Bolehkah Solat Jamak Sebab Ambil Vaksin? Ketua Penolong Mufti WP Ulas Isu Ini

Share

Pelan Imunisasi COVID19 Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaksin bagi membendung penularan wabak COVID-19 semakin rancak mendapat sambutan dari orang ramai. Ini terbukti apabila vaksin jenis AstraZeneca yang dilancarkan baru ini mendapat sambutan di mana sejuta vaksin habis ditempah dalam tempoh 1 jam.

Namun timbul isu bila masa ditetapkan tepat untuk menerima suntikan dibuat pada waktu solat khususnya waktu agak pendek seperti Maghrib. Penolong Ketua Mufti di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahrizdan Ben Agil mengulas isu ini dan budaya solat di tepi jalan yang banyak dibuat di negara Arab dan Eropah. Baca perkongsian darinya dipetik dari fbnya.


1) Ada kalangan rakyat Malaysia yang dapat jadual penggiliran vaksin jam 7.30 malam. Masa ini diketahui umum adalah waktu solat Maghrib. Jadi ada yang bertanya boleh atau tidak solat jamak ta’khir sebab takut tak sempat untuk solat maghrib.

2) Ada hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا, yang bermaksud, “…dan bumi ini dijadikan untukku tempat sujud dan alat bersuci(tayammum)”.

3) Para ulama menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan antara kelebihan² yang Allah kurniakan kepada Rasulullah ﷺ dan umatnya, iaitu mereka boleh solat di mana² sahaja di atas muka bumi Allah, asalkan tempat itu suci dari najis. Sedangkan umat² terdahulu tidak boleh mendirikan solat di tempat sebarangan.

4) Jawapan saya, tiada keperluan solat jamak di sini kerana alasan belum cukup kukuh untuk membenarkannya. Para ulama tidak bermudah² meletakkan syarat solat jamak bukan dalam situasi musafir, apatah lagi untuk mereka yang masih berkesempatan untuk mendirikan solat pada waktunya.

5) Pilihan di tangan kita semua, kita boleh solat di mana² hanya tinggal bawa sejadah atau seumpamanya. Kalau tanpa sejadah sekali pun sebenarnya tiada masalah asalkan tempat itu suci dari najis. Ini kerana hukum asal sesuatu tempat itu adalah suci melainkan terdapat bukti kukuh bahawa ia kawasan bernajis.


6) Banyak sekali hadis yang menunjukkan Nabi ﷺ solat di atas tanah tanpa lapik dan ada sahabat RA ternampak Baginda ﷺ mengusap dahinya untuk buang pasir yang melekat. Bahkan ada sebilangan sahabat terlihat tanah basah melekat di dahi Baginda ﷺ yang mulia kerana sujud di atas tanah yang basah ketika hujan turun di Madinah.

7) Oleh itu, solat tidak semestinya didirikan di musolla, surau dan masjid. Ada banyak hadis yang membuktikan Rasulullah ﷺ solat di merata tempat selain dari masjid dan musolla. Oleh itu, tidak sepatutnya alasan “tiada surau” menjadi penghalang untuk kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah.

8)) Masa atau waktu juga tidak boleh dijadikan alasan. Allah ta’ala telah menetapkan setiap solat fardu itu yang telah ditetapkan waktunya. Jika tidak dapat dilaksanakan awal, boleh dilaksanakan waktu pertengahan dan penghujungnya asalkan tidak keluar dari waktu solat.

9) Ada hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah ﷺ pernah mendirikan solat di penghujung waktu solat (waktu solat hampir tamat) untuk mengajar seorang sahabat tentang waktu solat. Fuqaha menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan fleksibiliti mendirikan solat pada waktunya yang ditetapkan.




10) Apa-apa pun lihat pada keadaan dan kesesuaian, bahkan anda boleh membuat agakan waktu yang untuk mendirikan solat. Mungkin dijangkakan selepas tamat proses vaksinasi anda masih ada waktu untuk mengerjakan solat Maghrib. Ada sahabat saya cerita bahawa dia dirikan solat di tepi kerusi menunggu giliran pengambilan vaksin. Dia kata tak ada masalah, ok je, sempat je nak solat di situ dan tiada siapa yang kacau.

11) Perlu diingat, Rasulullah ﷺ memberi contoh yang wajar kita ikuti dari segala sudut kehidupan, apatah lagi urusan ibadah. Nabi ﷺ amat menitik beratkan solat didirikan pada waktunya. Baginda ﷺ tidak menjamakkan solat melainkan dalam situasi tertentu sahaja. Oleh itu bagi saya, tidak wajar kita bermudah² dalam ibadah.

12) Saya faham, budaya solat tepi jalan bukan satu kebiasaan orang² kita di tanahair. Mungkin ramai yang segan. Sampai bila kita nak segan, masa nilah kita nak membiasakan budaya yang baik dan menunjukkan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk beribadah. Ikut pengalaman saya, budaya solat di jalanan satu perkara yang biasa di negara² Arab dan negara² Eropah. In Syaa Allah boleh amalkan dan tak perlu rasa segan. Masa inilah ia perlu dibudayakan.

Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Published by
almaswa Haji Che Ros