Bukan kuasa isteri halang suami curang, hanya iman dan takwa kepada Allah mampu jadi benteng maksiat seorang lelaki bernama suami. Hati kalau hendak berubah, dia tetap berpaling juga.
Sejauh mana isteri mengawal tindak-tanduk suami pasti dia dapat mencari jalan keluar untuk berlaku curang juga. Ikuti perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik nasihatnya:
Artikel Berkaitan:
Seringkali nampak komen menulis ‘insecurity‘ kaum wanita apabila timbul kes suami curang dengan wanita lain atau suami menceraikan isteri kerana ada orang ketiga.
“Wife cantik macam ni pun masih curang lagi? Kalau ‘potato’ macam aku ni entahlah…”
“Dapat wife layan punya baik, isteri solehah tutup aurat, cantik, lemah lembut pun cari lain lagi ke?”
Namun, semua itu seolah terjawab dengan kata-kata berbahasa inggeris seperti di bawah ini.
‘Being pretty doesn’t keep a man. Being a good woman barely keeps a man. A baby won’t keep a man. The only thing that keeps a man, is a man that wants to be kept.’
Ya, hakikatnya tak perlu salahkan isteri 100% jika suami yang membuka pintu hatinya untuk wanita ajnabi menapak, serta membiarkan dirinya sendiri yang hanyut melalui jalan mendekati pintu zina dan maksiat.
Wahai isteri, bukan dalam kuasa mu untuk menghalang suamimu dari tertarik dan curang dengan wanita lain di belakang mu.
Kecantikan mu mahupun sebaik apapun layanan mu sebagai isteri pun tak akan mampu mencegahnya. Hal ini kerana hal utama yang menjadi penghalang kemaksiatan suami mu adalah iman dan taqwanya kepada Allah.
Suami bukanlah haiwan peliharaan yang perlu ditambat bagi mengelakkan ia dicuri. Sebaliknya tugas suamilah yang menjadi pelindung, pendidik dan tunjang penafkah keluarga. Suamilah orang yang bertanggungjawab bagi melindungi anak, isteri dan keluarga dari masuk api neraka.
Firman Allah SWT, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batuan…” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Oleh kerana beratnya tugas itulah agama sangat memuliakan kedudukan suami yang qawwam.
Wahai suami, janganlah salahkan godaan dari luar semata-mata, sedangkan si suami itu bukanlah kanak-kanak mumayyiz yang lemah tak berdaya, tidak mampu memelihara kehormatan diri sendiri.
Hanya lelaki yang ‘lemah’ akan menyalahkan isteri dan wanita lain tanpa bermuhasabah kelemahan jati diri dan taqwa sendiri.
Hanya lelaki yang ‘murah’ akan menawarkan layanan istimewa, perhatian dan ayat-ayat manis untuk wanita bukan mahramnya. Apatah lagi jikalau sudah ada isteri yang halal dinikmati di rumah sendiri.
Oleh sebab itulah kita sebagai wanita, pilihlah lelaki yang soleh sebagai suami. Yang besar rasa takut kepada Allah, yang tahu betapa beratnya tugasnya sebagai suami dan ketua keluarga. Dia sendiri yang akan menjaga ikhtilat dan merendahkan pandangan dari wanita ajnabi.
Seperti mana orang-orang soleh selalu bercerita bagaimana mereka mampu berbahagia walaupun hanya dengan seorang isteri. Itulah dengan perbanyakkan berdoa agar Allah menetapkan hati hanya untuk isteri yang satu itulah di dalam hati.
Berdoa agar perasaan cinta sentiasa membugar, dicukupkan keperluan, diberikan ketenangan dan kenyamanan hanya dengan isteri yang itulah satu-satunya.
Selebihnya dengan menjaga batas pergaulan (ikhtilat) dan menundukkan pandangan. Agar isteri yang di rumah itulah yang paling cantik, manja, seksi dan wajar dihargai pengorbanannya berbanding wanita asing di luar sana.
Pegang tangan pasangan masing-masing. Tataplah matanya dan katakanlah, ‘saya mahu masuk ke syurga bersama-sama dengan mu,’
Demikian kita tahu bahawa tanggungjawab kita melebihi masa yang kita ada, sebenarnya.
Marilah kita suami isteri sentiasa sama-sama melazimi taubat bagi segala dosa dan maksiat yang pernah dilakukan. Mudah-mudahan taubat kita diterima Allah dan perkahwinan kita sentiasa dalam keredaan Allah, keberkatan, sakinah, mawaddah dan rahmah.
Suami, isteri, tutuplah segala ruang fitnah. Tutuplah segala pintu mendekati zina.
Pesanan buat diri ini sendiri, terutamanya.
Baca Di Sini:
Hebahkan Hubungan Curang Pasangan Di Media Sosial Adalah Haram – Ustaz Ahmad Dusuki
Kashoorga: Semoga Allah menjaga hati pasangan kita dan tidak berpaling tadah.
Sumber: Puan Intan Dzulkefli
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.