Kerohanian

Buat Solat Jumaat Tapi Tak Solat Fardhu Yang Lain, Sah atau Tidak Solat Jumaat

Share

Solat Jumaat buat tapi solat lima waktu yang lain tak pula dilakukan. Hakikatnya ramai lelaki yang melakukan perkara seperti ini.

Satu persoalan yang ditanya tentang hal ini adalah adakah solat Jumaat yang dilakukan itu sah jika solat lima Waktu yang wajib tidak ditunaikan.

Berikut adalah penjelasan Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri tentang perkara ini.

Pada asasnya, Allah SWT mewajibkan solat Jumaat kepada lelaki yang akil baligh, mukallaf dan bermastautin menerusi firman-Nya di dalam Kitab Suci:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka hendaklah kamu bergegas menuju untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala jenis jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kamu jika kamu mengetahuinya.” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Dalam menjawab soalan di atas, seseorang yang hanya melaksanakan solat Jumaat, namun tidak melaksanakan solat-solat fardhu yang lain; solat Jumaatnya tetap dinilai sebagai sah sekiranya dia memenuhi syarat-syarat sah solat Jumaat.

Dalam masa yang sama, dia akan menanggung dosa besar kerana meninggalkan solat-solat fardhu lain, jika dia sengaja meninggalkannya tanpa sebarang alasan yang diizinkan syara‘.

Allah SWT berfirman tentang nasib orang-orang yang meninggalkan solat:

عَنِ ٱلْمُجْرِمِينَ ٤١ مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣

Maksudnya: “(Ahli syurga bertanya) tentang orang-orang yang jahat (ahli neraka) [41] “Apa yang menyebabkan kalian dimasukkan ke dalam neraka Saqar?” [42] Mereka berkata: “Kami tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang bersolat.” [43].” (Surah al-Muddatthir: 41-43)

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan agar peliharalah solat-solat fardhu, lima waktu sehari semalam dengan sebaik-baiknya. Solat fardhu merupakan suatu kewajipan dan tiang seri agama.

Sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agama Islam di dalam dirinya. Siapa yang tidak melaksanakannya, bererti dia telah menghancurkan agamanya di dalam dirinya.

Sumber: Maktabah Al Bakri

Published by
Team Kashoorga