
Salah satu sebab berkahwin, selain sunnah Rasulullah, ia juga menambah bilangan umat manusia di muka bumi ini. Dalam pada itu, tidak semua pengantin baru terdedah kepada amalan seksual bebas dan pasti merasa gementar melalui malam pertama mereka.
Adakah dibolehkan pasangan suami isteri menonton video lucah bersama-sama untuk menambah pengetahuan dalam hubungan intim? Berikut adalah penjelasan dikongsi dari penjelasan Ustaz Zaharuddin mengenai isu ini.
Assalamualaikum uztaz. Saya nak bertanya mengenai mengajak isteri menonton filem lucah untuk tujuan mempelajari tentang cara-cara melakukan seks. Ini kerana isteri saya tidak begitu pandai melakukan seks dan untuk meransangkan nafsunya dulu sebelum melakukan hubungan kelamin. Apa pendapat Ustaz?
Jawapan :-
Wa’alaikumussalam,
Hukumnya haram secara sepakat ulama walaupun niatnya baik. Ia diharamkan kerana:-
Pertama :- Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit. Nabi SAW bersabda:-
Ertinya :-“Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain”
Sudah tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.
Kedua :- Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri dan begitu juga sebaliknya, sebagaimana displin seks Islam yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan Baginda SAW. (Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya, maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.
Ketiga :- Terdapat cara lain untuk mempelajarinya iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.
Keempat :- Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah tentu diharamkan juga.
Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu displin adab melalui hadith:-
إذا جامع أحدكم أهله فلا يتجرد تجرد العيرين
Ertinya :- “Apa seorang kamu ‘bersama’ isterinya maka janganlah kamu bertelanjang bogel (bermakna perlu berselimut)” ( Riwayat Ibn Majah 1/619 no 1921 )
Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari filem lucah itu. ( Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)

Kelima:- Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di dalam filem lucah tersebut. Maka ia jatuh ke dalam perkara haram yang lain pula.
Keenam :- Nabi Melarang menceritkan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.
Nabi SAW bersabda:-
لا تباشر المرأة المرأة فتنعتها لزوجها كأنه ينظر إليها
Ertinya :- Janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya ( Riwayat Al-Bukhari ).
Kesimpulannya, diharamkan menggunakan filem lucah sama ada untuk menaikkan syahwat suami isteri mahupun sebagai pengajian.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Tak Jujur Sebab Nak Claim Banyak.’ Ini Hukum Bayar Zakat Lebih Daripada Jumlah Yang Patut Dibayar

Isi Kandungan
Toggle‘Tak jujur sebab nak claim banyak.’ Ini hukum bayar zakat lebih daripada jumlah yang patut dibayar. Segelintir orang dengan sengaja membayar zakat lebih daripada amaun yang ditetapkan kerana ingin mendapat lebih banyak claim atau rebat cukai pendapatan.
Namun begitu, adakah niat kita ini menghalalkan cara. Maklumlah niat sebenar adalah untuk dapat claim banyak rebat. Ikuti penjelasan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
9 Jenis Zakat Wajib Kita Dilunaskan Bila Cukup Syaratnya
Tak Jujur
Soalan:
Bolehkah kita bayar zakat lebih daripada jumlah yang patut kita bayar, sebab nak claim rebat cukai pendapatan? Contoh gaji RM 100 ribu, kita bayar zakat RM4000 walaupun nilai zakat ialah RM2500 supaya dapat claim banyak rebat? Sebab ada kata tak jujur dalam claim sebab lebihan itu hanya dikira sedekah, bukan zakat.
Sebab Nak Claim Banyak
Jawapan:
Pertama:
Hendaklah kita betulkan niat dalam apa jua amalan dan perbuatan yang kita lakukan.
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1)
Begitu juga kaedah fiqh menyebutkan:
الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya:
“Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, halaman 30)
Kedua:
Perbuatan melebihkan bayaran zakat daripada kiraan yang sepatutnya adalah merupakan amalan yang baik dan termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan.
Hal ini sepertimana yang dinyatakan menerusi firman Allah SWT:
فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ
Maksudnya:
“Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Ini Hukum Bayar Zakat
Begitu juga, dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِذَا كَانَتْ سَائِمَةُ الرَّجُلِ نَاقِصَةً مِنْ أَرْبَعِينَ شَاةً وَاحِدَةً، فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا
Maksudnya:
Jika seseorang mempunyai kambing saa’imah 39 ekor, maka dia tidak wajib membayar zakat, kecuali jika si pemilik rela hati dan suka membayarnya (maka dia boleh mengeluarkan zakat dan pihak amil boleh menerimanya).”
Riwayat al-Bukhari (1454)
Selain itu, terdapat juga kaedah fiqh yang menyebut:
مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا
Maksudnya:
“Perkara yang lebih banyak perbuatan atau pengorbanan, maka lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 143)

Lebih Daripada Jumlah Yang Patut Dibayar
Justeru, kami katakan bahawa apa yang saudara lakukan itu adalah boleh dan tiada masalah. Bahkan, perbuatan saudara adalah sesuatu yang terpuji di mana bayaran zakat mengikut kiraan Syarak adalah wajib, manakala melebihkan bayaran zakat adalah termasuk ibadah sunat yang digalakkan dalam agama Islam.
Begitu juga kami berpendapat, terkadang-kadang kita terlupa dan terkurang dalam membayar zakat. Justeru, dengan berlaku lebihan seperti ini, kita mengharapkan apa yang kita lupa dan kurang itu dapat menampung kelemahan dan kecuaian kita dalam menunaikan zakat.
Keduanya, pastikan niat kita semata-mata kerana Allah SWT untuk melaksanakan hukum Islam, iaitu membayar zakat dengan sesempurnanya. Bukan bertujuan melarikan diri daripada cukai atau apa-apa tujuan yang lain.
Kashoorga: Sebenarnya kita sememangnya digalakkan untuk melebihkan bayaran zakat kerana bimbang terkurang di mana-mana.
Sumber: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Banyak Lelaki Ada Penyakit 3T (Teringin Tapi Takut Bini), Boleh Ke Isteri Melarang Lelaki Berkahwin Lain? Ini Penjelasan Mufti

Orang lelaki, kalau bercerita berkahwin lebih dari satu, masing-masing “hidup”. Begitu bersemangat apatah lagi jika melihat ada kawan-kawan melakukannya. Kata mereka, hati kena kental dan semangat kena kuat. Tapi dalam bersemangatnya lelaki nak menambah cawangan, ramai yang takutkan bini. Kata orang 3T (teringin tapi takut bini). Masa yang sama, bolehkah isteri melarang suami untuk berpoligami? Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai isu larangan ini.
Jawapan:-
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَنْكَحْتُ أَبَا الْعَاصِ بْنَ الرَّبِيعِ، فَحَدَّثَنِي، فَصَدَقَنِي وَإِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ مُضْغَةٌ مِنِّي، وَإِنَّمَا أَكْرَهُ أَنْ يَفْتِنُوهَا، وَإِنَّهَا، وَاللهِ لَا تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللهِ وَبِنْتُ عَدُوِّ اللهِ عِنْدَ رَجُلٍ وَاحِدٍ أَبَدًا
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya. Riwayat Muslim (2449)
Dalam riwayat al-Bukhari disebut:
وَإِنِّي لَسْتُ أُحَرِّمُ حَلاَلًا، وَلاَ أُحِلُّ حَرَامًا، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لاَ تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَبِنْتُ عَدُوِّ اللَّهِ أَبَدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)

Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
- Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
- Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
- Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Ini sesuai dengan firman Allah ﷻ:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُو
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”

Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);” (Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.” Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wajib Ambil Tahu, Ini Hukumnya Bila Isteri Bersedekah Guna Duit Suami

Soalan:
Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
Firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
al-Baqarah : 261
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا تَصَدَّقَتِ المَرْأَةُ مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا كَانَ لَهَا بِهِ أَجْرٌ، وَلِلزَّوْجِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلِلْخَازِنِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلَا يَنْقُصُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ مِنْ أَجْرِ صَاحِبِهِ شَيْئًا، لَهُ بِمَا كَسَبَ، وَلَهَا بِمَا أَنْفَقَتْ
Maksudnya: “ Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]

Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
Wallahua’lam
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Jika suami benarkan mengambil duit mereka, bolehlah membeli barangan keperluan rumah di sini
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI