Cara Menguruskan Jenazah Transgender Yang Mengubah Bentuk Fizikal Tanpa Mengaibkan

Share

Mengurus jenazah merupakan sebahagian daripada etika Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Selain hukumnya fardu kifayah, hal itu juga merupakan tanda penghormatan terhadap jenazah.

Orang yang memandikan jenazah selain harus mengetahui cara memandikan jenazah, harus juga boleh dipercayai agar tidak membuka rahsia termasuk aurat jenazah yang dilihatnya. Sebaik-baiknya orang yang mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan jenazah.

Namun bagaimana pula cara untuk menguruskan jenazah transgender?

Topik ini memang saya tunggu semalam. Di WHI. Saya ikuti dan tunggu hingga tamat. Bagus betul ustaz yang dijemput ini cuma sayang sekali saya lupa namanya kerana mata saya lebih fokus pada tangannya mendemostrasi urusan ‘mayat pondan’ di depan.

 

 

Ini intipatinya:

1. Jenazah akan diurus mengikut fitrah kelahirannya. Jika lahir kedunia lelaki, tak kira walaupun telah buang kemaluan dan pasang buah dada, tetaplah lelaki yang menguruskannya. Begitu juga sebaliknya.

2. Adapun yang lebih afdhal, jenazah diurus selia ahli keluarga sendiri. Ibu, ayah dan adik beradik. Suka juga bila ustaz mengingatkan, bukan hanya jenazah bergini, malah jenazah biasa pun memang adalah paling baik jika keluarga yang dapat uruskan.

3. Jika keluarga tidak setuju jenazah pondan ini di mandikan orang lelaki, makanya tiada pilihan melainkan meminta ahli keluarga sendiri menguruskan. (Maka tidak boleh jemaah/ahli masjid atau sesiapapun perempuan yang bukan mahram uruskan)

4. Walaupun telah meninggal, jenazah dijaga aibnya. Proses mandi ditutup pula dengan sehelai kain agar tak nampak bentuk fizikal. Malah dalam sesetengah kes, muka juga ditutup supaya yang memandikan tak kenal. Sampai begitu sekali. Ustaz demo cara mandinya. Penuh tertib dan tak ada masalah walaupun ada kain di atas tubuh dan muka.

5. Hingga ke urusan kafan, akan ikut cara kafan lelaki. Malah kebumi pun jika boleh dibuat seperti biasa dengan pihak yang menguruskan tidak akan menceritakan kepada sesiapa bentuk tubuh atau fizikal yang berubah untuk jaga keaiban arwah.

Saya menung panjang. Sampai hari ini sebenarnya.

Di zaman Rasulullah s.a.w, mereka yang bersembunyi di sebalik kebenaran; mengaku Islam tetapi munafik; mereka ini diketahui nabi tetapi tidak pernah diceritakan. Hanya seorang sahabat yang teguh memegang rahsia yang diberitahu kepadanya; Hudzaifah Ibnul Yaman.

Setelah kewafatan Rasulullah, Saidina Umar sangat takut jika-jika beliau adalah sahabat yang munafik. Beliau bertanya kepada Hudzaifah. Hudzaifah menafikan tetapi tidak menjawab atau menyatakan sebarang nama. Sahabat hanya tahu siapa yang munafik apabila berlaku kematian dan Hudzaifah tidak turut sama solat jenazah.

Kenapa sampai begitu Rasulullah merahsiakan?

Kerana mereka masih menyorok. Tidak menzahirkan. Dan Rasulullah menjaga aib mereka.

Dan ini juga sebegini rupa dilakukan para pemandi dan pengurus jenazah ketika mana kematian seorang yang menukar jantina tetapi secara rahsia.

Urusan dosa pahala di tangan tuhan. Aib nya tetap kita simpan.

Indah sungguh agama ini. Janganlah lagi wahai sahabat atau sesiapapun yang terang terangan mengaku membuat dosa. Meminta pula diiktiraf dan diberi ruang kekal membuat dosa. Hatta dosa sedikit manapun.

Malulah kamu pada tuhanmu yang menutup aib kamu dan aku. Janganlah kamu pula bermegah dan menayang aib dengan mudah.

Kita semua pendosa. Bertaubatlah sementara masih bernyawa!

Sumber: Salwa Mohd Saleh

Published by
wan erni