Ciri-Ciri Isteri Nusyuz, Wanita Jangan Sesekali Terlepas Pandang Kalau Nak Masuk Syurga

Share

Apakah yang boleh menyebabkan seorang isteri meninggi dan mengangkat dirinya lebih dari seorang suami sehingga menunjukkan sikap sombong dan hilang rasa hormat?

Manusia sering merasa lebih hebat daripada orang lain apabila ia merasakan dirinya lebih baik dan sempurna, lebih berpangkat dan berharta, lebih bijaksana dan terbilang keturunannya.

Gambar sekadar hiasan.

Begitu juga seorang isteri amat mudah menyombong dan meninggikan diri terhadap suami sekiranya dia memiliki kecantikan, tahap intelektual, pendidikan, pangkat, jawatan, pendapatan dan kekayaan yang jauh lebih hebat dari suami. Bagaimanakah kita boleh tergelincir dan menjadi wanita nusyuz?

Ayat ke 34, Surah An-Nisa’ :

…Wanita yang kamu khuatiri akan `nusyuz’, hendaklah kamu berikan nasihat kepadanya, tinggalkan mereka di tempat tidur dan (jika perlu) pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak memudaratkan atas tujuan mendidik). Tetapi jika mereka mentaati, maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, Maha Besar.’

Semua wanita yang mahu mendapatkan gelaran solehah perlu juga mengetahui apakah pula yang dimaksudkan Allah SWT mengenai ciri-ciri ke`nusyuz’an seorang wanita sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat ini. Sekali lagi merujuk kepada kitab Fi Zilalil Quran karangan Syd Qutb, perkataan `nusyuz’ dikatakan berasal dari kata akar `nasyazat’ yang bermakna `berdiri di tempat yang tinggi’.

Bolehlah disimpulkan wanita yang nusyuz adalah mereka yang bersifat degil, meninggikan diri, sombong, bongkak dan bertindak merendah-rendahkan usaha orang lain khususnya suaminya. Sifat ini jelas bertentangan dengan ciri soleh yang lebih menekankan tentang `kepatuhan’ atau `ketundukan’ yang sengaja rela diberikan tanpa paksaan dan kekerasan.

Perbuatan nusyuz

Nusyuz boleh dijelmakan dalam bentuk keengganan isteri menghormati suami dan keluarganya, penghinaan dalam bentuk kata-kata, gaya bahasa badan dan tindak-tanduk yang jelas melambangkan kebiadaban yang mengundang keretakan hubungan suami isteri. Hari ini apabila ramai wanita Muslim berpendidikan dan berjawatan tinggi menjadi isteri dalam sebuah rumah tangga, cabaran yang menunggu di hadapan adalah keupayaannya untuk meraih kesolehan melalui taat, hormat dan tunduk kepada suami yang mungkin setakuk di bawah dari aspek kelulusan akademik, pangkat dan harta.

Mampukah seorang wanita yang serba hebat ini `menyerah’ untuk taat dan patuh kepada suaminya, merendahkan sayapnya demi menjamin sebuah hubungan yang sejahtera? Pilihan di tangannya sama ada mahu `merendah diri’ dan mendapatkan gelaran wanita solehah atau sebaliknya `berlagak sombong’ terhadap suaminya dan digelar seorang isteri yang nusyuz.

Tentu sekali faktor utama yang memudahkan seorang wanita menjadi isteri solehah adalah seorang suami bijak yang soleh. Seorang suami harus mampu menonjolkan kepimpinan dan mengemudi bahtera rumah tangga melalui kecerdasan, ketokohan dan akhlak mulia, mencontohi keperibadian Rasulullah s.a.w, sekalipun pangkat dan pencapaian akademiknya mungkin tidak sehebat isterinya. Sedikit ketegasan dan keberanian perlu ada dalam diri seorang suami untuk menegur dan mendidik isterinya yang egois dan sombong melalui kaedah yang diperjelaskan dalam ayat ke 34 Surah An-Nisa’.

Peranan suami

Suami yang bijaksana dan hebat pastinya hanya perlu memberikan nasihat ikhlas dan teguran berhikmah untuk mendidik isterinya yang mula menunjukkan ciri-ciri `kedegilan’ dan `kesombongan’. Hanya dalam kes-kes tertentu, baharulah suami perlu mengambil langkah seterusnya iaitu memisahkan isteri dari tempat tidur dan mengambil tindakan sedikit keras yang tidak mencederakan isteri untuk menunjukkan ketegasannya. Jangan sesekali terus memukul, menyakiti dan mencederakan isteri yang melakukan kesilapan sebagaimana yang mungkin difahami oleh sekelompok suami.

Gambar sekadar hiasan.

Wanita solehah

Adakah tuntutan agar wanita Muslimah menunjukkan ciri `ketundukan’ dan `kepatuhan’ kepada suami sebagai prasyarat wanita solehah ini boleh dianggap satu bentuk diskriminasi dan penindasan agama Islam terhadap wanita? Tentu sekali tidak! Sebenarnya sekali lagi Islam menonjolkan kesyumulannya sebagai satu Deen atau cara hidup yang memperkasa dan mendayakan wanita.

Dalam konteks ini wanita Muslimah yang solehah secara sedar membuat pilihannya sendiri. Wanita memberikan kepatuhan, ketundukan dan ketaatannya kepada seorang lelaki bergelar suami yang menjadi pasangan hidupnya di dunia dan juga di akhirat demi untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Sumber: Dr Harlina Haji Siraj

Published by
Siti Zurina