Dua hari lagi merupakan kemuncak musim Haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji. Tiada haji tanpa wukuf di Arafah dan betapa beruntungnya mereka yang menjadi tetamu Allah tahun ini.

Dalam pada itu, jika kita tidak direzekikan lagi menjadi Duyufurrahman, apa yang mampu kita lakukan untuk sama memperoleh pahalanya ialah dengan berpuasa sunat hari Arafah.

Perlu diingat, tarikh bagi puasa sunat ini ialah pada 9 hb Julai bersamaan hari Sabtu di saat jemaah yang berada di Makkah sudah pun meraikannya raya haji itu sendiri. Ini kerana pemerintah sudah menetapkan hari raya haji jatuh pada 10 Julai 2022 bersamaan hari Ahad.

Apakah lelebihan hari Arafah dan kenapa ia begitu istimewa bagi kita umat Islam.

Sejarah hari Arafah bermula pada 1441 tahun yang lalu di di lembah Uranah di mana Rasulallah SAW memberikan pidato Hari Arafah. Sebuah pidato agung yang dipegang hingga ke akhir zaman.

“Wahai manusia, bulan apakah sekarang ini?” Rasulullah bertanya kepada ribuan manusia yang menyertai baginda menunaikan fardu Haji.

“Bulan suci”, bergema jawapan mereka. “Sesungguhnya darah dan harta kamu adalah suci sebagaimana sucinya bulan ini. Tanah apakah ini?”, baginda bertanya lagi.

“Tanah suci ya Rasulullah,” jawab jemaah itu lagi. “Sesungguhnya Allah telah menyucikan darah dan harta kamu sebagaimana sucinya tanah ini.

Apakah kelebihan-kelebihan hari Arafah?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memandangkan kita akan menyambut hari raya Aidiladha dan juga hari Arafah, maka Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membicarakan berkaitan beberapa kelebihan hari Arafah sebagaimana yang disebut di dalam hadith Nabi SAW.

IKLAN

Pertama: Hari Arafah adalah rukun daripada haji

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:-

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]

Kedua: Hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna

Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:

يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)]

IKLAN

Ketiga: Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam

Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:-

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

Keempat: Hari Arafah adalah hari Penyaksian

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ
Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”. [Riwayat al-Tirmizi (3262)]

IKLAN

Kelima: Kebesaran berdoa di hari Arafah

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]

Keenam: Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

Ketujuh: Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]

Penutup

Kesimpulannya, hari Arafah adalah satu hari yang istimewa sebagaimana bulan Zulhijjah juga sebagaimana yang kami nyatakan sebelum daripada ini akan kelebihan bulan Zulhijjah. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah