Solat merupakan benteng seseorang daripada melakukan kemungkaran. Solat mukmin yang berkualiti ialah apabila ia berjaya kusyuk di dalam solatnya. Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.
Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu kusyuk hati dan kusyuk badan.
Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
Khusyuk badan pula ialah ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.
Inilah khusyuk yang merupakan roh dan maksud solat. Namun tidaklah mampu untuk khusyuk anggota tubuh kita kecuali apabila telah khusyuk hati kita, kerana kekhusyukan hati adalah asas/dasar kepada kekhusyukan badan.
CARA MENDAPATKAN KUSYUK DI DALAM SOLAT
1. Persediaan untuk solat-solat tepat pada waktunya, membersihkan diri dan bersugi, jangan solat ketika makanan sudah terhidang, jangan solat ketika sedang menahan kentut, air besar dan air kecil, memakai pakaian yang bersih dan kemas, j angan makan dan minum berlebihan ketika hendak solat dan tidak membazir air ketika berwuduk.
2.Ketika hendak hampir solat – azan dan iqamah, dilakukan secara berjemaah, menghadirkan hati, mengibaratkan sebagai solat yang terakhir atau mengingati mati dan tidak melakukan maksiat ketika sebelum solat.
3.Ketika dalam solat- memahami dan menghayati bacaan dalam solat.
Justeru itu amatlah digalakkan untuk memahami setiap makna ayat al-Quran yang dibaca di dalam solat kerana ia akan lebih menambah kekhusyukkan di dalam solat.
Ini kerana sewaktu sujud merupakan saat paling hampir antara hamba dengan Tuhan-Nya.
Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ” ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.”
Riwayat Al-Bukhari (793)
HUKUM KUSYUK DI DALAM SOLAT
1.Ia merupakan di antara perkara fardhu (yang wajib) di dalam solat.
Firman Allah S.W.T:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. (Surah Taha: 14)
Kata Imam Al-Ghazali ketika mengulas berkenaan ayat ini; Zahir perintah (mendirikan solat) adalah membawa kepada hukum wajib. Kelalaian (tidak khusyuk) adalah bercanggahan dengan sifat zikir (iaitu mengingati). Maka sesiapa yang lalai dalam keseluruhan solatnya bagaimana dia itu dikira sebagai seorang yang mendirikan solat untuk mengingati Allah?
2.Khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat. Pendapat ini dipegang oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah dan beberapa tokoh selainnya.
Kata Imam Al-Nawawi: Telah dinukilkan ijmak bahawasanya perbuatan berfikir dan monolog dalaman adalah tidak membatalkan solat akan tetapi para ulama sepakat bahawa ianya makruh. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi S.A.W:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.” (Riwayat Al-Bukhari (6664)
Daripada beberapa pandangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat.
Marilah sama-sama kita menginsafi diri untuk menjadikan solat kita khusyuk dan sempurna agar tidak melakukan semata-mata tanpa diberi pahala oleh Allah SWT. Sesungguhya khusyuk adalah rahsia yang agug dalam solat. Justeru, solat tanpa khusyuk sama seperti badan tanpa roh. Dengan kadar kesempurnaan khusyuk, maka sempurnalah pahala.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan