Hari ini genap 15 Ramadan 1439 Hijrah. Ini bermakna sudah lebih dua minggu umat Islam menjalani puasa dan ibadah dalam bulan mulia yang mulia ini. Namun dari segi pemerhatian, masyarakat kita seakan-akan melebih-lebihkan ‘acara’ berbuka puasa. Hidangan berbuka puasa penuh terhidang di atas meja, tidak seperti di hari-hari biasa.
Hari pertama Ramadan sudah berpusu-pusu orang ramai pergi ‘membeli-belah’ mencari juadah buka puasa di bazar Ramadan. Kini boleh dikatakan setiap kawasan perumahan atau pekan kecil dan besar sudah ada bazar Ramadan. Bagaikan bukan bulan Ramadan jika sesuatu tempat tiada pusat jualan juadah berbuka puasa.
Sepatutnya dalam bulan Ramadan, kita mengawal nafsu makan, tapi lain pula amalan kita sekarang. Kita semua faham syarat berpuasa. Waktu puasa bermula masuk waktu Subuh hingga Maghrib, umat Islam diwajib menahan nafsu makan dan perkara yang membatalkan puasa.
Satu perkara lagi, kita dapat lihat pada bulan Ramadan, ramai berebut-rebut peluang untuk menambah rezeki dengan berniaga. Banyak orang kata Ramadan bulan pemberi rezeki kepada peniaga. Masa sebulan puasa inilah banyak bazar Ramadan, up town atau down town diwujudkan khas untuk memberi peluang kepada peniaga. Bagus untuk golongan umat Islam menambah rezeki.
Dalam keghairahan mencari rezeki, usah kita lupa bahawa di bulan Ramadan, kita memperbanyakkan amalan untuk menambah pahala yang disediakan pada bulan Ramadan seperti bertadarus, bersedekah, memberi makan kepada anak yatim dan golongan miskin.
Walau bagaimanapun lebih ramai orang tertumpu ke bazar Ramadan berbanding masjid untuk solat Tarawih. Tak kurang juga mereka yang sibuk mencari barang hari raya daripada cari pahala Ramadan.
Lihat sahaja di masjid-masjid. Hari pertama penuh sampai tak cukup-cukup tempat hendak solat Masuk 15 hari di bulan Ramadan, ruang dalam masjid yang penuh sebelum ini akan beransur-ansur kurang kepada separuh dan 10 hari terakhir Ramadan tinggal tiga saf jemaah yang menunaikan solat Tarawih.
Suasana sebegini memang lumrah berlaku. Tidak dapat dinafikan godaan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri di pusat membeli belah mungkin lebih kuat daripada tarikan ke masjid atau surau. Kebanyakan ustaz yang berceramah berulang kali mengingatkan perkara ini saban tahun, tetapi hampir kebanyakan kita masih terleka.
Menyentuh tentang peniaga-peniaga di bazar ramadan, mereka sanggup bayar sewa mahal untuk mendapatkan tapak berniaga. Malangnya mereka hanya mementingkan keuntungan jangka pendek. Langsung tidak menjaga kualiti (bukan semua) barang yang dijual. Peniaga yang muncul ‘setahun’ sekali ini hanya menjadikan berniaga di bazar Ramadan sebagai kerja sampingan untuk menambah duit raya semata-mata.
Memanglah berniaga pada bulan Ramadan ini, keuntungannya berlipat ganda daripada biasa. Tapi jangan lupa, pahala Ramadan yang begitu banyak yang dilepaskan ketika berada di bazar Ramadan dan juga pusat beli-belah. Kita tidak pasti sama ada Ramadan akan datang kita masih ‘ada’ atau tidak. Jadi gunakan peluang di bulan Ramadan yang datang setahun sekali ini untuk menambah rezeki.