Alangkah beruntungnya menjadi seorang wanita. Kita boleh berkahwin, melahirkan zuriat dan memberikan kasih sayang tidak berbelah bagi pada seorang bergerlar suami.
Malah kelembutan sikap seseorang wanita itu mampu membuatkan hati lelaki cair. Dan kemudiannya mengakhiri hubungan sedia ada dengan ikatan yang sah.
Oleh sebab itu ramai juga kaum transjantina yang mahu mengubah diri mereka menjadi seorang ‘wanita’ walaupun hakikatnya adalah seorang lelaki.
Menjadi sifat seorang itu memang sukakan pada sesuatu yang cantik dan dirinya kelihatan cantik. Ini antara sebab kenapa ada yang mahu menjadi wanita.
Walau bagaimanapun kecantikan itu hanya pada fizikal semata. Akan kedut, kendur dan berlalu pergi. Malah cantik itu bersikap subjektif yang dipandang dengan nilai berbeza.
Kecantikan sebenar adalah terletak pada ketaatannya pada Allah. Ikuti perkongsian oleh Dr Ahmad Sanusi di laman sosial Facebooknya.
Kecantikan Adalah Pada Ketaatan
========
1. Manusia tidak seharusnya mengikat nilai kecantikan hanya pada fizikal semata. Kecantikan fizikal akan pudar, kendur dan kedut. Ia akan berlalu pergi. Bahkan ia bersifat subjektif yang dipandang dengan nilai yang berbeza oleh setiap orang.
2. Rasulullah menyifatkan nilai kecantikan seorang wanita adalah pada ketaatannya. Seorang lelaki yang memiliki isteri solehah seumpama lelaki yang mempunyai kekayaan yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah:
ألا أخبرك بخير ما يكنز المرء؟ المرأة الصالحة: إذا نظر إليها سرته، وإذا أمرها أطاعته وإذا غاب عنها حفظته
“Mahukah kamu aku beritahu nilai yang terbaik yang perlu dijaga (dipelihara) oleh seorang lelaki? Ianya adalah isteri yang solehah. Isteri solehah itu adalah seorang yang tenang bila kamu melihatnya, apabila disuruh, dia mentaati suaminya dan apabila suami tiada dia menjaga hak-hak suaminya.”
3. Perhatikan bagaimana Rasulullah mengangkat nilai keindahan (kecantikan) seorang wanita. Ia bukanlah penilaian fizikal tetapi ketinggian nilainya dilihat dari aspek ketaatan kepada Allah dan kepatuhan dalam menjaga hak-hak suaminya.
4. Begitu juga bagi seorang lelaki, nilai kecantikannya terletak pada ketaatannya kepada Allah, serta budi pekertinya yang mulia.
5. Lelaki yang menghabiskan simpanan wang jutaan ringgit hanya untuk memenuhi kehendak nafsunya yang bercanggah dengan perintah Allah tidak memiliki keindahan seperti yang digariskan oleh Rasulullah.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi