
Bagi yang melakukan ibadah korban mereka mempunyai beberapa larangan yang perlu dilakukan bermula 1 Zulhijjah yakni 8 Jun 2024 (iaitu bermula saat masuknya waktu Maghrib pada 7 Jun) sehinggalah selesai melakukan ibadah korban.
Larangan tersebut adalah tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku. Anjuran ini adalah berdasarkan sabda Nabi Muhamad SAW
Daripada Ummu Salamah r.a., sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (HR Muslim, hadis sahih)
Antara hikmah yang disebutkan adalah supaya setiap juzuk anggota kekal dalam keadaan sempurna agar semuanya dibebaskan dalam api neraka.
Kalau terlupa larangan, bagaimana
Namun begitu sifat manusia mudah lupa, malah ada juga yang tidak mengetahui akan larangan ini. Mereka telah melakukan tiga perkara tersebut sebelum ibadah korban selesai hingga menimbulkan kebimbangan korban tidak sah.
Dalam hal ini apa hukumnya jika seseorang yang melakukan ibadah korban melakukan tiga larangan tersebut.
Menjawab persoalan ini terang Ustazah Asma’ Harun disebutkan dalam kitab fiqh muktamad Imam Syafie, sesungguhnya perintah ini bukan WAJIB (iaitu memotong kuku dan menghilang apa sahaja bulu) kerana bukan dalam keadaan berihram. Sebaliknya perintah tersebut adalah MAKRUH TANZIH.

Apakah maksud makruh tanzih ini? Makruh tanzih adalah perkara yang dituntut oleh syarak supaya ditinggalkan secara tidak muktamad, dan diberi pahala apabila ditinggalkannya kerana mematuhi perintah Allah SWT. Namun tidak dikenakan balasan azab jika dilakukan.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kanak-Kanak Wajib Bayar Zakat Simpanan, Ibu Bapa Tanggung Dosa Jika Sengaja Tak Bayar

Masa kini, kesedaran ibu ayah tentang membuka tabung simpanan atas nama anak-anak dilihat sudah semakin meluas di mana sejak kecil, anak-anak sudah memiliki simpanan sendiri biarpun wang itu ibu yang beri atau simpankan setiap bulan.
Di sebalik simpanan yang adakalanya sudah mencecah belasan atau puluh ribu itu, namun tahukah ibu ayah bahawa wang simpanan kanak-kanak itu sebenarnya wajib dibayar zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus dari jumlah simpanan.
Terpakai syarat sama seperti orang dewasa, wang simpanan ini wajib dibayar zakat dan ia perlu diuruskan oleh ibu bapa kerana anak-anak masih kecil.
Berikut adalah perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkaitan zakat simpanan untuk kanak-kanak dan orang tua dalam siri Al Khafi #1564.
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ada satu persoalan, jika sekiranya orang gila atau kanak-kanak mempunyai harta, adakah wajib untuk dikeluarkan zakat daripada harta mereka tersebut? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan firman-Nya, ayat 103, surah al-Taubah:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah: 103)
Para fuqaha’ telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini menyebutkan di dalam kitab al-Iqna’ Fi Halli alfaz Abi Syuja’ bahawa terdapat lima syarat, iaitu:
- Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
- Merdeka, iaitu bukan hamba.
- Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatab kerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
- Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
- Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
- Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus. (Rujuk al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1:212-213)
Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa.
Walaubagaimanapun, para fuqaha’ tidak meletakkan syarat baligh dan berakal sebagai syarat wajib zakat, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang gila wajib untuk menunaikan zakat jika sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Hal ini disebut secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:
Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie:
وَتَجِبُ الصَّدَقَةُ عَلَى كُلِّ مَالِكٍ تَامِّ الْمِلْكِ مِنَ الْأَحْرَارِ ، وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَعْتُوهًا أَوِ امْرَأَةً لَا فَرْقَ بَيْنَهُمْ فِي ذَلِكَ
Maksudnya: Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat. (Rujuk al-Hawi al-Kabir, 3:329)

Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah pula, Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa:
فَلَيْسَ مِنْ شُرُوط وُجُوبِ الزَّكاة: البُلُوغ و العَقْل قَتَجِبُ فِي مَال الصَبِيّ وَ المَجْنُون والمخَاطَبُ بِذَلِكَ وَلِيُّهُمَا
Maksudnya: Justeru, tidak termasuk dalam syarat-syarat wajib zakat, syarat baligh dan berakal. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Dan yang diperintahkan untuk melaksanakan demikian bagi pihak mereka ialah wali mereka. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 397)
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila jika sekiranya mencukupi syarat-syarat wajib zakat yang telah disebutkan. Syarat-syarat tersebut tidak termasuk syarat baligh dan berakal, oleh sebab itu maka wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kedua-duanya.
Oleh itu, para wali yang menjaga mereka seperti ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab untuk menunaikan zakat bagi pihak kanak-kanak dan orang gila tersebut kerana mereka tidak mampu untuk memahami dan menguruskannya sendiri. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Lupa Bilangan Hari Yang Ditinggalkan.’ Ini Kaedah Penentuan Bilangan Hari Qada Puasa

Isi Kandungan
Toggle‘Lupa bilangan hari yang ditinggalkan.’ Ini kaedah penentuan bilangan hari qada puasa. Kadang-kadang akibat terlalu lama atau disebabkan masalah tertentu, wanita lupa bilangan hari yang tepat untuk mengganti puasa.
Apa lagi tempoh tinggal puasa agak panjang seperti ketika mengandung atau dalam proses berpantang. Oleh itu, bagaimana cara terbaik untuk menghitung bilangan hari yang perlu diqada kerana terlupa.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Lupa Bilangan Hari
Soalan:
Saya perlu pencerahan tentang bayar fidyah tapi tidak pasti tentang bilangan puasa yang ditinggalkan itu. Kalau nak dikira rasanya jumlah bayaran tu mesti agak besar dan saya tak mampu nk lunaskan semua bayaran fidyah tu.
Bolehkah saya bayar sekadar yang termampu ustaz? Maafkan atas kejahilan saya tentang pekara ni.
Yang Ditinggalkan
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
Surah al-Baqarah, 2:185
Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali atau warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia. Daripada Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Ini Kaedah Penentuan
Daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan:
جاء رجلٌ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسولَ اللهِ إن أمي ماتتْ وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضِيه عنها ؟ قال: نعم ، قال: فديْنُ اللهِ أحقُّ أن يُقْضَى
Maksudnya:
Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata:
Wahai Rasulullah, sesungguhnya sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Berkata Baginda SAW: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.
Bilangan Hari
Para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribi.
Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.
Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:
Qada Puasa
“Adakah telah tinggalkan 50 hari?”
“Terlalu sedikit”
“90 hari?”

“Terlalu banyak”
Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari.
Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qada’.
Semoga usaha kita untuk mengqada puasa-puasa yang lalu menjadi muhabasah kita untuk meraih kebaikan yang lebih besar daripada Allah SWT pada masa akan datang.
Baca Di Sini:
Ponteng Puasa Waktu Kecil Perlukah Qada
Kashoorga: Sebaiknya jika kita terlupa, kita agak-agak bilangan tersebut dan lebihkan jumlahnya sedikit jika tak pasti. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sah Hukumnya Ambil Wuduk Tanpa Pakaian, Tapi Lebih Baik Menutup Aurat

Soalan:
Assalamualaikum. Saya mempunyai soalan. Apakah hukum kita mengambil wudhu’ dalam keadaan tidak berpakaian?

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, m/s 123).
Merujuk kepada soalan di atas, suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wudhu’ tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wudhu’ atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulama’ dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulama’ mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).

Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wudhu’ adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Walaupun sah wudhu’nya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”

Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wudhu’, tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
WallahuA’lam.
Artikel Berkaitan: Ini Hukumnya Jual Durian Sekali Dengan Kulit. Untuk Yang Was-Was Wajib Ambil Tahu!
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI