Buat Pembedahan Kosmetik Untuk Kecantikan Tetap Haram, Walaupun Hanya Mancungkan Hidung Selama 2 Bulan

Share

Buat pembedahan kosmetik untuk kecantikan tetap haram, walaupun hanya mancungkan hidung selama 2 bulan. Sekarang ini rawatan mancungkan hidung bersepah sampai jadi trend anak muda sekarang.

Tanpa segan-silu wanita Islam dengan selamba mendedahkan mereka ingin lakukan pembedahan mancungkan hidung sebab hendak cantik untuk majlis bertunanglah, hari raya lah dan macam-macam lagi.

Langsung tidak terlintas di fikirang mereka yang mengubah ciptaan Allah adalah haram walaupun bukan permanent (kekal). Ikuti perkongsian Nina Nuar ini tentang trend yang tak masuk akal ini.

Baca Di Sini:

‘Promo Tinggikan Hidung Serendah RM350.’ Ciptaan Allah Maha Sempurna, Mana Mungkin Manusia Mampu Tandingi

Buat Pembedahan Kosmetik

Fitrah asal kejadian manusia yang diciptakan Allah SWT merupakan sebaik-sebaik kejadian sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Tin 95: [4]

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah ciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya”

Manusia merupakan makhluk yang diciptakan dengan begitu baik dari segi rupa paras, fizikal tubuh badan serta pancaindera berbanding makhluk lain.

Namun saban hari, isu-isu berkenaan mengubah ciptaan Allah SWT yang semakin merisaukan dalam kalangan masyarakat hatta dalam kalangan orang Islam sekalipun.

Untuk Kecantikan

Malah, tengah trending sekarang ini, mancung hidung untuk tahan dua bulan.

Bukan main, wanita-wanita islam sibuk komen hendak buat rawatan untuk mancungkan hidung. Sedihnya, bila peniaga pulak buat promosi benda yang sememangnya mungkar siap ucap alhamdulillah. Main sebut saja puji bagi Allah, tetapi lakukan perkara mungkar.


Peniaga spa apa lagi mengambil kesempatan, mudah sangat jawab halal. Kononnya rawatan ini bukan kekal tetapi hanya sementara iaitu dua bulan saja. Walhal 2 bulan itu kekallah.

Tetap Haram

Ini semua ubah ciptaan Allah untuk apa? Ada hadis tentang Allah melaknat sesiapa yang terlibat mengubah ciptaan Allah.


Peniaga dan juga pelanggan, kedua-duanya bakal kena laknat. Bukan kita hukum orang. Ini dalil ada, kita sampaikan hukum.

Lelaki-lelaki yang dapat calon isteri macam ini, memang kena betul-betul sabar untuk didik isteri. Kalau niat nikah dengan wanita yang tidak faham lagi hukum-hakam agama, kalian berjaya didik, alhamdulillah.

Tapi kalau keras kepala juga, sabar banyak-banyak. Sebab dari awal macam ini. Tak takut ke sebelum dua bulan itu. Tiba-tiba ajal, hidung masih mancung buatan.

Walaupun Hanya

Bagaimanalah pemandi jenazah hendak tanggalkan filler hidung itu? Apa-apa kita hendak buat, rujuklah hukum dulu.

Tidak dinafikan, wanita ini memang minat cantikkan diri. Tapi jangan ikut nafsu. Asal kemas dan bersih tiada masalah. Jangan tabarruj yakni berlebihan.

Mengubah bermaksud menukar atau menjadikan sesuatu itu berbeza daripada asalnya. Manakala ciptaan adalah sesuatu yang diciptakan.

Oleh itu, mengubah ciptaan Allah SWT ialah perbuatan mengubah rupa bentuk serta fizikal tubuh badan secara mutlak dengan pelbagai cara demi memenuhi kepuasan hati dan juga untuk kecantikan diri.

Mancungkan Hidung

Perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT boleh terbahagi kepada dua perbahasan utama iaitu:

Perbuatan mengubah yang dilarang (haram)
Perbuatan mengubah yang dibenarkan syarak (keperluan)

Larangan mengubah ciptaan Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah an-Nisaa’ 4: [119]

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَأَمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلْأَنْعَٰمِ وَلَأَمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيْطَٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya;

“Dan pasti akan aku sesatkan mereka, dan akan aku bangkitkan angan-angan kosong pada mereka, dan akan aku suruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternakan (lalu mereka betul-betul memotongnya), dan akan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah (lalu mereka betul-betul mengubahnya). Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia menderita kerugian yang nyata”.

Dapat difahami bahawa perbuatan mengubah ciptaan ini didorong oleh hawa nafsu dan godaan syaitan sesuai dengan janjinya untuk menyesatkan anak Adam supaya melakukan perkara yang dilarang Allah.

Selama 2 Bulan

Asalnya segala bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan anggota tubuh manusia adalah dilarang dan diharamkan jika dilakukan untuk tujuan kecantikan dan untuk kepuasan hati bukannya kerana ada keperluan perubatan yang dibenarkan syarak.

Contohnya:
1. Menukar jantina lelaki kepada wanita dan sebaliknya
2. Melakukan pembedahan kosmetik untuk kecantikan
3. Menyambung rambut (hair extension)
4. Membuat tatu dan mengikir gigi
5. Mencukur bulu kening dan suntik botox (mempunyai unsur najis)

Kesemua perbuatan tersebut haram kerana mengubah fitrah asal kejadian dan mempunyai unsur penipuan iaitu menampilkan perkara yang bukan asli. Bahkan menjurus kepada pembaziran wang dalam perkara mungkar serta dilaknat Allah.

Melainkan Datang Mudarat

Perbuatan mengubah yang dibenarkan syarak pula merupakan suatu keperluan kepada manusia yang dilakukan untuk tujuan perubatan atau untuk membuang kecacatan di tubuh badan seseorang yang boleh mendatangkan keaiban kepada diri jika mengekalkannya.

Contoh:
1. Pembedahan sumbing mulut
2. Membuang misai atau janggut bagi wanita
3. Membaiki gigi yang rosak (memakai braces)
4. Pemindahan organ untuk menyelamatkan nyawa
5. Pembedahan plastik untuk perubatan dan pemulihan.

Kesemua perbuatan tersebut hakikatnya mempunyai unsur mengubah ciptaan Allah SWT namun ianya dibenarkan syarak berdasarkan situasi tertentu.

Sebagaimana wajib bagi wanita yang mempunyai misai atau janggut diwajahnya untuk mencukurnya menurut ulama Malikiyyah supaya tidak mengaibkan diri mereka. Firman Allah SWT,

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ

Maksudnya:

“Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah 2: [185])

Berdasarkan ayat tersebut segala apa yang mendatangkan kemudharatan atau keaiban kepada diri boleh dihilangkan dengan cara perubatan dan sebagainya yang diharuskan dengan niat sebagai keperluan kerana Allah telah memberikan kemudahan. Perubahan yang dibenarkan syarak itu juga sesuai dengan kaedah fiqh iaitu:

“اَلضَّرَرُ يُزَالُ”

Maksud: “Bahaya mesti dihapuskan”

Baca Di Sini:

Do’s & Don’ts Berhias Cantik. Haram Ubah Ciptaan Allah, Bersyukurlah

Kashoorga: Walaupun hendak kelihatan cantik janganlah sampai meminggirkan hukum agama.

Sumber : Nina Nuar, jejaktarbiah.com

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat