Buluh Perindu Haram, Tapi Penjual Selamba Meniaga Di TikTok. ‘Lagi Seram, Bila Ramai Yang Nak Beli.’

Share

Buluh perindu haram, tapi penjual selamba meniaga di TikTok. “Lagi seram, bila ramai yang nak beli,’

Ternyata di TikTok, kita bukan saja disajikan dengan hiburan semata-mata tetapi ramai yang menjadikan platform ini sebagai tempat untuk berniaga dan mencari rezeki.

Rata-ratanya pengguna rajin memuat naik video kreatif atau ada juga selesa buat live bagi mempromosikan produk masing-masing. Secara tak langsung, pelanggan dapat melihat produk yang dijual dengan lebih dekat.

Artikel Berkaitan:

Jangan Sampai Syirik, Berendam Dalam Tasik Dayang Bunting Buat Pasangan Mengandung

Buluh Perindu Haram

Cakap apa saja, semuanya ada dijual di Tiktok, baju raya, ubat-ubatan, skincare atau peralatan rumah semuanya ada. Namun, baru-baru ini tular sebuah video di TikTok yang menjual ‘buluh perindu’.

Video yang dikongsikan itu menunjukkan seakan-akan sehelai benang yang boleh bergerak-gerak seperti di tiup angin. Min sendiri pertama kali melihat benang tersebut. Selama ini ingatkan buluh perindu itu seperti batang buluh.

Kredit Foto: Jejak Panglima

Tapi Penjual

Apa yang mengejutkan adalah kegunaan dan manfaat buluh perindu ini. Rata-rata warganet memuji keberkesanan buluh perindu ini.

Lebih-lebih lagi apabila hidup dan perniagaan mereka berubah serta bertambah baik setelah memiliki buluh perindu. Pendek kata buluh perindu ini berfungsi sebagai “pelaris”

Persoalannya, apa hukum berjual, beli buluh perindu di media sosial? Apa lagi ramai yang mempercayai serta taksub dengan keberkesanannya. Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.

Selamba Meniaga

Haram menjual buluh perindu secara atas talian atau tradisional sekiranya buluh perindu itu tujuannya adalah untuk perkara yang berunsur syirik seperti sebagai pelaris.

Namun begitu, sekiranya buluh perindu tersebut dijual kerana tujuan-tujuan lain seperti seruling ataupun perhiasan maka ianya harus.

Buluh perindu atau nama saintifiknya Bambusa magica merupakan sejenis pokok buluh kecil yang akan mengeluarkan bunyi merdu apabila ditiup angin. Oleh kerana itu, buluh perindu sering digunakan sebagai seruling.

Selain itu, terdapat juga peribahasa Melayu yang berbunyi “Seperti bangsi buluh perindu” yang membawa maksud suara yang lemah lembut dan merdu.

Di TikTok

Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu, buluh perindu ini cukup sinonim dengan minyak buluh perindu. Laporan akhbar Berita Harian September 13, 2015 menyatakan bahawa minyak buluh perindu dan beberapa jenis yang lain amat sinonim dengan masyarakat melayu yang digunakan sebagai pelaris perniagaan.

Ini kerana wujudnya kepercayaan bahawa semangat yang terkandung dalam objek-objek tersebut seperti minyak buluh perindu akan membantu dalam melariskan jualan mereka.

Asas kepercayaan bahawa sesuatu barang boleh membawa tuah dan melariskan perniagaan adalah suatu perkara yang berunsur syirik kerana mempercayai kekuasaan lain selain kekuasaan Allah.

Oleh kerana itu, mensyirikkan Allah dianggap sebagai satu dosa besar.

Lagi Seram

Rasulullah SAW bersabda,

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksud: Dosa yang paling besar dari dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah (dengan sesuatu).
(Sahih Bukhari No.6919)

Asal hukum kepada sesuatu jual beli adalah harus selagimana tiada perkara yang menjadikannya haram atau melanggar syarat dan rukun jual beli. Terdapat kaedah fiqh yang berbunyi:
الأصل في المعاملات الإباحة

Maksud: Hukum asal dalam muamalat adalah harus. (Rujuk Yasalunaka ’An al-Muamalat al-Maliyah al-Mu’asarah h.85)

Bila Ramai

Bagi memastikan sesuatu jual beli itu sah, maka jual beli tersebut mestilah mematuhi syarat dan rujuk jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan qabul serta barang yang diniagakan.

Bagi rukun barangan yang dijual beli, Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa sesuatu barang yang dijual itu mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli.

وَشُرُوطُ الْمَبِيعِ خَمْسَةٌ أَنْ يَكُونَ طَاهِرًا مُنْتَفَعًا بِهِ مَعْلُومًا ومقدورا عَلَى تَسْلِيمِهِ مَمْلُوكًا لِمَنْ يَقَعُ الْعَقْدُ لَهُ

Maksud:
Syarat-syarat barang yang dijual ada 5 iaitu suci, boleh dimanfaatkan dengannya, diketahui, boleh diterima dan dimiliki pembeli yang berakad (dengan penjual). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 149/9)

Yang Nak Beli

Selain itu terdapat juga fuqaha’ yang berkata bahawa syarat barang yang dijual beli tersebut mestilah barangan yang tidak dilarang oleh syarak yang membawa maksud sama dengan apa yang dinyatakan Imam Nawawi berkenaan barangan tersebut mestilah suci dan boleh dimanfaatkan.

Perkara yang dilarang tersebut adalah barangan yang dianggap najis seperti arak, bangkai, khinzir dan barangan yang membawa kepada kesyirikan.

مِنْ شُرُوطِ الْبَيْعِ، كَمَا يَقُول الْفُقَهَاءُ: أَنْ يَكُونَ الْمَبِيعُ غَيْرَ مَنْهِيٍّ عَنْهُ

Maksud: Antara syarat jual beli, sebagaimana dinyatakan fuqaha’: Barangan yang dijual beli mestilah bukan barangan yang dilarang oleh syarak. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 140/3)

Jual beli barangan yang tidak suci, najis dan barangan-barangan yang dilarang oleh syarak adalah haram dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda ketika hari Pembukaan Kota Mekah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ

Maksud: Sesungguhnya Allah s.w.t dan RasulNya mengharamkan jual beli arak dan bangkai dan khinzir dan patung berhala.
(Sahih Bukhari No.2236, Muslim No.1581)

Barangan Berunsur Syirik

Alasan pengharaman jual beli barangan yang berunsurkan syirik tersebut adalah kerana syarak menganggapnya tidak mempunyai manfaat serta ianya adalah jalan kesyirikan.

والعلة في تحريم بيع الأصنام كونها ليس فيها منفعة مباحة وأنها وسيلة من وسائل الشرك فيحرم بيعها

Maksud:
Dan alasan pada pengharaman jual beli patung berhala kerana ianya tidak mempunyai manfaat yang diharuskan dan ianya adalah jalan kesyirikan, maka diharamkan jual belinya. (Rujuk Fiqh Tajir Muslim h.199)

Kesimpulan:

Kami berpendapat bahawa hukumnya adalah haram jual beli tersebut sekiranya buluh perindu itu digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah seperti untuk membawa tuah dan pelaris baik secara atas talian atau cara jual beli biasa.

Ini kerana jual beli barangan yang mempunyai unsur syirik sedemikian adalah diharamkan. Manakala sekiranya buluh perindu tersebut dijual beli atas dasar tujuannya bukan untuk syirik seperti dijadikan seruling ataupun hiasan maka hukumnya adalah harus.

Kami juga ingin menggesa umat Islam untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh menjebak diri ke dalam perkara syirik sama ada menjual mahupun membeli kerana syirik merupakan dosa besar yang dimurkai Allah s.w.t.

Kami juga ingin menasihatkan supaya umat Islam sentiasa memastikan pendapatan yang dicari adalah halal dan bebas dari unsur-unsur haram sedemikian.

Baca Di Sini:

Hukum Membaca Zodiak Harus Tapi Jatuh Syirik Kalau Mempercayainya

Kashoorga: Jangan terlalu bergantung kepada sesuatu perkara hingga tanpa sedar anda mensyirikkan Allah. Minta dijauhkan daripada kita semua. Insyallah.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat