‘Cukuplah zahirkan rasa syukur, hargai apa yang pasangan lakukan.’ Suami tak perlu susah-susah faham isteri, memadai hargai apa yang isteri lakukan untuk rumah tangga.
Seorang isteri tidak pernah meminta lebih, tak pernah meminta dibeli hadiah yang mahal sebaliknya cukuplah suami hargai isterinya.
Artikel Berkaitan: “Saya Tak Simpan Keburukan Awak Dalam Ingatan”, Azmi Saat Hargai Isteri, Tak Ada Niat Nak Kahwin Lain
Cukuplah Zahirkan Rasa Syukur
Kongsi Dr Fadilah Kamsah,
Wahai para suami,
Pimpinlah isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan padanya selalu. Waktu yang terbaik untuk kalian beri nasihat adalah semasa berehat, minum petang, waktu beriadah dan sebelum kalian tidur.
Sebenarnya isteri ini tak minta pun kita faham dia sangat-sangat. Cukuplah kita zahirkan rasa syukur kita dan hargai apa yang dia lakukan untuk rumah tangga kalian.
Hargai Apa Yang Pasangan Lakukan
Dari bahagian kita, kita tunaikan tanggungjawab kita dengan baik. Fokus untuk laksanakan kewajiban kita dan penuhkan hak isteri sepenuhnya.
Kita yang ada kudrat lebih ini, perlu ambil masa untuk ringankan beban isteri.
Dalam sehari, bertanyalah pada isteri bagaimana keadaannya pada hari tersebut. Beri ruang kepadanya untuk meluahkan dan kita pasang telinga betul-betul apa yang dia nak ceritakan.
Suami Tak Perlu Susah-Susah Faham Isteri
Jika semua itu kita buat dengan baik, maka insyallah harmoni rumah tangga. Dan isteri tak akan minta lebih.
Ambil masa untuk memahami hati dan perasaannya. Jangan biarkan dia hadap sendirian. Dia perlukan kalian, para suami untuk selalu memimpin, membantu dan menyokong tindak-tanduknya dalam hidup.
Moga pesanan ini kita ambil ibrah dan hikmahnya ya.
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Kunci keharmonian bermula dari seorang pemimpin (suami).
Baca Di Sini:
Belanja Dan Beri Hadiah Tanda Suami Hargai Isteri
Buat Isteri Yang Rasa Tidak Dihargai Suami Sendiri, Ulama Besar Sheikh Abdul Aziz Ada Nasihat
Kashoorga : Jadilah suami, isteri yang bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain.
Kredit: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Masa Tingkatan 4, Start Doa Dapat Jodoh Yang Soleh.’ Ambil Serius Kuasa Doa, Sampai Masa Allah Kabulkan
‘Masa tingkatan 4 start doa dapat jodoh yang soleh. Ambil serius kuasa doa, sampai masa Allah kabulkan juga doa wanita ini walaupun dia sendiri belum tahu siapa orangnya.
Begitulah keajaiban berdoa, setiap kali berdoa yakin dengan kuasa Allah. Jika Allah tak makbulkan dalam masa terdekat, insyalllah lambat laun bila tiba masanya, Allah akan berikan apa yang kita mahu dan perlu.
Ikuti perkongsian Ustazah Nur Aqidah Mawardi ini dan hadam baik-baik kebaikan dalam berdoa.
Artikel Berkaitan:
Masa Tingkatan 4
Ada yang tanya, bila start saya doa tentang jodoh? Saya jawab “start usia 15 tahun.” Time ini sudah habis PMR dan tahun depan masuk tingkatan 4 ada subjek tasawwur Islam yang banyak mendedahkan asas hukum feqah antaranya munakahat.
Masa tingkatan 4, ustazah saya ada pesan. “Nak jodoh yang baik, doa dari sekarang.”
Maka dengan lurusnya aku setiap kali hendak makan ke, lepas solat ke atau hendak baca Al-Quran ke, mesti doa hendak minta jodoh yang soleh (bukan sempurna).
