Dalam dunia yang serba mencabar dan begitu mementingkan pendidikan awal untuk anak-anak, ramai dalam kalangan ibu bapa yang begitu cerewet dalam soal ini.
Masing-masing cuba mencari pusat asuhan kanak-kanak terbaik untuk proses pendidikan awal anak-anak bagi menghadapi persediaan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar.
Dan tidak dinafikan rata-rata ibu bapa masa kini mencari pusat asuhan yang menerapkan konsep Islamik dan salah satunya adalah Al Kauthar Eduqids.
Al-Kauthar Eduqids juga dipilih sebagai Tadika Islamik Pilihan Majalah Pa&Ma sempena Ulang Tahun ke 19 Majalah Pa&Ma.
Keistimewaan Al Kauthar Eduqids ini berbanding tadika lain apabila pengurusannya menerima kehadiran kanak-kanak autism, speech delay, disleksia dan juga ADHD.
Menurut Pengasas dan Pengarah Al Kauthar Eduqids, Nor Fadilah Alias, 29 tahun berkata setakat ini di pihak HQ menerima lebih 10 pelajar yang mempunyai masalah seperti ini.
“Tidak semua ibu bapa di luar tahu bahawa pusat asuhan kami menerima anak-anak yang ada masalah sebegini. Sebenarnya sejak tahun 2013 lagi kami sudah mula menerima pelajar-pelajar ini.
“Apabila mereka masuk sini dan bercampur dengan anak-anak normal lain, aura dan teknik yang diajar kepada mereka, alhamdulillah 90% terserlah potensi.
“Misalnya kalau sebelum ini ada di kalangan kanak-kanak autisme ini yang jenis hantuk kepala dah tak hantukkan kepala, boleh dengar arahan, boleh menulis dan yang alami speech delay pun sudah boleh bercakap,” ujarnya yang gembira dengan perkembangan itu.
Tambahnya sebelum menerima kanak-kanak ini, dia telah membuat kajian mendalam di mana kanak-kanak yang ada masalah ini jika bercampur sesama mereka, potensi untuk kembali normal agak sukar.
“Dan setelah kami menerima kehadiran mereka, ajar mengikut modul ditetapkan, ada peningkatan pada perkembangan diri mereka. Setelah ada result barulah saya berani untuk berkongsi dengan semua ibu bapa di luar sana.
“Sebelum itu saya juga turut melengkapi diri dengan ilmu berkaitan. Saya ada mengambil pendidikan pra sekolah dalam subjek pendidikan khas. Dan inilah yang menguatkan semangat untuk membuka pusat asuhan kanak-kanak sendiri,” jelas ibu kepada seorang cahayamata ini.
Wanita kecil molek ini memiliki Diploma Prasekolah dan Diploma Kemahiran Malaysia. Bukan itu sahaja lebih menarik dia juga turut mempunyai lesen sebagai Pegawai Penilai daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Pernah bekerja di institut pendidkan awal kanak-kanak dan berdepan pelbagai cabaran sebelum nekad untuk membuka pusat asuhan sendiri seawal usia 22 tahun.
Daripada hanya ada sebuah pusat asuhan dan selepas tujuh tahun kini Nor Fadilah tersenyum bangga apabila sudah mempunyai hampir 20 cawangan taska dan tadika.
“Di Al Kauthar saya cipta satu modul yang menggabungkan kurikulum standard prasekolah dengan kaedah Montessori Islamik untuk membawa kelainan dan kualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Bagi saya bukan sahaja pembelajaran akademik penting, sahsiah diri juga perlu dititik beratkan. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi serta dunia digital tanpa sempadan hari ini.
“Cabaran dalam mendidik mereka memang sangat besar. Namun kekuatan saya berdepan segala dugaan ini setiap hari saya akan pastikan anak-anak ini wajib menghafal suraj Ar-Rahman, Al-Kahfi dan Yasin. Ini bermakna selain menghafal juz Amma, iaitu kumpulan surah-surah pendek, anak-anak di sini akan ditambah 3 surah ini untuk dihafal
“Seawal usia 4 hingga 6 tahun saya akan minta mereka baca dan hafal surah-surah ini selain solat Dhuha sebelum proses pembelajaran bermula. Alhamdulillah mereka boleh baca dan hafaz dengan lancarnya,” jelasnya lagi yang menggunakan method hafazan dalam pembelajaran.
Untuk jangka masa panjang, dia dan suaminya akan membuka lebih banyak lagi cawangan Al Kauthar Eduqids di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.
Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu tergesa-gesa kerana apa yang penting standard kualiti perlu djaga sebaiknya.
Nor Fadilah ditemui dalam satu majlis minum petang gilang-gemilang bertempat di Hotel Concord Shah Alam, Tadika Al Kauthar Eduqids telah diberi pengiktirafan memenangi salah satu kategori Jenama Pilihan Pa&Ma 2019.
Anugerah yang diadakan julung kali sempena Ulang Tahun Pa&Ma yang ke-19 ini telah memilih Tadika Al Kauthar Eduqids sebagai ‘Tadika Islamik Pilihan Pa&Ma. Anugerah tersebut telah di sampaikan sendiri oleh Editor Pa&Ma Puan Hasnita Sawal kepada En Bakhtiar pengasas Tadika Al Kauthar Eduqids.
Bukan itu sahaja, mereka turut menyampaikan beberapa anugerah kepada tenaga pengajar yang memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang Al Kauthar Eduqids ditubuhkan.
SUMBER FOTO: FACEBOOK AL KAUTHAR EDUQIDS