Dah Lama Kahwin Tapi Tak Ada Anak Lagi, Bukan Alasan Abaikan Rumahtangga

Share

Setiap hari buka laman sosial, ternampak gambar kawan yang kahwin cuma beberapa bulan sebelum kita, tapi dah menimang anak kedua. “Tak apalah, rezeki masing-masing, jangan fikir sangat,”pesan pada diri sendiri.

Anda pun memulakan hari seperti biasa. Solat, masak, mandi, siap ke pejabat, dan hari itu berlalu seperti biasa.

Sampai waktu petang, mula berkemas nak pulang ke rumah. Penat, tak sabar rasanya nak rehatkan badan.

Selesai masak, mandi, dan makan sambil berborak dengan suami, tiba-tiba dapat panggilan telefon dari kawan baik yang baru beberapa bulan melangsungkan majlis.

Suaranya gembira. “I’m pregnant!” teriaknya. Ucapan tahniah disampaikan, kemudian bersoraklah anda dengan si rakan bagaikan kanak-kanak riang.

Gambar sekadar hiasan.
10 minit berborak di telefon. Di akhir perbualan, anda pastinya berjanji dengan dia untuk berjumpa dan meraikan berita gembira ini. Mestilah, kan best friend?

Tapi sejurus lepas tamat perbualan telefon, anda terus melulu mencari si suami. Bukan tak gembira untuk kawan baik tadi, tapi sedih terkenangkan diri yang dah berkahwin tiga tahun, tapi hajat untuk menimang cahaya mata belum tercapai lagi.

Pernah hadapi situasi ini?

Bukan Anda Seorang

Bila dah kahwin bertahun-tahun tapi belum ada anak, memang ramai orang sekeliling yang akan mengata. Tak cukup nak ubati sedih di hati sendiri, ditambah pula dengan tuduhan tak subur, mandul, atau nak jaga badan. Sedangkan hati sendiri pilu bila zuriat yang dinanti sekian lama masih tak nampak tandanya.

Walaupun situasinya sukar, tapi sebenarnya anda tak keseorangan. Ramai lagi pasangan yang senasib dengan anda malah ada yang lebih lama berkahwin, tapi masih belum dikurniakan zuriat.

Untuk kurangkan gusar di hati, apa kata anda cuba jalinkan persahabatan dengan orang-orang yang senasib dengan anda. Sekurang-kurangnya ada orang yang memahami perasaan anda dan boleh saling menasihati bila perasaan sedih melanda.

Jangan Ambil Mudah

Paling penting, perlu saling mengokong antara suami isteri. Anda kan pasangan sehidup semati? Bak kata orang, cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Tak ada siapa yang lebih memahami perasaan anda lebih dari pasangan anda jadi carilah dia di saat anda merasa emosi. Biar dia pun faham isi hati anda dan boleh menenangkan perasaan anda.

Apabila anda mula menyalahkan pasangan sendiri di situlah akan bermula episod malang dalam rumah tangga anda. Ada juga pasangan suami isteri yang sihat walafiat tetapi masih tidak mempunyai anak.

Dalam keadaan ini adakah anda akan menyalahkan takdir Allah? Duduk bertafakur dan fikirlah perkara yang positif di atas musibah yang menimpa. Hidup anda masih belum berakhir jika tidak memiliki zuriat.

Usaha, doa dan tawakal adalah tunjang utama keimanan hamba Allah. Jadikan ujian ini sebagai muhasabah diri ke arah kebaikan bukannya menyalahkan takdir dan pasangan anda. Ada kes di mana seorang suami sanggup menceraikan isterinya kerana tidak mampu memberikannya zuriat sedangkan masalah utama bukannya berpunca daripada isterinya tetapi dirinya sendiri.

Ingatlah, segala ujian yang menimpa hanyalah untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya.

Syukur dan Reda

Perkara paling rumit untuk dilakukan ialah menerima ujian Allah dengan hati yang reda. Adakalanya anda bersikap positif untuk seketika tetapi selang beberapa hari perasaan negatif mula menghantui kembali diri anda.

Bukan mudah untuk menerima hakikat perkahwinan yang dibina bertahun-tahun tidak dikurniakan zuriat. Allah menurunkan ujian besar begini kepada anda kerana Dia tahu anda mampu menghadapinya.

Rezeki Allah itu luas bukan hanya pada kehadiran zuriat sahaja. Allah memberikan anda ujian ini bagi memberi peluang anda dan suami untuk lebih meluangkan masa bersama kerana suami sentiasa kerja jauh atau pun menguji sejauh mana keikhlasan suami terhadap anda.

Suami yang jujur, ikhlas mencintai dan menerima anda seadanya akan menerima segala kekurangan dalam rumah tangga. Anda boleh lihat di luar sana ramai pasangan yang hidup bahagia tanpa anak walaupun sudah bertahun-tahun hidup berdua.

Jadikan segala ajaran Rasullullah SAW sebagai pegangan dan pengajaran kisah dari nabi-nabi terdahulu sebagai sumber terbaik kehidupan anda. Percaya pada qada’ dan qadar Allah Insyallah segala yang susah akan menjadi senang untuk diharungi.

Published by
Siti Zurina