Syawal berbaki lebih kurang dua minggu lagi dan masih ada peluang untuk kita melaksanakan puasa enam yang ganjarannya cukup besar.

Disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (HR Muslim, hadis sahih)

Niat puasa enam selepas azan Subuh, boleh ke?

Dalam pada itu terdapat banyak juga persoalan berkaitan dengan puasa sunat ini berlegar-legar di ruang fikiran kita. Antaranya bolehkah kita berniat puasa enam selepas azan Subuh.

Ini kerana boleh jadi setelah bangkit daripada tidur pada waktu pagi tiba-tiba berhajat untuk melaksanakan puasa enam. Adakah boleh kita berniat pada waktu itu dan meneruskan puasa enam ini?

Persoalan ini telah dijawab oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian beliau di media sosial.

Waktu akhir untuk niat puasa sunat ?

Diriwayatkan daripada Saidina Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

Ads

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (HR Bukhari, hadis sahih)

Hadis di atas jelas mengajarkan kepada kita bahawa setiap perkara itu Wajib didahului dengan niat terlebih dahulu.

Sama ada ia dilafazkan atau tidak. Bahkan melafazkan niat adalah perkara sunat seperti yang disebutkan dalam matan fiqh:

ٌوَالتَّلَفُّظُ بِهَا سُنَّة

Maksudnya: Melafazkan niat adalah sunat.

Ads

Tambahan pula, disebutkan dalam kitab al-Muqadimah al-Hadramiah bahawa:

الأول: النية لكل يوم. ويجب التبييت في الفرض دون النفل، فتجزئه نيته قبل الزوال، ويجب التعيين أيضًا دون الفرضية في الفرض

Maksudnya: “(Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari.

Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu. (Rujuk al-Muqadimah al-Hadramiah: 171)

Puasa fardu wajib niat waktu malam

Berdasarkan teks di atas, diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam. Namun bagi orang yang berpuasa sunat perlu patuhi 2 perkara ini:

Ads
  1. Dibenarkan untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari.
  2. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa sebelum itu.

Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bertanya kepadanya pada suatu hari di dalam waktu dhuha:

هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقَالَتْ : لاَ ، فَقَالَ : إِنِّي إِذاً صَائِمٌ

Maksudnya: “Apakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)?” Aku menjawab, “Tidak ada.” Maka baginda bersabda: “Kalau begitu aku berpuasa.” (HR Muslim, hadis sahih) .

Secara kesimpulannya puasa 6 adalah amalan sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan sehingga ganjarannya seperti berpuasa selama setahun.

Sahur adalah perkara sunat dan bukan satu kewajipan. Sekiranya berpuasa tanpa sahur, puasa tetap sah akan tetapi lebih baik untuk bersahur walau dengan seteguk air.

Sah puasa sunat sekiranya terlewat niat. Namun mestilah niat tersebut sebelum masuk waktu Zohor.

Sumber: Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan

Baca lebih banyak perkongsian Islamik di laman web KASHOORGA

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI