Salah satu keistimewaan wanita adalah dikurniakan tempoh ‘pembersihan dalaman’ atau haid, datang kotor atau datang bulan. Kebiasaannya, wanita akan didatangi haid sebulan sekali dan tempoh standard adalah selama 5-7 hari, namun ada juga yang lebih daripada itu.
Setelah dirasakan tiada lagi darah haid pada penghujung tempoh tersebut, maka diWAJIBkan melakukan mandi wajib.
Mandi wajib ini bukan sahaja wajib kepada perempuan yang baru habis haid tetapi juga kepada semua yang dalam keadaan hadas besar.
Artikel berkaitan: Hukum Mandi Wajib Selepas Subuh Semasa Bulan Ramadan
Artikel berkaitan: Ini Antara Amalan Boleh Dilakukan Kalau Nak Kumpul Banyak Pahala, Walaupun Sedang Dalam Haid
Allah SWT memerintahkan hambaNya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.
(Surah al-Nisa’: 43)
Kita wajib mandi wajib sekiranya melakukan persetubuhan, keluar air mani secara sengaja atau tidak, mati selain daripada mati syahid, datang haid bagi perempuan, nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin) dan wiladah (bersalin)
Namun untuk perkongsian kali ini, berikut adalah tatacara mandi wajib untuk perempuan selepas haid. Haid adalah salah satu najis yg menghalangi kita (wanita) untuk melaksanakan ibadah solat dan puasa, maka setelah selesai haid kita harus bersuci dengan cara yang betul mengikut sunnah Rasulullah SAW.
1. Menghadap kiblat :
Hadapkan badan ke arah kiblat, basuh kedua-dua tangan sebanyak tiga (3) kali, berinstinjak dengan membasuh kemaluan, buang najis atau membersihkan apa sahaja yang akan menghalang air mandi terkena permukaan kulit.
2. Wuduk (dilakukan sebelum mandi):
Niat : Sahaja aku berwuduk bagi melakukan mandi wajib, sunat kerana Allah Ta’ala
3. Niat:
Segala amal itu tergantung pada niatnya, maka jangan lupa niat. Niat boleh diucapkan boleh juga di dalam hati.
Mulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillahi Rahmani Rahim) kemudian diikuti dengan niat mandi wajib iaitu:
Bacaan niat :
“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala”
4. Meratakan air:
Siram air dan diratakan ke seluruh tubuh badan dari kepala hingga hujung kaki. Pastikan air sampai sampai ke semua anggota badan. Mulakan dengan sebelah kanan kepala, kiri dan tengah.
5. Siram ke seluruh badan:
Siram dari epala keseluruhan lalu jangan lupa seluruh tubuhnya wajib terkena air semuanya. Jangan ada bahagian yang tidak terkena air.
Perkara Wajib & Sunat Semasa Mandi Wajib
Perkara Wajib:
- Niat
- Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.
Perkara Sunat:
- Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
- Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.
- Berwuduk
- Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali
- Membasuh bahagian kanan dulu kemudian kiri.
- Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota.
- Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak.
- Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk
Walaupun nampak ringkas, tetapi ia sangat penting kerana tanpa mandi wajib, segala ibadat kita tidak diterima Allah.
Kashoorga: Ibu-ibu boleh kongsikan kepada anak-anak perempuan sebagai persediaan dan boleh juga kongsikan artikel ini kepada yang lain kerana ia amat mustahak untuk diketahui, fahami dan amalkan.
Sumber artikel: Ritha
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
3 Amalan Wanita Dalam Haid Boleh Lakukan Di Bulan Ramadhan Untuk Meraih Syurga Allah
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah.
“Barang siapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barang siapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya, dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.” (HR Khuzaimah)
Pastinya Ramadhan dinantikan oleh banyak umat yang merindui bulan cukup istimewa ini. Tapi bagaimana dengan wanita yang di dalam haid, tidak boleh melakukan ibadah ini untuk meraih pahala yang banyak.
Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada tiga perkara boleh dilakukan oleh wanita untuk meraih syurga Allah meski pun dalam keadaan datang bulan. Masa yang sama, Mufti turut ditanya, apakah hukumnya wanita dalam haid membaca al-Quran atau ma’tsurat?
Berikut adalah jawapannya.
Assalamu’alaikum Ustaz, apakah hukum bagi wanita yang datang haid jika beliau membaca al-Quran atau ma’tsurat? Bolehkah membaca ayat-ayat lazim? Bolehkah dibaca secara zahir dengan niat zikir? Soalan kedua, apakah amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid di bulan Ramadhan dan jika bertemu dengan Lailatul Qadar?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat?
Para ulama berbeza pandangan dalam isu bolehkah seorang wanita yang dalam keadaan haid itu membaca al-Quran? Kami ringkaskan pandangan tersebut seperti berikut:
Pertama :- Haram. Inilah pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.” Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.
Kedua :- Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Tsaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam (1/461)
Antara Kenyataan Mereka
- Syeikh al-Dusuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir (1/284)
- Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” Lihat Jawahir al-Iklil (1/32)
- Imam Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” Lihat al-Insaf (1/347)
- Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636).
Kami menyatakan, bahawa secara tuntasnya membaca al-Quran dalam bentuk zikir-zikir dan juga doa tidaklah termasuk dalam perkara yang dilarang ke atas orang perempuan yang datang haid. Ini seperti membaca doa menaiki kenderaan, mengucapkan istirja’ ketika mendengar musibah, membaca doa-doa yang ma’tsur daripada al-Quran sebagai zikir seperti pembacaan zikir-zikir pagi dan petang, dan seumpamanya.
Berkenaan dengan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita haid di dalam bulan Ramadhan, kami nyatakan cadangan amalan seperti berikut:-
Pertama: Banyakkan Sedekah
Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.
Kedua: Perbanyakkan Doa dan Zikir
Bagi orang perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antaranya adalah seperti yang dianjurkan dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’.
Ketiga: Memberi Makan Kepada Orang Berbuka
Boleh juga bagi orang yang dalam keadaan haid untuk memberikan makanan kepada mereka yang berbuka puasa. Hal ini antara perkara yang mendatangkan pahala yang besar kepada pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. (Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala. (Surah Al-An’aam (160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan yang dalam keadaan haid, ini sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan haid seperti beberapa contoh yang telah kami sebutkan di atas.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam Adik Beradik Bukan Semua Sekepala! Gaduh Bab Apa Pun, Jangan Putuskan Silaturahim. Tak Cium Syurga
Kadangkala bukan mudah mencapai kata sepakat dalam adik beradik. Walau dilahirkan dari rahim yang sama, tapi perangai dan sikap berbeza-beza. Ada yang mudah mengalah, ada yang kuat merajuk, ada suka menguasai, ada nak jadi big boss dan macam-macam lagi perangai. Tapi dalam kebanyakan kes, kita sering mendengar, berebutkan harta menjadi punca putusnya ikatan persaudaraan apatah lagi jika harta diperoleh dengan cara tidak betul.
Tapi apa sekali pun terjadi, jangan sesekali putuskan ikatan persaudaraan kerana orang yang putuskan ikatan persaudaraan sesama keluarga dan menganggap ia bukan sebahagian daripada ahli keluarganya adalah asbab kita tak masuk syurga.
Ikuti penjelasan dari page Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai isu ini.
Jawapan :-
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ..
Kalimah Silaturrahim diambil daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” yang bermaksud hubungan dan “الرحم” bererti kaum kerabat yang terdekat. Ia membawa maksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.
Sebahagian Ulama berpendapat kalimah Rahim terbatas kepada mahram sahaja dan ada juga Ulama yang berpendapat ia adalah dikalangan ahli waris.
Dimaksudkan dengan “Rahim” apabila disebut silaturrahim ialah :
الأقارب من جهة أبيه وأمه كالجدات والأجداد والخالات والعمات وأولادهم والأخوال والأعمام وأولادهم
Maksudnya: “Kaum kerabat sebelah ayah dan ibunya seperti nenek, datuk, ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak-anak mereka (sepupu-sepupu), bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu dan anak-anak mereka”.
Ancaman Memutuskan Silaturrahim
Memutuskan silaturrahim adalah termasuk antara–dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim boleh berlaku dengan memencilkan hati rahimnya/kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan sedangklan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan adalah seperti seseorang itu hilang sesuatu yang boleh menyatukan hubungan dengan mereka seperti hilang harta atau pun ada harta tapi harta tersebut hanya memenuhi hajatnya sahaja yang lebih utama untuk dibelanjakan.
Rasulullah bersabda ﷺ :
لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
Maksudnya: “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.”
