Cari solusi terbaik, isteri jangan perlekeh kemampuan suami. ‘Bimbang pasangan jauhkan diri dan tak mahu bersama.’
Sebenarnya dalam perkahwinan komunikasi adalah elemen terpenting dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga berkekalan.
Tidak kiralah isunya apa, yang penting komunikasi dan bincanglah baik-baik agar masalah yang membelenggu dapat diselesaikan dengan baik dan tiada pihak berkecil hati termasuklah isu berkaitan hubungan intim.
Kongsi Imam Muda Hassan, sebaiknya seorang isteri jangan perlekehkan kemampuan suami, begitu jua dengan suami. Jelasnya:
Artikel Berkaitan: Bolehkah Suami Isteri Menonton Video Intim Untuk Menambah Pengetahuan Dalam Hubungan?
Bolehkah seorang isteri memperlekehkan keperluan batin suami? Sebagai contoh bagi kes suami yang tidak dapat memenuhi kehendak seksual isteri. Lalu isteri pun memperlekehkan kemampuan suaminya.
Perkara ini sebenarnya perlu diperhatikan baik-baik. Dalam rumah tangga ini, bila seorang lelaki dan wanita telah berkahwin, terdapat beberapa hikmahnya.
1. Pernikahan terjadi bagi memenuhi keperluan fitrah manusia iaitu setiap lelaki dan perempuan memiliki fitrah seksual masing-masing. Jadi perkara ini adalah sesuatu yang sangat baik dan disebabkan itu digalakkan untuk berkahwin.
2. Malah, berkahwin juga secara tak langsung memberi ketenangan jiwa dan rohani. Melalui hubungan intim, apabila suami dan isteri dapat mencapai kepuasan bersama, tanpa sedar ia memberi ketenangan.
3. Manakala hikmah perkahwinan juga adalah menjadi hubungan yang sah untuk mengembangkan generasi manusia iaitu proses mendapatkan anak, melahirkan keturunan dan sebagainya.
Di sini kita dapat fahami bahawa salah satu hikmah perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, jadi suami tak boleh ego dan hanya pentingkan dirinya saja. Sebaliknya dia perlu memenuhi keperluan isteri juga.
Tetapi seandainya suami tidak dapat memenuhi kehendak pasangan, isteri tak boleh menjatuhkan maruah suami atau memperlekehkan suami.
Ini disebabkan kerana ada kes seorang isteri memperlekehkan kemampuan suami, akhirnya suami menjauhkan diri dan kesannya bertahun-tahun pasangan ini tak bersama.
Oleh hal demikian, sebaiknya masalah ini seharusnya dibincang baik-baik, cuba cari solusi, suami buangkan ego dan bincang baik-baik apa yang sepatutnya dilakukan.
Malahan untuk menyelesaikan masalah ini perlukan komunikasi dua hala, pergi buat rawatan, berikhtiar dan jangan pentingkan diri semata-mata.
Baca Di Sini: Jodoh Adalah Ketentuan Allah. “Jika Mampu Dipilih, Tiada Isteri Mahukan Suami Berperangai Buruk.’
Setiap pasangan yang berkahwin berkeinginan untuk mencapai maksud kebahagiaan rumah tangga iaitu keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah termasuklah salah satunya dalam menjaga hubungan intim ini.
Bagi suami jangan menganggap perkara ini tak penting. Kebanyakan lelaki merasa yang penting bagnya ialah dia puas dan dia sendiri mencapai kepuasan sudah mencukupi. Sebenarnya tak boleh dan tak adil sebegitu. Dalam Al-Quran ada menyebut,
‘Isteri adalah pakaian bagi suami dan suami juga pakaian bagi isteri.
Bermakna di sini, suami dan isteri perlu mencapai maksud kepuasan bersama.
Begitu juga disebut dalam Al-Quran, “Hendaklah kamu menggauli isteri kamu dengan cara yang baik’.
Tetapi jika isteri berhadapan dengan isu seperti ini dan telah berbincang dengan suami tetapi tiada jalan penyelesaian dan suami tak memberi kerjasama yang baik.
Maka dibenarkan seorang isteri dibenarkan berjumpa dengan kadi atau mengadu kepada pihak yang berautoriti dan dia boleh menceritakan apa yang berlaku untuk mendapatkan solusi.
Diingatkan juga, jangan bertindak tidak sepatutnya seperti meluahkan di Facebook dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah pelihara rumah tangga kita
Kashoorga : Semoga Allah mempermudahkan urusan suami, isteri yan berdepan dengan masalah rumah tangga. Insyallah.
Sumber : Imam Muda Hassan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.