Cukuplah Lakonan Jadi Dosa, Jangan Permain Hukum Syara’, PU Syed Tegur Budaya Songsang Di Tik Tok

Share

Hari ini, media sosial dipenuhi dengan pelbagai kandungan cerita. Ada membawa banyak kebaikan dan tidak kurang dengan hal-hal lagha yang konon mengajak orang ketawa. Tanpa menyedari ia sebenarnya cuba membawa budaya salah dan melalaikan masyarakat.

Mungkin ramai beranggapan kenapa nak serius sangat kerana ia sekadar kandungan cerita?. Namun kalau budaya songsang khususnya lelaki berperwatakan wanita, wanita berperlakuan seperti lelaki tidak ditegur, ia akan menjadi normalisasi dalam masyarakat dan terus dianggap biasa sedangkan ia melanggar hukum syara’.

Hal ini mendapat teguran dari PU Syed yang melihat terlalu banyak budaya songsang di aplikasi Tik Tok dan mereka ini mengumpul ratusan ribu pengikut yang barangkali menganggap ia sekadar hiburan sedangkan ia mendatangkan dosa.

Ini perkongsiannya :-

Antara budaya songsang yang menjadi ikutan umat Islam, khususnya remaja ialah budaya perempuan menyerupai lelaki dan Begitu juga bagi golongan lelaki yang sudah mula berpakaian perempuan sama ada lakonan atau realiti sebenar.

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam buku beliau menyebut bahawa: "Pemuda-pemudi kita telah dilanda gelombang penyerupaan dan ikutan membabi buta. Justeru, semestinya tanggungjawab terhadap pendidik merawat penyakit ini dengan cara yang baik." Tanpa berprasangka, inilah antara dakyah musuh-musuh Islam untuk merosakkan kemuliaan umat Islam itu sendiri.

Dengan menginsafi apa yang dinyatakan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad: "Apabila hukum syara’ diukur dengan nilai liberal, hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syara’ boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syara’ akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan sebagai tidak sah."

Hukum tasyabbuh atau menyerupai jantina yang berlainan adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:-

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Cukup-cukuplah buat lakonan yang mendatangkan dosa apatah lagi semata-mata untuk berbuat lawak dengan hukum syarak!!
PU Syed

Published by
almaswa Haji Che Ros