Cium jenazah suami, isteri atau ahli keluarga buat kali terakhir antara amalan biasa dalam masyarakat kita sebelum jenazah dikafankan.
Namun begitu masih ada yang keliru terutama tentang hukum suami atau isteri mencium jenazah masing-masing.
Malah ada yang bertindak menghalang niat suami atau isteri untuk mencium jenazah pasangan mereka.
“Sebenarnya tiada salahnya jika si suami ingin mencium dan memeluk isterinya buat kali terakhir. Walaupun air mata terkena kain kafan, itu bukanlah masalah.
“Tidak ada hadis atau nas yang melarangnya. Pada saat itu, mungkin suami sedang berbisik memaafkan dan menghalalkan segala makan dan minum untuk isterinya.
“Begitu juga, tidak salah bagi isteri mencium jenazah suaminya. Wuduk si mati tidak akan batal kerana dicium oleh pasangan hidupnya. Wuduk hanya batal bagi orang yang masih hidup,” menurut satu perkongsian laman Instagram Jom Dakwah.
Sambungnya yang dilarang adalah ketika di hadapan jenazah keluarga meraung dan meratap nasib.
Dalam pada itu melalui penjelasan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan pula, mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah SAW sendiri.
Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah R.Anha bahawa baginda SAW mencium jenazah Uthman bin Maz’un iaitu saudara susuan baginda.
Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencium Uthman bin Maz’un ketika dia meninggal dunia dan aku melihat bahawa air mata mengalir (dari matanya).” [Riwayat Abu Daud]
Justeru, bersandarkan hadis tersebut jelas perbuatan mencium jenazah adalah dibolehkan.
Perbuatan mencium jenazah hanya dibolehkan bagi mereka yang sama jantina atau mahram bagi si mati sahaja.
Manakala bagi ajnabi adalah tidak dibolehkan mencium atau menyentuh jenazah tersebut.
Ini kerana keharusan menyentuh atau mencium seseorang adalah sama ketika dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Selain itu, kita mengetahui hukum mencium jenazah adalah sunat sekiranya si mati itu adalah orang yang soleh. Adapun bagi selainnya maka hukumnya adalah harus dan tidak makruh.
Sumber: Jom Dakwah & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan