Kerohanian

Cara Qada Solat Jumaat Yang Sengaja Ditinggalkan. Ini Panduannya

Share

Bagi Mazhab Shafie, hukum menunaikan solat Jumaat adalah Fardu Ain, iaitu wajib ke atas setiap mukallaf lelaki yang sudah baligh yang memenuhi syarat-syaratnya.

Tapi lumrah sebagai manusia, ada masa kita leka dengan dunia dan meninggalkan kewajipan ini dengan sengaja. Dan mungkin sampai masa kita rasa menyesal, bertaubat dan mahu qada solat yang ditinggal termasuk solat Jumaat.

Jadi bagaimana cara qadha solat Jumaat yang ditinggalkan ini? Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang juga bekas mufti menerangkan caranya sebagai panduan buat mereka yang berazam mengqadakan solat Jumaat yang ditinggalkan.

Cara qada solat Jumaat yang ditinggalkan

Sesungguhnya hutang solat dengan Allah SWT hendaklah dibayar sama seperti kefardhuan solat mengikut mazhab Syafi’i. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.” Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Seterusnya solat perlu diqadha’ berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula). Riwayat al-Bukhari (597)

Diqada dengan solat Zohor

Solat Jumaat yang ditinggalkan hendaklah diqadha’ dengan solat Zohor. Kalau setahun sebanyak 48 atau lebih sedikit berdasarkan hari, maka hendaklah diqadha’ Zohor dengan jumlah tersebut.

Ini kerana solat Jumaat adalah khusus pada hari Jumaat dan dilakukan secara berjemaah dengan syarat-syarat yang tertentu seperti orang yang bermastautin atau orang bermukim di masjid dalam waktu Zohor dimulakan dengan dua khutbah, dan makmum cukup bilangan seperti yang masyhur dalam mazhab Syafi’i iaitu 40 orang lebih.

Sertakan dengan niat

Seperkara lagi dalam mengqadakan solat ini perkara utama adalah niat. Ia merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.” Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya.

Di sisi mazhab Syafie, disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.”

Sumber: Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

 

Published by
Team Kashoorga