Start Doa Dapat Jodoh Yang Soleh
Orang dengar akan kata, ‘ish gatal!’ Tapi saya ignore. Masuk ke alam IPT (Institut Pengajian Tinggi) pun saya minta lecturer saya doakan saya dapat jodoh yang soleh. Sedangkan saya tak tahu pun siapa lelaki itu. Tidak apalah, doa saja dulu.
Laluan kehidupan untuk saya sampai ke alam perkahwinan memang agak “terjah” dan complicated tapi itulah. Saya ini jenis, hmm redah sajalah berbekalkan doa “Ya Allah, bantu aku.”
Masa anak dara hidup saya penuh dengan pengisian masa bersama NGO dan merempit naik motor time itu motosikal CT100. Rasa best bawa motor, bab kene kacau dengan mat-mat rempit dekat highway time bawak motor itu memang biasa sudah.
Ambil Serius Kuasa Doa
Tapi tulah, seketul aqidah ini agak gangster jugalah macam itu, “Ko potong aku! Aku potong ko, aduh.
Hebatnya perancangan Allah, Allah bagi jodoh umur 22 tahun. Mentah betul. Selepas kahwin, semua benda tak pandai. Tapi saya just berkongsi.
Lepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) memang saya tidak tinggal di kampung. Banyak bawak diri, al-maklum orang kata anak nombor dua ini keras kepala kan. Tapi itulah, saya yakin juga perjalanan saya yang alone itu, diiringi doa mak dan abah.
Sampai Masa Allah Kabulkan
Setiap dari kita rezeki berbeza-beza, setiap daripada kita corak kehidupan berbeza-beza, tak perlu membandingkan apa-apa pun antara kita.
Kejayaan yang tercipta pun berbeza-beza, kejayaan bukan semata kaya dan berpendidikan tapi kejayaan sebenar, adakah kita menjadi hamba Allah yang ikut suruhan-Nya? Walau kerja kilang, solat ON, akhlak baik dan sudah tentu ini juga satu kejayaan buat kita.
Saya nak seru, jom kita kerapkan berdoa dengan keyakinan. Allah janji Allah akan kabulkan. Tidak dekat dunia, nanti di akhirat kelak.
Special thanks to my imam, zauji jannati kerana menerima pinangan ku seikhlas hati walau diri ini penuh dengan kekurangan. Walaupun agak payah mendapatkan mu, tidak apalah… Allah kan ada. Keras-keras pun lembut juga.
Saya doakan semuanya rasa manis bila berdoa kepada Allah.
#doasenjatamukmin #islamicquotes #الحمد_لله #لا_اله_الا_الله #اللهم_صل_وسلم_وبارك_على_نبينا_محمد
Baca Di Sini:
Kashoorga: Bila kita inginkan sesuatu, minta dan berdoalah pada Allah sungguh-sungguh dan yakinilah kuasa Dia.
Sumber: Ustazah Nur Aqidah Mawardi
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapa Perlu Jaga Adik Perempuan OKU Selepas Ibu Bapa Tiada, Adik Beradik Lelaki Atau Perempuan?
Soalan
Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]
Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَٰرَهُمۡ
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Penang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sah Hukumnya Ambil Wuduk Tanpa Pakaian, Tapi Lebih Baik Menutup Aurat
Soalan:
Assalamualaikum. Saya mempunyai soalan. Apakah hukum kita mengambil wudhu’ dalam keadaan tidak berpakaian?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, m/s 123).
Merujuk kepada soalan di atas, suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wudhu’ tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wudhu’ atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulama’ dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulama’ mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wudhu’ adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Walaupun sah wudhu’nya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wudhu’, tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
WallahuA’lam.
Artikel Berkaitan: Ini Hukumnya Jual Durian Sekali Dengan Kulit. Untuk Yang Was-Was Wajib Ambil Tahu!
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI