Bolehkah Pelaku Sumbang Mahram Menjadi Wali Pernikahan Anaknya?

Share

Suatu ketika dahulu, akhbar pernah melaporkan seorang penjual air tebu bakal dijatuhkan hukuman 1830 tahun kerana merogol anak perempuannya. Dia menghadapi 55 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandung dan sembilan pertuduhan merogol rakan anaknya berusia 14 tahun sejak April 2019. Jika sabit semua kesalahan, dirinya bakal berhadapan 1830 tahun.

Di sebalik isu rogol ini, timbul persoalan adakah dirinya layak menjadi wali kepada pernikahan anaknya suatu masa nanti kerana antara salah satu syarat wali ialah tidak fasik. Fasiq bermaksud melakukan dosa besar secara sengaja dalam keadaan dia tahu akan dosa tersebut dan dia memilih berbuat demikian. Juga sentiasa melazimi dosa-dosa kecil.

Juga adakah boleh seorang abang yang pernah merogol adiknya menjadi wali andai tiada lagi bapa di dunia seperti ditanya oleh individu ini. Semoga ianya menjadi pencerahan buat kita semua agar nasab anak yang dinikahkan terjaga.

Assalamualaikum Datuk Dr atau admin page ini. Saya ada satu kemusykilam. Layakkah seorang abang kandung yang merogol adiknya sendiri menjadi wali?.Sekiranya adik perempuannya tidak mahu menjadikan dia sebagai wali, adakah boleh?. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Jawapan :-

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di antara rukun nikah ialah adanya wali. Wali bermaksud seseorang yang melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya[1] Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari :

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ

Maksudnya :” Tiada pernikahan kecuali dengan wali.” (Riwayat al-Tirmizi(1101), Abu Daud (2085) & Ibnu Majah (1880)

Imam al-San’ani menyatakan di dalam hadis ini menunjukkan bahawa tidak sah perkahwinan melainkan dengan wali. Penafian di sini adalah menafikan keabsahannya bukan menafikan kesempurnaan.

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam(4/453)

Ini secara jelasnya perlunya ada wali sebagai antara tunggak utama bagi menentukan sama ada pernikahan itu sah atau tidak.

Wali yang menikahkan itu pula perlu memenuhi beberapa syarat. Ada lapan syarat yang perlu ada pada seseorang wali dan di antaranya ialah wali tersebut bukan orang yang fasiq.

Fasiq bermaksud melakukan dosa besar secara sengaja dalam keadaan dia tahu akan dosa tersebut dan dia memilih berbuat demikian. Juga sentiasa melazimi dosa-dosa kecil.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ahwal al-Sakhsiah edisi daurah (hlm.15)

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan tidak fasiq ialah tidak melakukan dosa besar dan menjauhi dosa-dosa kecil. Serta tidak melakukan perkara yang boleh mencalarkan maruah seperti kencing merata dan sebagainya.

al-Khatib al-Syarbini mengatakan :

“Akad nikah tidak terjadi dengan adanya wali fasiq melainkan pandangan Imam Abu Hanifah. Sama ada wali mujbir atau tidak, fasiq disebabkan minum arak atau tidak. Juga sama ada dia mewar-warkan kefasiqannya atau tidak…” (Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ (hlm 552)

Secara umumnya, seorang wali yang fasiq tidak boleh menikahkan anak atau adiknya atau yang berkaitan dan perlu berpindah kepada yang lain atau mencari wali yang setaraf dengannya jika dia mempunyai adik-beradik lelaki yang lain. Sebagai tambahan kami nyatakan susunan wali seperti berikut :-

  1. Bapa kandung
  2. Datuk sebelah bapa ke atas
  3. Saudara lelaki seibu sebapa
  4. Saudara lelaki sebapa
  5. Anak saudara lelaki seibu sebapa
  6. Anak saudara lelaki sebapa
  7. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa
  8. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa.
  9. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
  10. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
  11. Datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
  12. Datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
  13. Moyang saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan moyangnya
  14. Moyang saudara sebelah bapa sebapa dengan moyangnya
  15. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu lelaki)
  16. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu lelaki)
  17. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
  18. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa
  19. Anak datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya
  20. Anak datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya
  21. Wali hakim/wali raja/wali sultan


.

Namun begitu, sebahagian ulama mutaakhirin mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Mereka mengatakan bahawa amat sukar untuk mencari wali yang betul jauh dari kefasiqan pada zaman ini. Ini kerana iman ada kalanya naik dan adakalanya turun. Ia naik dengan amal ketaatan dan turun dengan sebab kemaksiatan. Jika dia bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya yang memenuhi syarat taubat, maka sah pernikahan yang berwalikan orang tersebut. Antaranya yang mengemukakan pandangan ini ialah Imam al-Ghazali. Kami pernah mengupas isu ini di dalam ruangan al-Kafi siri 693 dan 762.[2]

Namun. Jika adik perempuannya itu tidak suka menjadikan abangnya sebagai wali dan ingin berpindah kepada yang lain disebabkan sejarah hitam yang pernah berlaku, kami cadangkan agar mencari terlebih dahulu adik beradik lelaki yang lain jika ada dan jika tiada maka rujuklah kepada bahagian perkahwinan di Jabatan Agama Islam dan nantinya akan diputuskan oleh mahkamah sama ada boleh atau tidak berpindah kepada wali yang lain.

Semoga penjelasan ini mampu menyelesaikan kekusutan. Wallahu’alam.

[1] Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/557)

[2]al-Kafi 693:http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2251-al-kafi-693-hukum-perkahwinan-berwalikan-seorang-perokok

al-Kafi 762 : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2470-al-kafi-762-wali-fasiq-menikahkan-anaknya

Published by
almaswa Haji Che Ros