Surah Al-Lahab merupakan surah Makkiyah ke 111 serta mengandungi lima ayat. Ia menceritakan tentang celaan kepada Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil kerana memusuhi dakwah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. – Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal. Surah ini juga dinamakan surah Al-Masad.
Walau berpangkat sebagai bapa saudara Nabi, tapi hatinya busuk dan sentiasa memusuhi kerja-kerja dakwah Nabi SAW.
Dek kerana busuknya hati dan merupakan penghuni neraka di mana kayu api yang membakarnya akan dibawa oleh isterinya. Dan Allah menjadikan kubur Abu Lahab berbau busuk sehingga ke hari ini sebagai satu pengajaran buat kita semua yang masih hidup hari ini, sama seperti Firaun.
Terletak di Jabal Abu Lahab atau Gunung Abu Lahab ia berada tidak jauh dari Masjidil Haram. Sekitar 3-4 km sahaja. Namun kubur ini sepi dari kunjungan orang kerana bau busuknya dapat dihidu dari jauh bahkan tiada penghuni tinggal berdekatan Jabal tersebut. Ia menjadi seperti perkampungan berhantu walau banyak binaan rumah di sekitarnya tetapi kosong kerana tiada orang mahu tinggal di situ kerana bau busuk dari kubur Abu Lahab sangat menusuk hidung.
Dikongsikan oleh Youtuber Indonesia, Alman Mulyana, dirinya berkongsi pendakian menuju ke kubur Abu Lahab. Bahkan Youtuber ini menunjukkan saat sampai ke salah satu rumah, bau bangkai sudah terhidu. “Seram banget di sini. Dirinya terbatuk-batuk seperti tersedak kerana menahan bau yang menyengat.
“Aura negetif ini,” katanya memaklumkan matanya berair kerana menahan bau tersebut,” katanya yang tiba dengan dua orang rakannya senegaranya.
Dikeliling pagar besi, Alman Mulyana kemudiannya menunjukkan kuburan Abu Lahab dengan nafas yang termengah-mengah. Dan jangan pula kita menyangka kuburnya seperti tanah perkuburan kita yang lengkap berbatu nisan sebaliknya kubur Abu Lahab tidak terlihat begitu. Ia berada di sebalik tanah kosong berbatu dengan bau yang sangat menusuk hidung.
Bahkan pengunjung hanya boleh melalui dari jalan belakang gunung ini kerana bahagian depannya sudah dipagar tinggi tetapi tidak ramai yang mahu mengunjunginya kerana bau busuknya yang amat menyengat.
Benarlah janji Allah itu. Kerana penentangan Abu Lahab pada kerja-kerja dakwah Nabi menjadikan dirinya mati dalam penghinaan. Dipetik dari penerangan Mufti Wilayah dalam Al Kafi #992 berikut adalah kisah bagaimana Abu Lahab mati hingga mayatnya ditolak ke dalam lubang gunung itu dengan kayu.
Dikatakan Abu Lahab tidak hadir dalam peperangan Badar kerana usianya sudah tua tetapi apabila mendengar berita tersebut, beliau amat berdukacita.
Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan kisah yang berlaku selepas perang Badar di Kota Mekah:
Abu Rafi’ ialah seorang hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW. Beliau berkata: Dahulu aku adalah hamba milik al-Abbas. Ketika itu Islam telah sampai kepada seluruh Ahli Bait. Al-Abbas masuk Islam, kemudian aku dan Ummu Fadhl juga masuk Islam. Namun al-Abbas menyembunyikan keislamannya. Pada waktu peperangan Badar, Abu Lahab tidak ikut berangkat. Tatkala berita kekalahan Quraisy sampai kepadanya, Allah memalukan dan menghinakannya. Sedangkan kami memperoleh sedikit kekuatan di dalam diri kami.
Ketika itu aku seorang yang lemah. Aku bekerja membuat anak panah. Aku merautnya di dalam sebuah bilik yang berhampiran telaga zamzam. Demi Allah, ketika aku sedang duduk meraut anak panahku di sana, sementara Ummu Fadhl duduk berhampiran denganku dan kami sedang bergembira kerana berita kemenangan tentera Islam yang sampai kepada kami, tiba-tiba Abu Lahab datang dengan menyeret kedua-dua kakinya, sehingga dia duduk tepat di hadapan kain penutup bilik dan belakangnya bersandar pada belakangku. Ketika dia sedang duduk, orang ramai berkata, “Inilah Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muttalib. Dia datang.”
Maka Abu Lahab berkata: “Ke marilah! Dekatilah aku! Engkau pasti membawa banyak berita.” Abu Sufyan lantas duduk berhampiran dengannya, sementara orang ramai berdiri di hadapannya. Abu Lahab bertanya, “Hai anak saudaraku, beritakanlah kepadaku apa yang terjadi.”
Abu Sufyan menceritakan, “Tiada lain kecuali pasukan mereka berhadapan dengan kami, lalu kami menyerahkan belakang kami kepada mereka. Mereka membunuh orang-orang kita semahu mereka. Mereka juga menawan orang-orang kita sesuka hati mereka. Demi Allah, walaupun begitu, aku tidak mengancam siapa pun, sebab kami berhadapan dengan orang-orang yang berpakaian putih yang turun memakai kuda belang di antara langit dan bumi. Demi Allah, kuda-kuda itu tidak meninggalkan jejak sedikit pun dan tidak berpijak pada apa-apa pun.”
Abu Rafi’ meneruskan, “Kubuka kain penutup bilik dengan kedua-dua tanganku, lalu aku berkata, “Demi Allah, itu malaikat.”
Mendadak Abu Lahab mengangkat tangan, lalu memukul wajahku dengan kuat. Aku menerkamnya, tetapi dia mengangkat tubuhku, lalu membalingku di tanah. Kemudian dia berlutut di atas tubuhku sambil memukulku. Waktu itu aku orang yang lemah sehingga Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah. Ummu Fadhl berkata, “Kau berani menyeksa orang ini semasa tuannya tidak ada?”
Abu Lahab beranjak pergi dengan kepala tertunduk. Demi Allah, dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya. Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan. Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 335-336)
Begitulah pengakhiran hidup Abu Lahab, orang yang kuat memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.
Tonton video menyaksikan youtuber Alman Mulyana mendaki ke kubur Abu Lahab.