Riwayat al-Bukhari (5991)
Hadis ini mengisyaratkan bahawa seorang lelaki yang menyambungkan hubungan dengan rahimnya/ kaum kerabatnya yang tidak menyambungkan hubungan dengannya lagi adalah lebih afdhal daripada dia menyambungkan hubungan dengan kaum kerabatnya yang tidak memutuskan silaturrahim dengannya kerana itu antara akhlak baik yang amat disarankan oleh syarak.
Imam al-Nawawi Rahimahullahu Taala menyatakan :
صلة الرحم فهي الاحسان إلى الاقارب على حسب حال الواصل والموصول فتارة تكون بالمال وتارة بالخدمة وتارة بالزيارة والسلام وغير ذلك
Maksudnya: “Menghubungkan silaturrahim bermaksud berlaku ehsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung ; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/201)
Memutuskan silaturrahim boleh berlaku dengan cara menyakitinya, tidak menziarahinya, lalu datang rasa dipencilkan di dalam hatinya, atau mereka adalah kerabat fuqara yang sangat berhajat kepada bantuan sedangkan seseorang itu mempunyai harta yang melebihi hajatnya, selain itu juga dia mampu membantunya, namun begitu dia tetap juga tidak mahu membantunya.
Allah SWT berfirman,:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”. (Surah al-Nisaa’:1)
Allah SWT berfirman lagi :
فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ ﴿٢٢﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّـهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰ أَبْصَارَهُمْ
Maksudnya: “Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”. (Surah Muhammad: 22-23)
Ayat ini menjelaskan kepada kita agar kita takut kepada Allah untuk tidak memutuskan silaturrahim.
Berdasarkan ayat ini Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala menyatakan berkaitan perkataan أَرْحَامَكُمْ: “Perkataan Rahim boleh membawa makna Am dan Khas. Dimaksudkan dengan makna Am ialah kerabat dari sudut Agama. Mereka ialah saudara-saudara kamu seagama walaupun diantara kamu tiada pertalian kerabat. Maka wajib kamu menyambungkan silaturrahim berdasarkan keimanan dengan cara berkasih-sayang tolong-menolong, nasihat-menasihati, tidak memudharatkannya, berlaku adil, memberi hak yang sepatutnya dan menunaikan hak-hak yang wajib seperti memunaikan hak-hak orang yang meninggal dunia seperti memandikan, solat atasnya , mengebumikan dan juga hak-hak yang harus seperti menziarahinya ketika sakit. Adapun Rahim dari sudut yang khusus ialah membawa makna kaum kerabat dari sebelah pihak bapa dan ibu”. Maka wajib bagi mereka menunaikan hak yang khusus seperti memberi nafkah bersesuai dengan keadaaan mereka dan tidak melalaikan perkara yang dijanji pada waktu-waktu yang mereka perlukan”. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 8/164)
Rasulullah ﷺ bersabda :
وَمَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ والْيوم الآخِر، فَلْيصلْ رَحِمَهُ …
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturrahim”. Riwayat al-Bukhari (4830)
Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
مَنْ أَحبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ في رِزقِهِ ويُنْسأَ لَهُ في أَثرِهِ فَلْيصِلْ رحِمهُ
Maksudnya: “Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.” Riwayat al- Bukhari (5986) dan Muslim (2557)
Diriwayatkan oleh daripada daripada hadith Jubair bin Muth^im RadhiAllahu Anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Maksudnya: “ Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”. Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya padahal dia memiliki Iman). Riwayat Al-Bukhari (2408) dan Muslim (593)
Kaedah Bersilaturrahim Dan Keadaan Diharuskan Memutus Silaturrahim
Bersilaturrahim mempunyai pendekatan dan cara yang pelbagai. Antaranya:
- Jika kamu boleh menziarahi rahimmu/kaum keramat terdekat denganmu maka jangan sekali kamu mengabaikannya. Hendaklah kamu menziarahi mereka. Tidak memadai kamu mengirimkan salam kepada mereka tanpa menziarahi mereka. Dalam beberapa keadaan memang memadai hanya dengan mengirimkan salam. Adapun jika berada di tempat yang sama, negeri yang sama, daerah yang sama kemudian tidak pula menziarahinya dalam jangka masa setahun, tidak juga dalam 2 tahun dan tidak juga menziarahnya pada tahun yang ketiganya, sedangkan dia mampu melakukannya maka inilah dosa memutuskan silaturrahim.
- Adapun jika rahim atau kerabat terdekat tersebut tidak suka kerabatnya ini memasuki rumahnya dan dia tidak pula redha orang tersebut berbuat demikian serta orang tersebut ini pula tahu bahawa dia tidak menyenangi/tidak redha dia memasuki rumahnya maka tiada dosa dikenakan ke atasnya kerana kerabatnya itu tidak redha dia berbuat demikian. Jatuh tanggungjawab tersebut daripadanya. Walaupun begitu, dia masih lagi perlu bertindak mengirimkan salam kepadanya atau menyampaikan salam secara bertulis mahupun telefon. Lebih mudah lagi pada zaman ini dengan adanya sms, laman sosial, whatsapp, twitter dan sebagainya.
- Namun, jika kerabatnya amat suka dia masuk ke rumahnya dan dia dibenarkan duduk di dalam rumahnya, maka tidak memadai dengan hanya mengirimkan salam bagi tempoh yang lama tidak bersua. Adapun jika dah berjumpa dengannya sebelum ini dalam tempoh yang terdekat maka sudah memadai dengan hanya kiriman salam.
- Adapun jika seseorang itu memiliki keuzuran seperti dia berada di tempat yang jauh, atau luar negeri atau luar negara dan tidak mudah baginya untuk pergi menziarahi kaum kerabatnya, jika dia menghilangkan diri misalnya 3 tahun sedangkan dia masih lagi mengirimkan salam dari semasa ke semasa maka itu tidak mengapa.
- Jika dia menziarahi kaum kerabatnya tetapi dia tidak mendapati dia di rumah, maka hendaklah orang tersebut meninggalkan pesanan di atas pintu rumahnya atau kepada jirannya: “ Saya adalah si fulan, saya telah datang menziarahimu tetapi saya dapati kamu tiada di rumah”, ini sudah memadai.
Antara keuzuran atau alasan yang menyebabkan seseorang itu dibenarkan tidak menziarahi kerabatnya/rahimnya seperti dia mendengar bahawa kaum kerabatnya ini telah melakukan riddah/murtad seperti mencaci Allah, para nabi, malaikat, atau mempersendakan al-Quran dan seumpamanya, maka orang ini tidak perlu lagi disambung hubungan silaturrahim dengannya.
Diharuskan memutuskan silaturrahim sekiranya kerabatnya itu fasiq disebabkan sikapnya meminum arak, meninggalkan solat, berzina dan seumpamanya. Perlu diingat tidak diharuskan memutuskan silaturrahim dengannya melainkan setelah memberitahunya terlebih dahulu apakah sebab kita bertindak sedemikian agar dia sedar dan meninggalkan perbuatan keji tersebut.
Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ
Maksudnya: “ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, – mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya”.(Surah ar-Ra’d : 25)
Berkata Ibnu Abi jamrah (dalam Kitabnya Bahjah An-Nufus jilid 4 hlmn 146) Rahimahullahu Taala: ”Silaturrahim boleh dilakukan dengan harta, menolongya ketika ia berhajat, membantunya menolok kemudharatan, bermuka manis, berdoa. Semua ini dilakukan sekiranya kaum kerabat tersebut mereka istiqamah di dalam kebaikan. Namun, sekiranya mereka golongan kuffar dan sering melakukan kejahatan maka memutuskan silaturrahim dengan mereka dengan niat kerana Allah SWT dan berusaha menasihati mereka( mengikut kadar kemampuan) kemudian memberitahu sekiranya ia berttrusan di dalam kejahatan yang dilakukan maka itulah menjadi sebab terputusnya silaturrahim. Maka tindakan inilah sebenarnya dinamakaan silaturrahim dengan mereka. (Lihat Fathul Bari Syarah Sohih Al-Bukhari, 13/521)
Namun, perlu diingat bahawa hubungan dengan mereka (yang fasik dan jahat ini) masih berterusan walaupun telah terputus, dengan sentiasa berdoa kepada mereka supaya Allah SWT memberi hidayah kepada mereka agar berubah ke arah kebaikan.
Nabi ﷺ bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ يَاَ
Maksudnya: “Wahai Manusia sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah diwaktu malam hal keadaan manusia sedang tidur, maka masuklah kamu ke dalam Syurga dengan sejahtera dan selamat. Riwayat Ibnu Majah (3251)
Hadis ini menerang dan meminta kita lakukan empat perkara iaitu:
Pertama: Sebarkanlah salam iaitu memberi salam kepada orang kamu kenal ataupun tidak.
Kedua: Memberi makan dan minum kepada terutama kepada mereka yang memerlukan.
Ketiga: Sambunglah silaturrahim antara kaum kerabat.
Keempat: Solatlah dimalam hari diwaktu manuasia sedang tidur. Bermunajat kepada Allah SWT.
Memutuskan silaturrahim adalah antara sebab kenapa disegerakan azab seseorang di dunia lagi sebelum tibanya Hari Akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda :
مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Mafhumnya, “Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disamping yang sedang menantinya di Hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturrahim”. Riwayat Abu Dawud (4902), al-Tirmizi (2511) dan Ibnu Majah (4211)
Rasulullah ﷺ bersabda :
” مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُمِدَّ اللَّهُ لَهُ فِي عُمُرِهِ وَيُوَسِّعَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيَدْفَعَ عَنْهُ مَيْتَةَ السُّوءِ فَلْيَتَّقِ اللَّهَ وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ ”
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin umurnya panjang, mendapat rezeki yang luas, dan menolak sesuatu yang buruk (bencana/musibah) maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan silaturahim” Riwayat Imam Ahmad (1171) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3108)
Kesimpulan : Maka, berdasarkan nas-nas yang diberikan maka menjaga dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut di dalam agama. Semoga kita bersama-sama termasuk di dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturrahim. Ameen.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Makan Darah Ikan. ‘Sebelum Masak, Wajib Bersihkan Darah & Kotoran Dalam Perut Ikan.’
Hukum makan darah ikan. ‘Sebelum masak, wajib bersihkan darah & kotoran dalam perut ikan.’
Jangan ambil mudah bab hukum apatah lagi isteri atau ibu yang setiap hari masak serta hidangkan makanan untuk keluarga.
Seperti mana kita titik beratkan soal kebersihan ketika memasak di dapur, bab darah ikan ini ju ga adalah sebahagian perkara yang perlu diutamakan.
Ikuti kemusykilan berkaitan masak ikan dengan darah dan ini jawapan Ustaz Azhar Idrus.
Artikel Berkaitan: Makan Di Restoran Bukan Islam Tanpa Ragu. ‘Rupanya Masih Ramai Yang Keliru Antara Bersih & Halal.’
SOALAN :
Berkenaan makan ikan yang dimasak sekali dengan tahi dan darahnya tanpa dibersihkan terlebih dahulu itu apakah hukumnya menurut pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie dan di sisi jumhur ulamak?
Hukum Makan Darah Ikan
JAWAPAN :
Darah ikan adalah najis. Semua jenis darah yang mengalir sama ada yang terdapat pada ikan atau daging atau lainnya adalah najis dan memakannya adalah haram dan inilah pendapat yang paling sahih.
Oleh kerana itu wajib membersihkan daging dan ikan terlebih dulu daripada darah yang mengalir sehingga bersih sebelum memasaknya untuk dimakan.
Disebut pada Kitab Al-Ma’ani Badi’ah :
مَسْأَلَةٌ: عِنْدَ الشَّافِعِيِّ وأَكْثَر الْعُلَمَاءِ جميع الدماء نجس
Ertinya :
“Ini satu persoalan : Disisi mazhab Syafie dan majoriti ulamak sekalian jenis darah adalah najis.”
Sebelum Masak
Darah yang haram dimakan yang wajib dibersihkan itu ialah darah yang mengalir yang basah di dalam perut ikan manakala darah yang ada di dalam daging dan urat itu termasuk dalam najis yang dimaaf.
Firman Allah Taala :
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ
Ertinya :
“Katakanlah tidak aku dapati pada apa yang telah diwahyukan kepada aku suatu yang diharamkan atas memakannya melainkan bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi.” (Al-An’am : 145)
Berkata Syeikh Ali As-Sobuni :
اتفق العلماء على أن الدم حرام نجس، لا يؤكل ولا ينتفع به، وقد ذكر تعالى الدم هاهنا مطلقاً وقيّده في الأنعام بقوله: {أَو دَماً مَّسْفُوحاً} وحمل العلماء المطلق على المقيد، ولم يحرموا إلا ما كان مسفوحاً
Ertinya :
“Telah sepakat oleh ulama atas bahawasanya darah itu haram lagi najis tidak dimakan dan tidak diambil menafaat dengannya. Dan sungguhnya Allah Taala telah menyebut di sini secara mutlak dan mengkaitkannya pada surah Al-An’am dengan firman-Nya ‘Atau darah yang mengalir’.
Wajib Bersihkan Darah
Ulamak telah menanggung akan yang mutlak atas yang muqayyad dan tidalah mereka itu yakni para ulamak mengharamkan melainkan darah yang mengalir.” (Kitab Tafsir Rawai’ul Bayan)
Menyebut oleh Imam Al-Baghawi :
قَالَ عِمْرَانُ بْنُ حُدَيْرٍ : سَأَلَتُ أَبَا مِجَلَزٍ عَمًّا يَخْتَلِطُ بِاللَّحْمِ مِنَ الدَّمِ] ، وَعَنِ الْقِدْرِ يُرَى فِيهَا حُمْرَةُ الدَّمِ، فَقَالَ: لَا بَأْسَ بِهِ، إِنَّمَا نَهَى عَنِ الدَّمِ الْمَسْفُوحِ، وَقَالَ إِبْرَاهِيمُ: لَا بَأْسَ بِالدَّمِ فِي عِرْقٍ أَوْ مُخٍّ، إِلَّا الْمَسْفُوحَ الَّذِي يعمد ذَلِكَ
Ertinya :
“Telah berkata ‘Imran bin Hudair : Aku telah bertanyakan Abu Mijlaz tentang daging yang bercampur darah dan tentang periuk masakan yang nampak di dalamnya merah darah.
Maka jawabnya : Tidak mengapa dengannya hanya yang dilarang ialah dari memakan darah yang mengalir. Dan berkata Ibrahim : Tidak mengapa dengan darah di dalam urat atau otak melainkan darah yang mengalir yang disengajakan.” (Kitab Tafsir Ma’alim At-Tanzil)
Berkata Imam Nawawi :
وَالْأَصَحُّ فِي الْجَمِيعِ النَّجَاسَةُ وَمِمَّنْ قَالَ بِنَجَاسَةِ دَمِ السَّمَكِ مَالِكٌ وَأَحْمَدُ وداود
Ertinya : “Dan pendapat yang paling sahih (pada mazhab Syafie) sekalian darah itu adalah najis. Dan setengah dari ulamak yang mengatakan najisnya darah ikan itu ialah Imam Malik dan Imam Ahmad dan Daud Az-Zahiri.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Kotoran Dalam Perut Ikan
Oleh itu, maka haram hukumnya makan makanan yang dimasak sekali dengan darah ikan yang mengalir tanpa dibersihkan terlebih dahulu dan setiap perbuatan yang haram dilakukan itu bermakna pelakunya berdosa.
Berkata Imam Ibnu Rif’ah :
والصحيح كما قاله أبو الطيب قبيل كتاب الضحايا أنه نجس
Ertinya : “Perkataan yang sahih sebagaimana telah menyebutnya olEh Abu Tayyib pada Kitab Ad-Dhohaya bahasanya darah ikan itu najis.” (Kitab Kifayah At-Tanbih)
Dan berkata Imam Ibnu Quddamah Al-Hanbali :
وَقَالَ أَبُو ثَوْرٍ: هُوَ نَجِسٌ؛ لِأَنَّهُ دَمٌ مَسْفُوحٌ، فَيَدْخُلُ فِي عُمُومِ قَوْله تَعَالَى {أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا}
Ertinya : “Dan telah berkata Abu Tsur : Darah ikan itu najis kerana sungguhnya ia darah yang mengalir maka masuk darah ikan itu pada umum ayat yaitu firman Allah Taala : atau darah yang mengalir.” (Kitab Al-Mughni)
Kesimpulannya darah ikan yang mengalir dan kotoran dalam perutnya adalah najis dan dan wajib dibersihkan dahulu sebelum memakannya.
Baca Di Sini:
Daging Penguin Halal Dimakan, Dr Zulkifli Jelaskan Kenapa Umat Islam Boleh Makan Haiwan Comel Ini
Hukum Mulut Berbau Makan Durian Hingga ‘Ganggu’ Jemaah Lain Waktu Solat
Kashoorga : Bab najis dan kotoran ini wajib ambil berat, apatah lagi ia makanan untuk santapan seisi keluarga.
Sumber : Ustaz Azhar Idrus
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI