salah satunya ialah solat sunat Witir.

Solat sunat Witir mempunyai rakaat ganjil sebagai penutup solat. Cuma ada pertanyaan yang perlu dijawab apabila ada yang mendirikan solat Witir satu rakaat di permulaan solat kemudian disusuli dengan solat dua rakaat. Boleh atau tidak? Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel berkaitan: Bangun Awal Sebelum Subuh Buat Solat Sunat Dulu, Antara Perkongsian Menarik Neelofa Yang Sangat Berinsprasi

Artikel berkaitan:Perlu Atau Tak Lakukan Solat Sunat Dua Rakaat Lepas Akad Nikah, Ini Jawapannya Elak Keliru

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, dalam situasi solat Witir tiga rakaat secara berjemaah, imam buat solat witir satu rakaat dahulu kemudian baru buat dua rakaat. Boleh atau tidak begitu ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT, Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

IKLAN

Kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر watru dan witru dari sudut bahasa membawa maksud tunggal (bilangan yang ganjil) iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’ (genap).

Manakala dari sudut istilah pula, witir bermaksud : ‘’Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam, sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam’’.

Bilangan rakaatnya adalah bilangan yang ganjil dan disebabkan itulah ia dinamakan sebagai witir. Solat sunat Witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam.

Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini.

Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata :

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur. Riwayat Al-Bukhari (1981)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa solat sunat Witir adalah solat terakhir pada waktu malam. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
Maksudnya : Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.
Riwayat Al-Bukhari (998)

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).‏
Riwayat Muslim (752)

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan tentang tatacara solat malam, lalu baginda bersabda:

مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَصَلِّ رَكْعَةً وَاجْعَلْ آخِرَ صَلاَتِكَ وِتْرًا
Maksudnya: (Solat malam) dilakukan sebanyak dua rakaat dua rakaat, apabila kamu khuatir masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat dan jadikan akhir solat kamu adalah witir. Riwayat Muslim (749)

Berdasarkan beberapa riwayat di atas, solat witir itu adalah solat penghujung. Maknanya bagi mereka yang melakukan solat witir tiga rakaat dengan memisahkan antara dua rakaat syafa’ dan satu rakaat Witir. Hendaklah mendahulukan solat syafa’ dahulu dan barulah solat witir.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, serta merujuk kepada definisi solat Witir yang telah kami sertakan, kami menyatakan bahawa solat Witir dengan cara melakukan satu rakaat terlebih dahulu dan kemudiannya dua rakaat adalah menyelisihi sunnah.

Ini kerana, apabila seseorang itu berniat melakukan solat Witir, maka sudah pastilah solat tersebut diakhiri dengan witir dan bukanlah syafa’ (iaitu dua rakaat), bahkan jika diakhiri solat Witir dengan solat Syafa’, ini jelas menafikan maksud solat Witir itu sendiri. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.