
Cium jenazah suami, isteri atau ahli keluarga buat kali terakhir antara amalan biasa dalam masyarakat kita sebelum jenazah dikafankan.
Namun begitu masih ada yang keliru terutama tentang hukum suami atau isteri mencium jenazah masing-masing.
Malah ada yang bertindak menghalang niat suami atau isteri untuk mencium jenazah pasangan mereka.
“Sebenarnya tiada salahnya jika si suami ingin mencium dan memeluk isterinya buat kali terakhir. Walaupun air mata terkena kain kafan, itu bukanlah masalah.
“Tidak ada hadis atau nas yang melarangnya. Pada saat itu, mungkin suami sedang berbisik memaafkan dan menghalalkan segala makan dan minum untuk isterinya.
“Begitu juga, tidak salah bagi isteri mencium jenazah suaminya. Wuduk si mati tidak akan batal kerana dicium oleh pasangan hidupnya. Wuduk hanya batal bagi orang yang masih hidup,” menurut satu perkongsian laman Instagram Jom Dakwah.
Sambungnya yang dilarang adalah ketika di hadapan jenazah keluarga meraung dan meratap nasib.
Hadis mencium jenazah
Dalam pada itu melalui penjelasan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan pula, mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah SAW sendiri.
Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah R.Anha bahawa baginda SAW mencium jenazah Uthman bin Maz’un iaitu saudara susuan baginda.
Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencium Uthman bin Maz’un ketika dia meninggal dunia dan aku melihat bahawa air mata mengalir (dari matanya).” [Riwayat Abu Daud]
Justeru, bersandarkan hadis tersebut jelas perbuatan mencium jenazah adalah dibolehkan.
Perbuatan mencium jenazah hanya dibolehkan bagi mereka yang sama jantina atau mahram bagi si mati sahaja.

Manakala bagi ajnabi adalah tidak dibolehkan mencium atau menyentuh jenazah tersebut.
Ini kerana keharusan menyentuh atau mencium seseorang adalah sama ketika dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Selain itu, kita mengetahui hukum mencium jenazah adalah sunat sekiranya si mati itu adalah orang yang soleh. Adapun bagi selainnya maka hukumnya adalah harus dan tidak makruh.
Sumber: Jom Dakwah & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sakit Bukan Alasan Untuk Culas Solat

Sakit pada suatu sisi dilihat sebagai suatu perkara yang negatif kerana ia menimbulkan perasaan tidak selesa terhadap tubuh manusia namun ia sebenarnya merupakan ujian Allah SWT terhadap hamba-hambanya. Bagi mereka yang reda dan sabar dengan ujian ini maka sakit tadi akan berubah menjadi nikmat kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan dicatat sebagai suatu amalan mulia yang berhak mendapat pahala serta darjatnya di sisi Allah SWT akan ditingkatkan.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan penyakit tersebut, akan dicatatkan baginya satu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Imam Thabarani)
Namun begitu adakah sakit ini tetap akan menjadi nikmat sekiranya ia dijadikan alasan untuk meninggalkan solat? Tahukah anda bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memberi ancaman yang amat berat bagi mereka yang meninggalkan solat? Sabda Rasulullah s.a.w.: “Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Dan sabdanya lagi: “Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Jika pesakit mencuaikan s olat, sudahlah merana ditimpa penyakit kemudian perlu pula menanggung dosa besar kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak. Ini bolehlah diibaratkan bak kata pe patah sudah jatuh ditimpa tangga.
Pertama sekali adakah benar tanggapan sesetengah pihak bahawa meninggalkan solat itu dibenarkan bagi pesakit? Mari kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. ini: “Di angkat al-Qalam (taklif atau beban hukum) daripada tiga golongan manusia iaitu daripada orang yang tidur sehingga terjaga, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Ternyata pesakit tidak termasuk tiga golongan yang terangkat dari beban hukum melainkan pesakit yang tidak sedarkan diri dan hilang akal atau gila. Oleh itu hendaklah para pesakit tetap mengerjakan solat mengikut keupayaan mereka. Islam telah memberikan rukhsah (kemudahan) yang banyak bagi para pesakit agar tetap dapat melaksanakan solat walaupun dalam keadaan sakit.
Di dalam ilmu fikah terdapat kaedah keadaan darurat menghalalkan yang haram (ad-dharuratu tubiihul mahzhuraat). Pada dasarnya sememangnya terdapat syarat-syarat sah solat yang perlu dipatuhi oleh setiap insan namun menerusi rukhsah yang Allah SWT kurniakan kepada para pesakit sesetengah hukum itu tergugur atau dipermudahkan atas dasar darurat serta kesukaran yang terpaksa dilalui oleh pesakit tersebut dalam mendirikan solat.
Perkara asas yang perlu kita fahami adalah dalam kehidupan, Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan mereka. Firman Allah SWT : “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (al-Baqarah: 185).
Sebagaimana yang kita maklum seseorang itu perlu bersolat dengan tubuh badan serta pakaian yang suci dari sebarang najis dan menutup aurat. Namun begitu jika pesakit itu tidak mampu melakukannya dan tiada orang lain yang boleh membantunya untuk menyucikan najis yang terdapat di pakaian, tubuhnya atau kawasan solatnya maka hendaklah dia tetap mengerjakan solat dalam keadaan itu dan solatnya tetap sah tanpa perlu mengulanginya di kemudian hari.
Begitu juga bagi pesakit yang sentiasa berhadas seperti wanita yang mengalami istihadah (darah penyakit yang keluar berterusan dari kemaluannya), penghidap penyakit kencing tidak lawas atau pesakit yang memakai colostomy bag (alat yang dipasang di perut kepada pesakit yang tidak boleh membuang air besar secara normal) dan continuous bladder drainage (sejenis alat yang dipakaikan kepada pesakit yang tidak boleh membuang air kecil secara normal) mereka tetap perlu bersolat dalam keadaan badan tubuh bernajis.
Sebelum berwuduk berusahalah untuk menghilangkan najis tersebut sekadar termampu seperti dengan membersihkan bahagian kemaluan atau menukar beg atau plastik yang berisi najis tersebut. Pesakit hendaklah mengambil wuduk apabila telah masuk waktu solat dan terus mendirikan solat iaitu tanpa diselangi dengan sebarang perbuatan lain.
Sekiranya ketika bersolat solat air kencing meleleh, darah atau najis terkeluar ianya tidak membatalkan wuduk mahupun solat. Begitu juga bagi pesakit yang tidak mampu menutup aurat dan tiada sesiapa yang boleh membantunya ketika itu, hendaklah dia solat dengan apa jua pakaian yang ada pada tubuhnya ketika itu.
Berwuduk sebelum solat tetap diwajibkan kepada para pesakit. Jika pesakit tidak mampu bergerak maka dia boleh meminta bantuan pihak lain untuk mewudukkan nya. Sekiranya tubuh pesakit tidak boleh terkena air kerana ia akan menjadikan penyakitnya bertambah parah maka hendaklah dia bertayamum dengan menggunakan debu suci baik untuk hadas kecil atau hadas besar.
Firman Allah SWT .: “…dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi hadas atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang suci) iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua-dua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (al-Nisaa’ : 43) Bagi pesakit yang melecur sehingga tidak boleh berwuduk mahupun bertayamum maka dia dianggap tidak perlu bersuci dan dibenarkan bersolat dalam keadaan begitu.
Al-Jabirah adalah sesuatu yang dijadikan pengikat pada anggota badan yang patah atau tergeliat mahupun balutan kepada anggota yang luka, melecur dan lain-lain bentuk kecederaan dan balutan tersebut diperbuat dari kain, bahan plastik, simen, kayu dan selainnya. Pada bahagian anggota wuduk yang berbalut al-Jabirah, sesetengah ulamak berpendapat memadai pesakit itu menyapu balutan tersebut (dengan tangan yang dibasahi air) tanpa perlu membasuhnya untuk berwuduk.

Namun ada juga di kalangan para ulama yang berpendapat bahawa kawasan yang berbalut tersebut tidak perlu disapu kerana telah gugur hukum wajib membasuh ke atasnya dalam rangka memberi kemudahan. Menurut Syaikh al-Albani r.h di dalam Tamamul Minnah Fit Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah: “Hadis-hadis (berkaitan wajib menyapu atas balutan) ini -kerana begitu sangat lemahnya- tidak dapat dikuatkan oleh banyaknya jalur periwayatan.”
Seterusnya Syaikh al-Albani membahaskan secara ringkas kelemahan hadis-hadis tersebut lalu beliau membawa pendapat Imam Ibnu Hazm r.h: “Oleh sebab itu, Ibnu Hazm memilih tidak disyariatkan menyapu pembalut. Beliau berkata: Dalilnya adalah firman Allah: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (al-Baqarah : 286) dan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan mu.”(Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Menurut Syaikh al-Albani inilah pendapat yang yang lebih menepati kebenaran kerana ianya lebih mencerminkan kemudahan (rukhshah) dalam bersuci. Para pesakit turut diberikan kemudahan dalam menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa seorang pesakit untuk berdiri ketika menunaikan solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Solat tersebut hendaklah dilakukan menurut kemampuan dan keupayaannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Bagi yang solat secara duduk cara duduknya ialah duduk seperti semasa membaca tahiyat awal. Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk mengikut kemampuannya.
Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah seseorang itu solat dalam keadaan baring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat sedangkan rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala. Jika pesakit tidak mampu untuk solat secara mengiring maka solatlah dalam keadaan baring sambil terlentang. Kakinya menghala ke arah kiblat dan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke kiblat. Sekiranya dalam keadaan ini juga tidak mampu, solatlah secara melakukan isyarat kelopak mata ataupun solat dengan hatinya. Begitu juga dengan persoalan menghadap kiblat, sekiranya pesakit tidak berupaya untuk posisi kan diri mereka arah kiblat dan tiada orang lain yang dapat membantunya maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja.
Apabila pesakit merasakan sukar baginya untuk mengerjakan solat mengikut waktu yang telah ditetapkan, maka dalam rangka memberikan kemudahan kepada para pesakit, dia dibenarkan untuk menjamakkan (menghimpun) solatnya. Dalil yang membolehkan menjamak solat sekiranya terdapat kesukaran untuk mengerjakan solat mengikut waktu adalah sebuah riwayat daripada dari Ibnu ‘Abbas r.a: “Rasulullah s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Demikianlah beberapa contoh kemudahan yang dikhususkan kepada pesakit untuk mendirikan solat. Apa yang dapat kita simpulkan adalah penyakit yang menimpa seseorang itu tidak pernah menggugurkan kewajipan solat selagi mana pesakit tersebut masih sedar dan boleh berfikir secara waras.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum & Cara Kebumikan Kucing Kesayangan Yang Mati

Kucing kesayangan mati memang boleh menyebabkan kesedihan pada seluruh ahli keluarga. Dalam masa yang sama ia juga boleh menimbulkan dilema terutama jika tinggal di kediaman bertingkat.
Bagaimana hendak menguruskan bangkai haiwan peliharaan yang mati ini. Perlukah dibuang dalam tong sampah atau ditanam.
Dalam hal ini Islam sebenarnya tidak mensyariatkan kewajipan ke atas perbuatan menanam bangkai haiwan, bahkan ia hanyalah bersifat harus dan boleh dibiarkan begitu sahaja bangkai tersebut tanpa ditanam.
Namun begitu, jika bangkai haiwan ini tidak ditanam dan boleh mendatangkan kemudaratan terhadap manusia dan juga makhluk-makhluk lain di sekelilingnya maka dengan itu, hukum menanam bangkai haiwan tersebut jatuh kepada hukum wajib.
Seperti sedia maklum, bangkai haiwan yang tidak ditanam akan mereput dan menyebarkan kuman-kuman seperti bakteria ataupun virus yang boleh memberikan pelbagai jenis penyakit kepada manusia, selain ia juga mendatangkan bau dan pemandangan yang kurang menyenangkan, apatah lagi jika ia dibiarkan di kawasan orang ramai seperti di masjid, taman perumahan dan sebagainya. Maka, perkara-perkara ini adalah kemudharatan yang mestilah diangkat dan dijauhkan dari diri manusia.
Maka, perlulah ditanam haiwan tersebut atau dikebumikannya dengan baik. Perkara ini turut berkait dengan salah satu kaedah usul Fiqh iaitu سد الذرائع (menutup jalan yang membawa kepada kemudharatan atau kerosakan).
Sebagai panduan boleh gunakan kaedah berikut untuk menanam bangkai haiwan ini.
1. Lokasi
Kalau haiwan peliharaan anda mati, tanam saja di kawasan rumah. Tak kisah depan atau belakang rumah. Cuma pastikan ia tidak berbau dan tidak mengganggu kejiranan. Jika ada haiwan yang mati dilanggar, seeloknya tanam di kawasan berdekatan kejadian.
2. Tanam dalam lubang
Buat lubang atau ‘kubur’ kucing. Ukuran lubang sebaiknya dua kali panjang kucing dan sedalam 30cm. Lebih dalam, lebih bagus supaya mengelakkan bau atau dikesan oleh haiwan lain dan digali. Kelebaran lubang bergantung pada saiz kucing atau haiwan peliharaan anda. Pastikan lubang kering.

3. Alas
Alaskan haiwan peliharaan anda dengan daun segar. Lebih baik jika daun yang besar dan lebar seperti daun pisang. Dengan berlapikkan daun segar, ia membantu mengurangkan bau bangkai haiwan tersebut.
4. Timbus lubang
Selesai masukkan kucing, kambuskan tanah dalam lubang sehingga padat. Banyakkan tanah supaya tidak digali oleh haiwan lain.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Subuh Masuk Lewat, ‘Curilah’ Peluang Solat Tahajud

Solat Tahajud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Solat ini lebih afdal dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Banyak kelebihan melakukakn solat tahajud. Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkongsi tentang keajaiban solat Tahajud yang mampu mendekatkan diri kita kepada pencipta.
Subuh masuk lewat ketika ini (iaitu jam 6:03 ketika status ini ditulis – waktu Putrajaya), nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 5:50 pagi hatta jam 6 am sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan Solat tahajud dua rakaat dan ditutup dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)
Waktu solat Tahajud bermula selepas Isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis:
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya: Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)
AMBIL PELUANG
Justeru, ambillah peluang mendirikan solat Tahajud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah swt menjanjikan kemulian kedudukan (di akhirat) bagi mereka yang melaziminya. JANGAN niat solat Tahajud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah swt & redaanNya. Insha Allah.
JANGAN juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA rakaat Tahajud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah SWT berbanding yang banyak tetapi terputus.
Solat Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.

KASHOORGA:
Tip memudahkan bangun solat malam:
*Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajud.
*Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
*Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
*Membaca ayat-ayat al-Quran.
Sumber kredit: Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI