Ada masa wanita tidak perasan akan kedatangan haid hingga menyebabkan ia terkena kepada pakaian.
Seperti diketahui darah haid ini tergolong dalam najis. Pakaian yang terkena darah haid ini tidak boleh dibawa untuk solat atau tawaf sehinggalah ia dibasuh dengan betul.
Untuk itu ia perlu dibersihkan dengan betul agar suci dan boleh dibawa untuk melakukan ibadah. Cara menyucikan pakaian daripada darah haid ini juga turut dijelaskan oleh Rasulullah dalam satu hadis.
Daripada Asma’ binti Abu Bakar Al Shiddiq, “Seorang wanita bertanya kepada Rasulullah SAW, katanya, “Wahai Rasulullah, Apa pendapatmu bila seorang daripada kami bajunya terkena darah haid. Apa yang harus dilakukannya?”
Rasulullah SAW lalu menjawab: “Jika darah haid mengenai pakaian seseorang daripada kamu semua, maka hendaklah ia bersihkan darah yang mengenainya, lalu hendaklah ia percikkan air padanya, kemudian hendaklah ia solat dengannya.”
Dari hadis ini Rasulullah memberikan cara untuk membersihkannya iaitu;
1. Hilangkan kesan darah kering yang terdapat pada pakaian (boleh gunakan sabun).
2. Selepas itu basuh pakaian itu dengan air di samping menggosokkannya dengan jari-jari.
3. Kemudian bolehlah dikeringkan dan pakaian ini bolehlah digunakan untuk solat.
Hadis di atas juga jelas menunjukkan pakaian wanita yang terkena najis (darah haid) setelah dibasuh dengan betul boleh digunakan kembali untuk solat dan tawaf mengelilingi Kaabah tanpa was-was.
Sumber: Berita Harian