Cinta Sampai Syurga, Suami Derma Sebelah Buah Pinggang Untuk Isteri

Share

Setiap pasangan akan sanggup berkorban untuk orang dikasihinya. Ada berbagai pengorbanan dilakukan termasuklah memberi harta benda kepada orang dicintainya. Tidak hanya harta, ada yang sanggup memberikan organ penting seperti buah pinggang saat pasangan diuji dengan ujian kesihatan yang serius.

Dalam satu perkongsian dari jururawat di hospital Selayang di unit Transplan Renai, SN Khairul Anwar di Tik Toknya, dirinya berkongsi pengorbanan seorang suami yang memberikan sebelah dari buah pinggang kepada isteri tercinta.

Jelas SN ini, kes sebegini amat rare apabila seorang suami sanggup berkorban demi melihat isterinya kembali sihat dan memberikan sebelah dari buah pinggangnya tanpa ragu-ragu.

Kasih sayang yang tiada batasannya membuktikan ada ramai lelaki yang baik dan membuktikan cinta kepada pasangan melebihi segala-galanya.

Alhamdulillah, selepas menjalani pemindahan buah pinggang, kedua pasangan suami isteri ini nampak sihat.

Dalam pada itu ketika ditanya oleh pengikutnya, SN Khairul menjelaskan, tiada masalah untuk seorang individu hidup dengan sebelah buah pinggang sahaja.

Jelasnya, dalam prosedur kesihatan, penerima perlu mematuhi arahan doktor dan perlu makan ubat transplan (immunosuppresion) setiap hari dan jalani kehidupan yang sihat.

Manakala bagi penderma pula untuk jangka msa panjang perlu menjalani kehidupan sihat seperti tidak merokok, mengamalkan pemakanan yang sihat dan digalakkan melakukan senaman untuk kekal cergas.

Ternyata, kasih sayang suami isteri tiada batasannya.

Hukum pendermaan organ

Al-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat berkata: “Sesungguhnya kebaikan dan keburukan berbeza. Tidak dapat dikatakan bahawa padanya kebaikan sahaja, kerana kebaikan itu tetap ada bercampur dengan suruhan atau kerumitan, samada sedikit atau banyak.

Apa yang kita fahami adalah sesuatu itu mempunyai kebaikan atau keburukan. Penentunya adalah bergantung kepada apa yang terlebih padanya. Jika yang melebihi adalah jenis kebaikan, maka keadaan biasa menghukumkan sebagai kebaikan. Tetapi jika keburukan yang lebih berat, maka mengikut keadaan, ia adalah keburukan. Oleh itu, hendaklah melihat yang mana lebih berat daripada dua keadaan itu.

Jika jenis kebaikan lebih berat, maka perkara itu adalah diambil dan jika jenis keburukan yang lebih berat, maka haruslah ditinggalkan.”

Dalam isu ini, terdapat dua pandangan:-

Pertama: Diharuskan

Pendapat yang mengharuskan adalah berpandukan kaedah ini:

Ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa pemindahan organ manusia yang sudah mati kepada yang hidup yang memerlukannya adalah diharuskan dengan empat syarat:-

Hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya.

Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.

Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain.

Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Antara badan berautoriti dan pakar ilmuan perseorangan yang telah mengeluarkan fatwa tentang pemindahan organ adalah:-

Majma’ al-Fiqh al-Islami yang berada di bawah naungan Ri’ayah Rabitah ‘Alam al-Islami, Makkah al-Mukarramah menyatakan bahawa keputusan yang telah dicapai oleh Majma’ Fiqh ini dalam persidangannya yang ke-8, iaitu dari 28 Rabiul Akhir 1405H hingga 7 Jamadil Awal 1405H adalah seperti berikut:-

Mengambil organ daripada badan manusia yang hidup dan meletakkannya ke badan manusia lain yang sangat berhajat kepadanya demi menyelamatkan nyawa atau untuk membolehkan mana-mana organnya berfungsi semula adalah satu perbuatan yang harus dan tidak berlawanan dengan suruhan menghormati manusia. Sebaliknya, ia adalah sebagai suatu bantu an yang sangat besar dan kebaikan bagi yang menerimanya. Amalan ini diakui oleh syarak dan terpuji khususnya jika ia memenuhi empat syarat:


Hendaklah persetujuan memberi itu atas kerelaannya dan bukan dengan paksaan.

Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha yang terakhir serta dalam keadaan darurat bagi mengubati pesakit.

Hendaklah dipastikan bahawa operasi mengambil organ dan memindahkannya kepada pesakit itu pada umumnya berjaya menghasilkan faedah yang diharapkan.

Janganlah orang yang diambil organnya itu menempuh bahaya yang akan mengganggu keadaan hidupnya yang biasa. Ini adalah kerana kaedah syarak menegaskan bahawa bahaya itu tidak boleh dihapuskan dengan melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya lain yang sama berat dengannya.

Kedua: Tidak diharuskan

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.(Surah al-Baqarah: 195)

Allah SWT melarang kita mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Seseorang yang tabarru’ dengan sebahagian anggota jasadnya boleh membawa kepada kebinasaan dan ini bukanlah dituntut. Perkataan “tahlukah” dalam ayat ini merupakan lafaz umum yang mengandungi semua perkara yang membawa ke arah itu.

Justeru, memotong anggota diri sendiri menuju ke arah hilangnya manfaat dan membawa kebinasaan. Menyokong ayat ini dengan kaedah pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus mengikut takrifan ulama usul. Lihat Naqlu wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami oleh Dr. al-Sukkari (hal.107).

Ummul Mukminin Aisyah RA katanya Rasulullah SAW bersabda:-

وَكَسْرُ عَظمِ المَيِّتِ كَكَسْرِ عَظْمِ الْحَيِّ فِي الإِثْمِ

Maksudnya: “Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.”Riwayat Ibn Majah (1/516)

Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang hidup diharamkan memecah dan merosakkan tulangnya. Begitu juga memotong sebahagian anggotanya. Hal yang sama juga berlaku kepada si mati.

Antara dalil dan kaedah fiqah ialah:-

اَلضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِالضَّرَرِ

Maksudnya: “Kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan.”

اَلضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِمِثْلِهِ

Maksudnya: “Kemudaratan tidak dilhilangkan dengan seumpamanya.”

Dua kaedah di atas mengandungi tegahan daripada menghilangkan kemudaratan dengan seumpamanya. Inilah yang terjadi dalam isu pemindahan organ, yang mana kemudaratan daripada seseorang dihilangkan, tetapi akan berlaku kemudaratan kepada penderma organ. Lihat Syarah al-Qawaid al-Fiqhiyah

oleh al-Zarqa’ (hal.141) dan Qawaid al-Fiqh oleh al-Mujaddidi (hal. 88). Begitu juga Qadaya Fiqhiyah Muasirah oleh Syeikh Muhammad Burhanudin al-Sambuhli (hal. 61).

Penutup:-

Setelah membincangkann beberapa isu berkaitan pendermaan organ dan permasalahannya, maka di sini penulis mengemukakan khulasah atau kesimpulan dan cuba menekuni pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti melalui kitabnya, Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, antara lain menyebut:-

Memindahkan anggota dan organ manusia sama ada diambil daripada manusia atau haiwan kepada manusia. Jika daripada manusia, maka ia dalam dua keadaan sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia. Jika masih hidup, maka ia daripada dua bentuk, sama ada daripada dirinya sendiri, maka hukumnya adalah harus. Adapun daripada orang lain, ketika itu terdapat dua pandangan:

Anggota yang tunggal yang membawa kepada matinya seseorang jika dipindahkan, maka hukumnya haram.

Anggota yang lain hukumnya jika sekiranya daripada orang Islam kepada orang Islam atau daripada orang Non-Muslim kepada orang Islam, hukumnya harus. Tetapi janganlah organ yang dipindahkan itu testis kerana ia akan melibatkan nasab keturunan.

Jika memindahkan organ daripada haiwan, maka ia tidak terlepas daripada dua keadaan:

Ia adalah suci, maka hukumnya adalah harus.

Ia adalah najis, maka hukum pemindahan adalah haram, kecuali kerana darurat. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Published by
almaswa Haji Che Ros