Automotif

Bolehkah Pemandu E Hailing Qasarkan Solat Setiap Hari? Ini Penjelasannya

Share

Ramai yang bekerja sebagai pemandu E hailing pada hari ini. Tuntutan tugas yang sentiasa berada di atas jalan ada masanya menyebabkan mereka ‘terlepas solat’ atau solat di waktu.

Dalam hal ini bolehkah seorang pemandu  E Hailing mengqasarkan solat mereka setiap hari memandangkan jumlah jarak yang ditempuhi biasanya melebihi dua marhalah.
Persoalan ini dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalu portalnya.

Hukum pemandu E Hailing qasar solat setiap hari

Pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya.

Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.

Keringanan memendekkan solat

Allah SWT memberikan keringanan kepada hambanya dalam melaksanakan ibadah solat dengan diberi keinginan untuk mengqasarkan solat. Keringanan ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”

Keringanan untuk memendekkan solat ini diberikan untuk mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Antara syarat-syarat untuk melakukan qasar dalam mazhab syafi’i ialah perjalanan mestilah melebihi jarak qasar iaitu 81km dan keluar dari kawasan kampung atau perumahannya.

Jika perjalanan tersebut kurang dari 81km atau tidak keluar dari kawasan tempat tinggalnya maka dia tidak boleh mengqasarkan solatnya. Walau bagaimanapun jika dia seorang yang sentiasa melakukan perjalanan yang jauh pada hampir setiap hari sebaiknya dia melakukan solat dengan sempurna dan tidak mengqasarkan solat. Perkara ini dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin:

ومن يديم السفر مطلقا كالساعي فإن الإتمام أفضل له، خروجا من خلاف من أوجبه، كالإمام أحمد رضي الله عنه.

Maksudnya: “Siapa yang sentiasa melakukan pemusafiran seperti pemandu maka yang afdal baginya ialah melakukan solat dengan sempurna untuk keluar dari khilaf sebahagian ulama yang mewajibkannya seperti Imam Ahmad RA[1].”

Kesimpulannya pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya. Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga