Dulu timbul persoalan lafaz cerai What’s Ap tapi baru baru ini tular pula cerai ketika ‘live di TikTok. Ia berikutan situasi seorang peniaga kosmetik yang diceraikan talak satu oleh suaminya ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi Tik Tok.
Mengulas tentang perceraian sebegini menurut Mufti Kelantan Datul Mohamad Shukri Mohamad perpisahan suami isteri sepatutnya berlaku secara berakhlak, di hadapan hakim Mahkamah Syariah dan bukannya menerusi cara lain termasuk ketika sedang bersiaran langsung di media sosial.
Ini kerana katanya perkahwinan adalah satu amalan yang sangat besar kepada Islam dan mengkehendaki supaya satu-satu perkahwinan itu berlangsung secara tenang, aman dan bahagia.
Ujarnya jika berlaku perselisihan faham atau perbalahan ia perlu diselesaikan secara baik seperti yang dianjurkan Islam.
“Ini berikutan ketika nak berkahwin dulu, kita menggunakan cara Islam termasuk orang tengah dengan ada pertunangan, risikan dan langkah-langkah awal yang diambil sebelum kita kahwin.
“Jadi untuk berpisah ini, sama… kalau jalan terakhirnya perlu kepada bercerai maka bercerai secara berakhlak seperti yang dianjurkan oleh Islam. Namun, kita masih bersaudara dan menjalin ukhwah Islamiah serta tidak perlu bermasam muka,” katanya memetik laporan dalam Berita Harian.
Perkara tak baik tak perlu dihebohkan
Ujar Mohamad Shukri lagi dalam konteks sekarang, mereka yang mahu bercerai perlu menghadirkan diri bersama-sama di depan hakim Mahkamah Syariah untuk mohon perceraian.
“Kenapa hal begini (bercerai) kita nak hebohkan kerana kita bimbang perkara tidak baik ini akan menjadi perkara biasa dan ikutan. Orang kata dia bercerai dan kita pun nak bercerai.
“Jadi perkara ini seolah-olah menjadi galakan untuk bercerai. Sebab itu bercerai dalam talian dan dihebohkan ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak dikehendaki oleh agama.
“Kalau perkara yang baik memang kita perlu hebohkan dan perkara yang negatif ini tidak perlu dihebohkan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bila Suami Isteri Bersentuhan Ketika Ada Wuduk, Batal Atau Tidak Wuduk Sebenarnya
Seperti yang kita ketahui, antara suami dan isteri, memang tiada langsung batas aurat antara satu sama lain. Sama ada suami atau isteri, masing-masing bebas menyentuh dan menerokai tubuh masing-masing. Walau bagaimanapun apabila suami isteri atau salah seorang ada wuduk bersentuhan antara satu sama lain, adakah batal air wuduk?
Tapi ada juga yang berpendapat wuduk tak batal. Sebenarnya batal atau tidak?
Dalam permasaalahan ini para ulama berbeza pendapat:
Mazhab Hanafi berpendapat sentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wuduk selagi ia tidak menyebabkan nafsu seseorang itu terangsang sama ada dari pihak lelaki ataupun perempuan.
Jika nafsu syahwat telah terangsang akibat daripada sentuhan berkenaan, maka wuduk mereka akan terbatal.
Lain pula yang dilihat oleh Mazhab Maliki yang berpendapat, wuduk hanya akan terbatal jika menepati syarat berikut:
- Lelaki atau perempuan yang telah bersentuhan atau tersentuh itu telah mencapai umur baligh. Ini bermaksud menyentuh anak kecil yang belum baligh tidak akan membatalkan wuduk.
* Sentuhan yang berlaku antara mereka sama ada secara sengaja atau sebaliknya menyebabkan nafsu terangsang. Oleh yang demikian, sentuhan yang tidak membangkitkan nafsu tidak akan membatalkan wuduk.
* Bersentuhan mestilah bertemu kulit dengan kulit tanpa sebarang kain atau lapik.
Pandangan Mazhab Syafie agak tegas berbanding mazhab lain yang berpendapat sentuhan yang berlaku antara lelaki dan wanita (bukan mahram) akan menyebabkan wuduk terbatal. Hukum itu bersifat umum untuk semua keadaan dan lapisan masyarakat sama ada tua atau muda, hidup atau mati, sengaja atau kebetulan, bernafsu atau sebalik.
Mazhab Hambali hanya mengkhususkan hukum kepada sentuhan yang bersyahwat. Jika sentuhan yang berlaku itu tidak menyebabkan nafsu terangsang, maka wuduk mereka tidak batal. Jika rangsangan syahwat berlaku akibat daripada sentuhan itu, maka wuduk mereka akan terbatal walaupun ia berlaku antara mahram.
Semua penjelasan di atas membuktikan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam isu ini.
Bagaimanapun, pendekatan yang dibuat oleh Mazhab Syafie adalah terpilih untuk diamalkan memandangkan ia adalah mazhab rasmi di Malaysia. Pegangan kita di Malaysia adalah Mazhab Syafie.
Berpegang dengan Mazhab Syafie lebih diutamakan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam jika tidak kena dengan gayanya.
Wallahua’lam.
https://www.youtube.com/watch?v=2GUkdRmPYJE
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kelebihan Puasa Asyura, Anjuran Berpuasa Sunat Pada 9, 10 & 11 Muharam
Isi Kandungan
ToggleKelebihan puasa Asyura, anjuran berpuasa sunat Pada 9, 10 dan 11 Muharam. Bulan Muharam memang tidak dinafikan ianya merupakan satu bulan yang mulia.
Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah kelebihan puasa Hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam.
Artikel Berkaitan:
Kelebihan Puasa Sunat Hari Asyura (10 Muharram), Dosa Kita Diampunkan Setahun
Kelebihan Bulan Muharam
Di samping itu, antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya:
Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya:
Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharam
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharam adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.
Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
Maksudnya:
Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).
Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ?
Maka jawab baginda S.A.W:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya:
Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
Bulan Muharam adalah bulan paling afdal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadan.
Kelebihan Puasa Asyura
Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:
Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya:
Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Riwayat Ibn Majah (1738)
Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharam, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.
Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya:
Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Anjuran Berpuasa Sunat
Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
1. Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
2. Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
3. Berpuasa sehari dan selepasnya.
Pada 9, 10 & 11 Muharam
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Akhir kalam, kami menyatakan bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping merezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Semoga kita semua dapat menunaikan puasa sunat Asyura kerana banyak kelebihannya.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Jangan Puji Orang Berlebihan, Mufti WP Jelas Perkara Boleh Buruk Berlaku Pada Tukang Puji & Orang Yang Dipuji
Tidak dinafikan kalangan kita ramai yang mudah memberikan pujian terutama yang berkaitan dengan penampilan diri. Malah ada kala pujian yang diberikan itu agak keterlaluan.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat larangan memberi pujian secara keterlaluan kerana ia bukan saja boleh memberi keburukan kepada orang yang memuji malah orang yang dipuji.
Penjelasan tentang perkara ini ada dihuraikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dalam AL-KAFI #683 : HUKUM MEMUJI SECARA BERLEBIHAN
Hukum asal memuji harus tapi mestilah benar bukan dusta
Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta. Demikian juga pujian tersebut hendaklah dalam keadaan yang tidak mendatangkan fitnah kepada orang yang dipuji serta tidak menyebabkan insan tersebut berasa ‘ujub dan bermegah diri.
Hal ini adalah berdasarkan ucapan-ucapan para Rasul kepada Rasulullah S.A.W semasa peristiwa mi’raj baginda ke sidrat al-muntaha: مَرْحَبًا بِالأَخِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
Maksudnya: Selamat datang kepada saudara yang soleh dan juga Nabi yang soleh. Riwayat al-Bukhari (3393)
Daripada hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa:
وَفِيهِ جَوَازُ مَدْحِ الْإِنْسَانِ فِي وَجْهِهِ إِذَا أُمِنَ عَلَيْهِ الْإِعْجَابُ وَغَيْرُهُ مِنْ أَسْبَابِ الْفِتْنَةِ
Maksudnya: Dan pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah. Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kenyataan Imam al-Nawawi di atas dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memotong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T”. Riwayat Muslim (3000)
Fekah yang ditunjukkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini adalah, beliau meletakkan tajuk bab ini sebagai: Bab larangan memuji, sekiranya ia berlaku secara berlebihan serta ditakuti berlakunya fitnah ke atas diri orang yang dipuji.
Larangan memuji secara berlebihan ini terdapat padanya beberapa hikmah. Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebutkan bahawa terdapat enam kerosakan yang akan masuk ke dalam pujian terhadap seseorang.
Empat keburukan itu kepada orang yang memuji, manakala dua lagi kepada orang yang dipuji. Kami ringkaskan keenam-enam kerosakan itu dengan sedikit olahan seperti berikut:
Keburukan Kepada Orang Yang Memuji
Pertama: Seseorang yang memuji itu boleh menyebabkan dia melampau dalam melontarkan pujian, lalu ia akan berakhir dengan pembohongan. Ini biasanya berlaku dalam pujian kepada pemerintah ataupun kepada seseorang terhadap sesuatu yang dia tidak miliki.
Kedua: Pujian juga kadangkala boleh membawa kepada sifat riya’ dengan cara dia menzahirkan kecintaan kepada orang yang dipuji, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Maka jadilah dia sebagai seorang yang riya’ lagi munafik.
Ketiga: Pujian juga boleh berlaku dalam keadaan pemuji tidak mengenal pasti keadaan sebenar orang yang dipuji. Terutamanya pada sifat-sifat yang mutlak seperti warak, zuhud, bertakwa, dan seumpamanya kerana kesemuanya ini tidaklah boleh dilihat melalui mata kepala.
Keempat: Melalui pujian juga boleh menyebabkan orang yang zalim dan fasiq berasa gembira tatkala dipuji. Sedangkan hal ini tidak boleh kerana keduanya ini sekiranya dipuji sudah pastilah akan kekal berterusan dalam kefasikan dan kezaliman mereka.
Keburukan Kepada Orang Yang Dipuji
Pertama: Melalui pujian, boleh menyebabkan seseorang itu berasa takbur dan ‘ujub terhadap diri sendiri. Yang mana kedua sifat ini boleh menghancurkan diri seseorang.
Kedua: Seseorang yang dipuji, akan merasa gembira dan merasa cukup dan berpuas hati dengan apa yang sudah ada pada dirinya. Maka sesiapa yang merasa kagum dengan diri sendiri, akan berkuranglah kesungguhannya dalam beramal. Ini kerana, orang yang bersungguh dalam amalan ini adalah mereka yang merasakan diri mereka penuh kekurangan.
Namun, perlu juga dijelaskan di sini bahawa Imam al-Ghazali apabila menyebutkan beberapa perkara di atas ini beliau berkata:
أمَّا إِذَا سَلِمَ المَدْح مِنْ هَذهِ الآفَات فِي حَقِّ المَادِحِ وَالمَمْدُوحِ لَمْ يَكُنْ بِهِ بَأسٌ ، بَلْ رُبَّمَا كَانَ مَنْدُوبًا إِلَيهِ
Maksudnya: Adapun sesekiranya seseorang itu berasa selamat daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya. Lihat Ihya’ Ulum al-Din, al-Ghazali (3/233).
Kesimpulan
Akhir kalam, kami berpandangan bahawa hukum asal memuji itu adalah harus. Ini kerana, boleh jadi pujian seseorang itu berlaku kerana dia melihat orang yang dipuji adalah dari kalangan orang soleh yang banyak melakukan amal ibadah, maka hal ini disifatkan sebagai ‘aajil busyhra mu’min’ (berita gembira segera buat orang beriman). Namun, jauhi dan elakkanlah pujian yang dusta serta boleh menyebabkan fitnah berlaku kepada diri orang yang dipuji dan sifat ‘ujub berlaku pada dirinya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI