Sebagai Muslim kita tidak dibenarkan memelihara anjing sebagai binatang peliharaan namun boleh pula pada keadaan tertentu, seperti untuk memburu dan menjaga kebun dan tanaman.
Dalam masa yang sama boleh jadi juga haiwan ini membuang air di sekitara kawasan tanaman sayur. Dalam keadaan adakah tanaman ini boleh digunakan dan bagaimana hendak menyucikan tanaman ni.
Menurut pandangan ulama mazhab Syafii, anjing adalah dari kategori najis berat sama ada bulunya, air liur, peluh, kencing dan lainnya. Imam Nawawi menjelaskan bahawa seluruh tubuh anjing, air liur, darah, dan najisnya itu adalah Najis Mughallazah, beliau berkata;
وَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا فَرْقَ عِنْدَنَا بَيْنَ وُلُوغِ الْكَلْبِ وَغَيْرِهِ مِنْ أَجْزَائِهِ فَإِذَا أَصَابَ بَوْلُهُ أَوْ رَوْثُهُ أَوْ دَمُهُ أَوْ عَرَقُهُ أَوْ شَعْرُهُ أَوْ لُعَابُهُ أَوْ عُضْوٌ مِنْ أَعْضَائِهِ شَيْئًا طَاهِرًا فِي حَالِ رُطُوبَةِ أَحَدِهِمَا وَجَبَ غَسْلُهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ إِحْدَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan pada pandangan kami (Mazhab Syafii) jilatan anjing dengan lainnya, daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya sesuatu benda yang bersih ketika ia basah, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya ialah tanah. [Rujuk; Syarah Sahih Muslim, jld. 3, hlm. 185]
Bagaimanapun cara mencuci najis anjing yang terkena tanah ialah dengan dihilangkan najis tersebut dan hanya perlu dijirus dengan air tujuh kali itu tanpa perlu disertakan tanah pada mana basuhan itu. Hal ini disebabkan tidak ada keperluan lagi untuk berbuat demikian. [Rujuk: al-Majmuk Syarah al-Muhazzab jld. 2, hlm. 586]
Menurut pandangan Mazhab Maliki anjing ialah binatang yang suci dan cara menghilangkan najisnya (kencing dan tahi) pula hanya dengan dibasuh hingga hilang ain najis tersebut sahaja, tidak perlu mengulang basuh sehingga tujuh kali. Namun pada jilatannya mereka berpendapat elok juga dibasuh sebanyak tujuh kali atas tujuan beramal (Taa’bbudi) dengan hadis di atas dan bukan disebabkan kenajisannya. [Rujuk al-Fiqh al-Maliki al-Muyassar hlm. 18-20]
Berpandukan keterangan di atas;
– Wajib dihilangkan najis (tahi) pada tanaman dan di sekitar kawasan tanaman itu kemudian hendaklah dijirus air pada tanah di sekitarnya dalam kiraan tujuh kali tanpa perlu kepada jirusan air tanah lagi dan pastikan air tanah itu juga terpercik pada tanaman tersebut secara merata dan kemudian dijirus pula pada tanaman itu sebanyak kiraan enam kali.
-Namun sekiranya tanaman tersebut tidak ditanam dengan menggunakan tanah atau agak sukar untuk disertu, maka bolehlah bertaklid kepada pandangan mazhab Maliki iaitu dengan cara menjirusnya hingga yakin najis itu telah hilang.
Sumber: Mufti Pulau Pinang