
Sering kali kita melihat golongan perawat lelaki menyentuh sekurang-kurangnya bahagian kepala wanita yang di ruqyahnya. Dalam pada itu timbul pertanyaan, bolehkah hal itu dibenarkan kerana jelas dan terang pesakit wanita bukan muhrimnya. Namun kebanyakan dari pesakit beranggapan, disebabkan ia berlapik hal itu dibenarkan dalam islam. Ikuti kupasan dari Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, hasil penulisannya yang dikongsi dalam e-book Maktabah Al Bakri.
Bolehkah perawat lelaki yang melakukan ruqyah syar’iyyah menyentuh pesakit wanita dengan berlapik?
JAWAPAN
Hukum bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram adalah haram. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ
Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).[1]
Walaupun zahir hadis menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai sebaliknya sebagaimana yang dijelaskan oleh Mulla ‘Ali al-Qari:
الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ
Maksudnya: “Sesuatu khitab (ayat atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.”[2]
Saya teringat kepada kisah Syeikh Hasan Habannakah tatkala seorang perempuan hendak bersalam dengannya lantas beliau tidak mengizinkannya. Kemudian dikatakan bahawa boleh jadi Syeikh dalam keadaan wudhu’ maka Syeikh menjawab : “Tidak. Tetapi sebenarnya Rasulullah SAW tidak menyentuh tangan mana-mana perempuan yang bukan mahram!”
Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Saidatina A’ishah radhiyallahu ‘ana:

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ، مَا يُبَايِعُهُنَّ إِلاَّ بِقَوْلِهِ
Maksudnya: “Demi Allah! Tangan Rasullullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam baia’h (perjanjian, Mereka hanya membaia’h dengan ucapan sahaja.”[3]
Justeru, alangkah eloknya jika tidak disentuh dan hanya membaca doa kepada seseorang pesakit tersebut jika sekiranya perawat lelaki dan pesakit perempuan yang bukan mahram. Apa yang utama adalah bacaan, dan bukan sentuhan. Wallahu a’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
10 Golongan Yang Dilaknat & Dimurkai Oleh Allah SWT

Isi Kandungan
ToggleMenyebut perkataan laknat bunyinya agak kasar. Namun perkataan laknat ada disebut di dalam al-Quran. Dari sudut bahasa, laknat bermaksud kemurkaan Allah dan jauh dari rahmat dan petunjukNya.
Bahkan sesetengah ulama berkata, semua perbuatan yang dilaknat Allah termasuk dalam dosa besar. Berikut adalah 10 golongan yang dilaknat ini, semoga kita tidak tergolong di dalamnya.
1) Iblis
Pertamanya adalah iblis. Cerita tentang iblis yang enggan tunduk menyembah Nabi Adam as ada diceritakan dalam surah Al Baqarah ayat 34. Kerana kesombongannya, Iblis yang dahulunya penghuni syurga dicampak keluar dari syurga. Walau pun begitu kesombongan iblis tidak terpadam sama sekali hingga dilaknat oleh Allah.
Firman Allah:-
قَالَ لَمْ أَكُنْ لأسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ * قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ * وَإِنَّ عَلَيْكَ اللَّعْنَةَ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk”. Allah berfirman : “Keluarlah kamu dari syurga kerana sesungguhnya kamu adalah terlaknat. Dan sesungguhnya laknat itu tetap menimpamu sampai hari kiamat” (Al-Hijr : 33-35)
2) Orang zalim yang berdusta atas nama Allah
Firman Allah:-
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أُولَئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّهِمْ وَيَقُولُ الأشْهَادُ هَؤُلاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ أَلا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi akan berkata : “Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka”. Ingatlah bahawa laknat Allah (akan ditimpakan) atas orang-orang yang zalim” (Huud : 18).
3) Orang Yang Menyakiti Allah dan Rasul-Nya
Firman Allah:-
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan” (Al-Ahzaab : 57)
4) Orang yang Menyembunyikan Ilmu
Firman Allah:-
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ * إِلا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknat olih Allah dan dilaknat (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknat kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran). Maka terhadap mereka itu, Aku menerima taubatnya, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (Al-Baqarah: 159-160).
5) Orang yang Menuduh Wanita Baik-Baik Telah Berzina Tanpa Bukti
Firman Allah:-
إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik lagi beriman (dengan berbuat zina), mereka akan kena laknat di dunia dan akhirat dan bagi mereka azab yang besar” (An-Nur : 23)
6) Orang yang Membunuh Seorang Islam dengan Sengaja
Firman Allah:-
وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
“Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka Jahanam. Kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatinya, serta menyediakan azab yang besar baginya” (An-Nisaa’: 93)

7) Pemakan Rasuah
عن عبد الله بن عمرو قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الراشي والمرتشي
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr r.a ia berkata : “Rasulullah saw telah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah.” (Hadith Tirmizi)
8) Isteri yang Menolak Ajakan Suaminya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: إِذَا دَعَا اَلرَّجُلُ اِمْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ , لَعَنَتْهَا اَلْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw baginda bersabda : “Apabila seorang suami mengajak istrinya ke tempat tidur, namun isteri itu menolak untuk datang maka para malaikat melaknatnya hingga waktu subuh”.(Hadith Bukhari)
9 ) Wanita yang Mendedahkan Aurat
عن عبد الله بن عمر يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول سيكون آخر أمتي نساء كاسيات عاريات على رؤوسهن كأسنمة البخت إلعنوهن فإنهن ملعونات
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. ia berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : “Pada akhir umatku kelak akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka terdapat bonjol seperti belakang unta. Laknatlah mereka semua kerana sesungguhnya mereka adalah terlaknat” (Hadith Tabarani)
10) Laki-Laki yang Menyerupai Wanita dan Wanita yang Menyerupai Laki-Laki
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المشتبهين من الرجال بالنساء والمشتبهات من النساء بالرجال.
Dari Ibnu ‘Abbaas r.a. ia berkata : “Rasulullah saw melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki.” (Hadith Bukhari)
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
3 Amalan Sunat Yang Asalnya Gedung Pahala Tapi Boleh Jadi Dosa Pada Seorang Isteri

Bagi seorang isteri, ada amalan sunnah yang boleh menjadi dosa jika melakukannya tanpa mendapat izin dari suami. Amalan sunnah ini seharusnya menjadi pahala tapi boleh jadi haram jika suami tidak mengizinnnya. Apakah amalan-amalan sunnah ini?
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu-anhu diriwayatkan bahawa Rasulullah Shalallahu Alaihi wa sallam bersabda: “Tidak halal bagi seorang perempuan berpuasa dan suaminya ada kecuali dengan izinnya dan tidak juga ia mengizinkan (seseorang) ke rumahnya kecuali dengan izinnya,”.
Imam Nawawi Rahimahullah berkata dalam penjelasannya tentang hadis ini,”Sabda Nabi Shalallahu Alaihi wa sallam;”Tidak halal bagi seorang perempuan berpuasa dan suaminya ada kecuali dengan izinnya…”.
Berikut tiga amalan sunnah yang dapat menjadi dosa bila dilakukan oleh seorang isteri tanpa mendapat izin dari suaminya ialah:-
- Puasa sunat :- Sebelum seorang isteri berpuasa sunat atau menggantikan puasa Ramadan, ia haruslah mendapat keizinan dari suami terutama melibatkan puasa sunat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:
لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya. Riwayat Muslim (1026)
Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:
لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِه
Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya Riwayat Muslim (1026)
Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:-
هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى صَوْمِ التَّطَوُّعِ وَالْمَنْدُوبِ الَّذِي لَيْسَ لَهُ زَمَنٌ مُعَيَّنٌ وَهَذَا النَّهْيُ لِلتَّحْرِيمِ صَرَّحَ بِهِ أَصْحَابُنَا
Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115
2. Amalan Bersedekah :- Bersedekah memberikan pahala tapi ia boleh menjadi dosa jika bersedekah tanpa pengetahuan suami apatah lagi menggunakan wang diberi suami.
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
3. Bila isteri menolak ajakan suami untuk berhubungan badan:- Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban (4163)]
Terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima oleh isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama. Antaranya adalah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:-
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” [Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)]
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. [Lihat: al-Minhaj, 7-8/10].
Sumber rujukan :- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Apa Hukum Jirus Kaki Saja Tanpa Gosok Tapak Kaki Ketika Wuduk? Mufti WP Beri Penjelasan

Berwuduk adalah syarat sah solat. Namun ada sebahagian dari kita mungkin bersikap sambil lewa melalukan air di bahagian wajib digosok. Berikut adalah penjelasan dari Mufti Wilayah berkaitan soalan, sahkah wuduk sekiranya seseorang itu hanya melalukan sahaja air ke bahagian tangan dan kaki tanpa menggosok anggota wuduk tersebut? Bagaimanakah pula dengan mandi wajib?
Jawapan:-
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.Surah Al-Ma’idah (6)
Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wuduk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wuduk adalah niat dan juga tertib.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama fekah berkenaan hukum menggosok anggota wuduk setelah dikenakan air padanya.
Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud : Melalukan tangan kepada anggota. Rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah, Ibn Faris (2/297).
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwuduk beliau berkata:-
وَأَنْ يُدَلِّكَ الْأَعْضَاءَ
Maksudnya : Dan seseorang itu menggosok anggota wuduk. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/465).
Begitu juga dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji (1/59) menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wuduk adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya. Para penulis kitab berhujah menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata :-
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَقُولُ هَكَذَا يَدْلُكُ
Maksudnya : Sesungguhnya Nabi S.A.W berwuduk kemudian baginda melakukan begini, iaitu baginda menggosok (anggota wuduk).Riwayat Ahmad (16441).
Keadaan ini juga sama dalam isu mandi junub. Ini kerana, Imam Al-Syafi’e dalam isu perkara-perkara sunat ke atas mereka yang mandi wajib berkata :-

وَأُحِبُّ لَهُ أَنْ يُدَلِّكَ مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْ جَسَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ وَأَتَى الْمَاءُ عَلَى جَسَدِهِ أَجْزَأَهُ
Maksudnya : Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi. Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57).
Seperti yang kita ketahui, wuduk dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut keduanya mengangkat hadas. Wuduk mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar. Justeru, keadaannya adalah sama dari sudut selama mana seseorang itu mengenakan air sahaja kepada anggota badan dan tidak menggosoknya, maka yang demikian itu telah memadai dan mencukupi.
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menggosok anggota wuduk setelah mengenakan air ke anggota wuduk adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.
Meskipun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI